Hidangan tersebut kemudiannya diletakkan di atas papan pemotong dan dihiris kepada beberapa bahagian sebelum disusun di atas pinggan.

Tekstur makanan yang kelihatan seperti daging lembut dan empuk sewaktu dihiris itu menampakkan ia sungguh menyelerakan ditambah dengan keadaannya yang dibakar sempurna.

Namun, jangan tertipu, hidangan yang dimasak itu sebenarnya bukanlah daging bakar seperti yang disangka, sebaliknya ia adalah sebiji buah tembikai yang diadun dengan rempah-rempah tertentu dan dibakar sehingga menyerupai daging.

Hidangan tersebut pastinya memberi kelegaan buat pengamal sayur-sayuran kerana mereka masih berpeluang mencuba hidangan tembikai bakar yang dihasilkan menyerupai daging.

Hidangan unik dan istimewa itu telah dicipta oleh cef Will Horowitz, pemilik restoran Ducks Eatery di East Village sehingga mencetuskan fenomena di internet.

 

Perap tembikai

Rata-rata pengguna internet percaya bahawa hidangan yang dimasak itu adalah daging bakar kerana teksturnya sama seperti daging semasa ia dihiris dengan menampakkan bahagian dalam tembikai itu yang kelihatan kemerah-merahan sama seperti daging stik.

“Ia kelihatan sangat aneh apabila mengetahui hidangan tersebut sebenarnya adalah tembikai yang dibakar.

“Tekstur dan rasanya sama seperti daging semasa dikunyah tetapi masih terasa manis buah tembikainya yang sungguh sedap,” ujar Jeremy Jacobowitzan yang merupakan seorang pengkritik makanan popular di Instagram.

Menurut Horowitz, cara penyediaan tembikai bakar itu sama seperti cara-cara untuk memasak daging bakar dengan bahan-bahan perapan yang biasa digunakan untuk memerap daging.

Untuk menyediakan hidangan tembikai bakar itu, Horowitz akan mengupas kulit tembikai dan melumur buah tembikai tersebut dengan campuran beberapa jenis herba rahsia dan garam sebelum diperap selama empat hari.

Selepas empat hari, buah tembikai yang telah diperap itu akan dibakar bersama herba rosemary selama lapan jam di dalam ketuhar sehingga mengeluarkan aroma dan jus yang menyelerakan.

 

Memuji

Hidangan tembikai bakar itu yang tersebar dalam laman sosial telah mendapat pelbagai reaksi orang ramai yang tertanya-tanya tentang rasa dan kesedapan sajian tersebut.

“Tidak pasti sama ada saya boleh menelannya selepas mengetahui ia bukanlah daging yang dibakar tetapi sebenarnya buah tembikai,” ujar seorang pengguna laman sosial.

Dalam komen lain, seorang pengguna laman sosial telah memuji kreativiti Horowitz untuk menghasilkan kelainan baharu dalam masakan dan menjadikan ia sesuatu yang menyeronokkan dan menarik.

Sajian tembikai bakar itu bukanlah eksperimen kali pertama terhadap buah-buahan yang dihasilkan oleh Horowitz.

Terdahulu, dia pernah mencipta menu burger dengan menggunakan buah rock melon yang diadun bagi menggantikan daging.

Walaupun buah rock melon yang menggantikan kepingan daging burger itu tidak berlemak, namun rasanya sungguh enak dan tidak jauh berbeza dengan daging sebenar dengan menggunakan bahan-bahan seperti lada hitam, labu bakar dan herba.

Cef Horowitz hasilkan sajian aneh berupa tembikai bakar yang dimasak menyerupai daging bakar dan rasanya dikatakan sangat sedap oleh pengkritik makanan.