Selain bertekad mempertahan status juara Piala FA, Kedah meletakkan sasaran untuk menjuarai Liga Super serta merampas semula Piala Malaysia musim ini.

Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) percaya skuad Helang Merah mampu mengulangi sejarah yang pernah dicipta sebelum ini apabila mencatat rekod cemerlang muncul juara ‘double treble’ selama dua tahun berturut-turut iaitu pada 2007 dan 2008.

Berdasarkan rekod musim lalu, KFA yakin dapat mencipta kejayaan tersebut, ditambah pula dengan faktor keampuhan saf kejurulatihan dan para pemain yang membarisi Kedah pada saingan Liga M musim ini.

Bagi mencapai sasaran itu, Presiden KFA yang juga Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md. Hanipah sebelum ini telah menyuntik semangat para pemain dengan menegaskan skuad Helang Merah perlu menghapuskan istilah tewas dalam kamus pasukan.

Penolong Pengurus Kedah yang baharu, Haris Che Mat berkata, beliau percaya sasaran yang diletakkan Ahmad Bashah mampu dicapai berdasarkan persiapan rapi yang dilakukan pengurusan KFA dalam membina Helang Merah menjadi antara pasukan hebat yang digeruni dan dihormati pasukan lawan.

“Saya percaya sasaran yang diletakkan Presiden KFA itu juga merupakan satu motivasi kepada pihak pengurusan pasukan, kejurulatihan dan pemain-pemain untuk membawa pasukan Kedah lebih cemerlang pada musim ini,” katanya ketika ditemui di Alor Setar baru-baru ini.

Haris berkata, pelantikan ketua jurulatih baharu dari Sepanyol, Ramon Marcote merupakan antara pilihan tepat untuk mengendalikan Kedah memandangkan para pemain dan penyokong begitu teruja dengan kehadirannya.

Malah, beliau memberitahu, Marcote yang dicalonkan oleh penaja utama Helang Merah, ECK Development Sdn. Bhd. sememangnya cukup serasi dan rapat dengan pemain-pemain Kedah yang pernah berada di bawah bimbangannya sebelum ini.

“Marcote pasti mahu menunjukkan kemampuannya selepas pertama kali dilantik sebagai ketua jurulatih dalam kariernya dengan membantu Kedah menjulang Piala Malaysia, Piala FA dan menjuarai Liga Super musim ini,” katanya.

Beliau berkata, empat pemain import termasuk dua muka baharu yang dipilih untuk membantu Kedah juga mampu menggegarkan pentas Liga M musim ini.


Taruhan terbaik

“Gandingan dua pemain import, Liridon Krasniqi dan Sandro da Silva diharap dapat mempamerkan aksi lebih memukau musim ini,” katanya.

Dua awang import baharu Kedah iaitu pemain skuad kebangsaan Filipina, Alvaro dan pemain kelahiran Sepanyol, Pablo Pallares menunjukkan persembahan yang membanggakan pada perlawanan pramusim - Piala Super Suramadu 2018 di Surabaya, Indonesia baru-baru ini.

“Dua pemain import baharu itu bakal menjadi perhatian peminat bola sepak di negara ini berdasarkan prestasi mereka dalam membantu pasukan masing-masing sebelum ini,” ujarnya.

Pada masa sama, beliau berkata, pihak pengurusan KFA menaruh kepercayaan yang tinggi terhadap kemampuan tonggak berpengalaman dan pemain muda tempatan untuk membantu Kedah mengulangi sejarah meraih gelaran ‘double treble’.

Bagi saingan musim ini, Kedah mengekalkan beberapa tonggak utama antaranya ketua pasukan, Khairul Helmi Johari, Baddrol Baddrol Bakhtiar, Mohd. Syazwan Zainon, Mohd. Rizal Ghazali dan penjaga gol, Mohd. Ifwat Akmal Che Kassim.

“Beberapa pemain muda yang diserap masuk daripada skuad Piala Belia dan Piala Presiden Kedah juga mempunyai bakat yang besar serta berkemampuan untuk digandingkan bersama pemain senior,” jelas.

Antara pemain muda Kedah yang menunjukkan prestasi cemerlang pada kejohanan Piala Super Suramadu 2018 ialah Asri Muhamad, Hidhir Idris dan Akmal Azmi.

“Saya percaya adunan pemain import dan tempatan termasuk pemain muda mampu membentuk sebuah pasukan yang mantap untuk menghadapi Liga M yang dijangka lebih sengit dan mencabar musim ini.

“Keseluruhan pemain Kedah kini telah bersedia dan menanti tiupan wisel pertama untuk memulakan pertarungan,” katanya.