Menurut gadis kelahiran Pulau Pinang itu, dia tidak menyangka usia remajanya diragut sekelip mata hanya kerana kekhilafan diri.

“Saya merupakan anak bongsu daripada tiga beradik.

“Sebaik tamat Sijil Pelajaran Malaysia, saya ditawarkan untuk mengikuti kursus kejuruteraan di salah sebuah universiti terkemuka di Kuala Lumpur,” jelasnya.

Menurut Nurul, pada mulanya, ibu bapa Nurul tidak mengizinkannya melanjutkan pengajian di ibu kota.

Selain bimbang akan keselamatan anak bongsunya itu, mereka juga mahu Nurul menerima satu lagi tawaran pengajian di sebuah universiti berdekatan kediaman mereka.

“Saya jemu apabila setiap gerak-geri sentiasa dikawal oleh keluarga.

“Disebabkan itu, saya memilih untuk berjauhan daripada keluarga dengan melanjutkan pengajian di ibu kota,” jelasnya.

Menurut Nurul, ketika di semester pertama, segala-galanya masih lagi terkawal.

Mana tidaknya, pada waktu itu, Nurul ditempatkan di sebuah asrama dan terpaksa mengikut segala peraturan yang telah ditetapkan.

Aksi terlarang

Bagaimanapun, perangainya mula berubah sebaik memasuki semester ketiga. Pada waktu itu, Nurul diarahkan untuk menyewa di luar kampus kerana bilik yang terdapat di asrama tersebut tidak mampu menampung pertambahan pelajar-pelajar baharu.

“Saya berkenalan dengan Hana (bukan nama sebenar), 23, gadis kelahiran sebuah negeri di Pantai Timur yang kebetulan merupakan rakan sebilik.

“Pada mulanya, saya tidak menyukai Hana kerana cara kami sungguh berbeza. Hana seorang yang seksi dan gemar keluar sehingga lewat malam.

“Bukan itu sahaja, pernah beberapa kali saya terlihat Hana membawa pulang teman lelakinya ke dalam bilik kami.

“Sudahlah begitu, mereka juga dengan selambanya melakukan aksi terlarang walaupun menyedari saya berada di dalam bilik tersebut,” jelasnya.

Keadaan tersebut ternyata mendatangkan ketidakselesaan terhadap Nurul.

Bagaimanapun, cerita Nurul lagi, dia mula menyesuaikan diri dengan keadaan tersebut beberapa bulan kemudian. Malah, hubungannya dengan Hana bertambah akrab.

“Saya banyak meneroka perkara baharu bersama Hana sehingga terikut-ikut dengan gaya hidup bebasnya.

“Percaya atau tidak, daripada seorang gadis yang memakai tudung, saya sudah berani menanggalkan kain yang menutupi mahkota kegadisan tanpa rasa bersalah,” jelasnya.

Menurut Nurul, bukan itu sahaja, malah dia sudah pandai berpeleseran di kelab malam dan meneguk arak sehingga mabuk.

“Saya seperti hilang arah tujuan. Sudahlah begitu, saya juga sudah pandai ponteng kuliah selain tidak menghadirkan diri dalam beberapa peperiksaan.

“Dekan fakulti pernah memanggil saya ke dalam biliknya dan memberikan kaunseling dengan harapan agar saya kembali berubah.

“Ternyata, teguran yang diberikan itu sia-sia sahaja. Ini kerana, saya menjadi semakin liar dan sudah berani membawa lelaki balik ke rumah sewa sama seperti Hana,” jelasnya.

Menurut Nurul, disebabkan mereka berdua kerap membawa pulang lelaki untuk bermalam, rakan serumah yang lain telah menghalau dia dan Hana keluar dari rumah sewa tersebut.

Dibuang universiti

Kehidupan mereka berdua pada waktu itu tidak ubah seperti pengemis.

“Ketika itu, semua lelaki yang pernah bersama kami tidak mahu menghulurkan bantuan. Malah, mereka lari jauh daripada kami.

“Bagai jatuh ditimpa tangga, saya dan Hana kemudian menerima surat yang menyatakan bahawa kami telah dibuang daripada universiti atas kegagalan menghadirkan diri ke kuliah melebihi dua bulan,” jelasnya.

Menurut Nurul, dugaannya tidak berhenti di situ sahaja, masalah yang datang semakin bertimpa-timpa apabila dia disahkan hamil hasil hubungan terlarang dengan lelaki-lelaki yang dikenalinya di kelab malam.

“Pada waktu itu barulah saya sedar perbuatan yang dilakukan sebelum ini akhirnya memakan diri sendiri. Disebabkan tidak mahu dimarahi keluarga atas keterlanjuran ini, saya bertindak nekad untuk menggugurkan kandungan tersebut.

“Pelbagai cara telah saya lakukan untuk menggugurkan kandungan termasuk meminum air rendaman ubat periuk. Bagaimanapun, kesemua usaha tersebut gagal.

“Berbekalkan saki-baki wang pinjaman pelajaran yang terdapat di dalam akaun bank, saya menggugurkan kandungan tersebut di sebuah klinik berdekatan universiti,” jelasnya.

Menurut Nurul, walaupun berjaya menggugurkan kandungan tersebut dengan selamat, namun jiwanya kini berasa kosong dan sering dihantui dengan tangisan bayi.

“Disebabkan tidak mahu terus hanyut, saya kembali ke pangkuan keluarga. Bagaimanapun, saya tidak menceritakan perihal yang sebenar.

“Saya katakan kepada keluarga bahawa saya dibuang daripada universiti kerana mendapat Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA) yang rendah dalam peperiksaan,” jelasnya menutup bicara.