Robot kucing berwarna biru itu menjadi kegilaan bukan sahaja dalam kalangan kanak-kanak tetapi juga orang dewasa.

Obsesi terhadap watak animasi itu, menjadikan seorang wanita dari Indonesia, Reghina Karwur sanggup berbelanja besar dan menghias kediamannya yang terletak di Manado, Sulawesi Utara, Indonesia dengan tema Doraemon.

Isteri dan ibu kepada dua orang anak itu cukup menggilai karakter Doraemon dan memenuhi setiap inci kediamannya dengan karakter robot berkepala bulat tersebut yang dianggap cukup comel dan unik.

Kediamannya yang digelar ‘Rumah Biru Doraemon’ sering menjadi tumpuan pengunjung khususnya warga setempat.

Kediaman teres dua tingkat milik wanita itu menjadi tular di media sosial kerana dia kerap memuat naik foto-foto rumahnya di laman perkongsian gambar Instagram @reghinakawur.

Kini, dia memiliki lebih 40,000 pengikut yang rata-ratanya cukup mengagumi kesungguhan wanita itu menghias kediamannya dengan karakter Doraemon.

Lebih menarik lagi, kegilaan Reghina turut membuatkan dia sanggup menghias dalaman kenderaan miliknya dengan karakter yang sama.

Hias kereta

Karpet keretanya ditukar kepada karpet kereta dengan bermotif Doraemon dan kerusi kereta pula telah ditukar dengan warna biru yang cukup sinonim dengan karakter kartun popular itu.

Menurut wanita berkaca mata tersebut, dia tidak kisah dengan pandangan orang luar terhadapnya.

“Jika orang lain sibuk membeli-belah pakaian baharu untuk bergaya, saya pula sibuk membeli- belah barang keperluan rumah bertemakan Doraemon.

“Biarlah apa kata orang, saya tidak kisah,” tulisnya pada sekeping foto di Instagram.

Selain itu, bilik dua anaknya, Elicya dan Hanna juga turut dipenuhi karakter Doraemon.

Dua orang anak perempuannya itu memahami kegilaan ibu mereka terhadap Doraemon dan mereka juga tidak kisah apabila bilik tidur mereka dihias dengan karakter sama.

Kesenadaan

Ujar Reghina, dia akan membeli apa sahaja barangan yang mempunyai karakter Doraemon dan meletakkannya di rumah.

“Kadangkala, saya juga akan menghasilkan sendiri produk yang saya mahukan, sesuai dengan cita rasa.

“Antaranya termasuklah menghasilkan pelekat Doraemon yang saya tampalkan pada dapur gas di rumah,” ujarnya.

Reghina juga akan membeli barangan berwarna biru yang menyerupai warna Doraemon bagi mencipta kesenadaan dengan dekorasi keseluruhan rumah.

Wanita itu juga mengakui bahagian dapur merupakan bahagian kegemarannya memandangkan lantai ruang tersebut juga dipenuhi dengan karakter Doraemon.

Dinding pada ruangan itu juga turut ditampal dengan pelekat Doraemon yang ditempah khas oleh Reghina.

Hasilnya, ruang tersebut kelihatan sedikit serabut, namun ia amat bertepatan dengan konsep yang diingini wanita tersebut.

Kongis Reghina, dia juga gemar menghadiri acara yang bertemakan Doraemon di sekitar Indonesia.

“Pada tahun lalu, saya tidak dapat menghadirkan diri ke sebuah acara sambutan Hari Natal bersama Doraemon yang diadakan di Jakarta Utara.

“Ketika itu, saya kurang sihat dan doktor tidak membenarkan saya menaiki pesawat.

“Saya akui, keadaan tersebut menjadikan saya agak tertekan dan sedih sehingga terpaksa memujuk hati,” katanya.

Wanita itu bagaimanapun tidak mendedahkan jumlah wang yang dibelanjakan untuk kesemua barangan Doraemon yang dimiliki.

Kediaman Reghina sebelum ini pernah tular di Vietnam dan netizen di sana juga cukup mengagumi kegigihan wanita itu menghias kediamannya dengan karakter kesukaannya itu.