WAJAH Amirah (bukan nama sebenar), 28, petang itu cukup sugul, namun dia tetap melemparkan senyuman kelat kerana mahu kisah yang diceritakan menjadi pengajaran kepada semua individu di luar sana.

Memulakan bicara, Amirah dalam nada sebak memberitahu, perkenalannya dengan arwah tunang bermula tiga tahun lalu semasa menuntut di sebuah kolej swasta di ibu kota.

Sharif (bukan nama sebenar), 31, merupakan seorang fasilitator bagi sebuah program kesihatan yang dianjurkan kolej berkenaan.

“Sharif merupakan senior di kolej dan perkenalan kami bermula apabila Sharif terjumpa te­lefon bimbit saya yang tertinggal di dalam sebuah dewan selepas program berakhir.

“Selepas menyedari telefon bimbit hilang, saya berpatah balik ke lokasi program dan diberitahu bahawa Sharif menemui te­lefon bimbit itu dan menyimpannya untuk saya.

“Selepas insiden itu, kami semakin rapat dan mula berpacaran,” ungkap Amirah.

Hubungan yang terjalin direstui keluarga kedua-dua belah pihak sehingga mereka mengikat tali pertunangan pada penghujung tahun lalu.

Menaruh hati

Begitu pun, Amirah diduga apabila mendapat tahu tentang rakan baik yang juga teman sebiliknya, Fasihah (bukan nama sebenar) turut menaruh hati pada Sharif.

“Sharif memberitahu saya, Fasihah sering menghantar kiriman WhatsApp kepadanya pada waktu menjelang tengah malam.

Bagaimanapun, sebagai tunang kepada Sharif, Amirah tidak cepat melatah kerana dia tahu lelaki itu seorang yang baik selain amat mempercayai Fasihah.

Di depan Amirah pula, Fasihah cukup baik dan sering membantu memulihkan hubungannya dengan Sharif apabila mereka bertengkar.

Begitu pun, Sharif kemudiannya memberitahu bahawa Fasihah ada mengaku bahawa dia sudah lama menaruh hati pada jejaka tinggi lampai itu dan agak kesal apabila Sharif memilih Amirah sebagai pasangan hidupnya.

“Saya tidak tahu langsung tentang perasaan Fasihah terhadap Sharif kerana sepanjang perhubungan kami, Fasihah kerap memberikan saya dorongan untuk menerima lelaki itu kerana percaya Sharif mampu menjaga saya.

“Saya juga dimaklumkan bahawa teman baik saya itu berhasrat mahu menikahi Sharif,” ujar Amirah.

Amirah kemudian bersemuka dengan Fasihah untuk bertanyakan hal sebenar.

Fasihah bagaimanapun berkata, dia hanya bergurau dengan Sharif dan Amirah sepatutnya tidak memperbesarkan hal tersebut kerana dia tidak mahu hubungan mereka menjadi keruh.

Amirah dan Sharif yang sepatutnya bernikah pada pertengahan tahun lalu diuji apabila Sharif tiba-tiba jatuh sakit.

Awal tahun lalu, Sharif tiba-tiba diserang demam panas sehingga tidak boleh bangun dan hanya terlantar di atas katil.

Muntah-muntah

Lelaki kelahiran sebuah negeri di utara tanah air itu juga mula muntah-muntah selain tidak mahu langsung berjumpa dengan Amirah kerana mendakwa wanita itu membuatkannya berasa marah.

Selepas sebulan, keadaan Sharif masih tidak menunjukkan tanda-tanda akan sembuh membuatkan Amirah semakin resah meman­dangkan tarikh perkahwinan mereka semakin hampir.

“Lebih menghairankan, doktor yang merawat Sharif memberitahu dia tidak menghidap apa-apa pe­nyakit walaupun badannya begitu lemah,” ujar Amirah.

Buntu dengan keadaan itu, Amirah berjumpa de­ngan rakan-rakannya untuk bertanyakan pendapat termasuklah Fasihah.

Begitu pun, Fasihah yang disangka akan membantunya dengan menyediakan segala persiapan tiba-tiba ketawa sinis dan meminta Amirah supaya reda sahaja de­ngan kea­daan tunangnya itu.

“Semasa saya, Fasihah dan beberapa orang rakan lain sedang makan di sebuah restoran berdekatan rumah saya, Fasihah tiba-tiba memberitahu bahawa semua yang berlaku adalah balasan kepada kejahatan saya terhadapnya.

“Terkejut, saya memintanya untuk memberitahu perkara sebenar dan memberitahu bahawa dia sudah meminati Sharif sebelum saya dan Sharif mula berkenalan.

“Katanya, Sharif memiliki ciri-ciri lelaki idamannya. Fasihah juga menuduh saya sengaja meninggalkan telefon bimbit saya semasa program kesihatan yang berlangsung di kolej kami dengan tujuan untuk merebut Sharif daripadanya,” ujar Amirah.

Selain itu, Amirah juga turut dilabel perempuan gedik dan gatal kerana mahu merampas Sharif daripada Fasihah.

Mereka bergaduh besar sebelum Fasihah kemudian mengaku bahawa dialah yang telah menyihir Sharif. Amirah terkedu dan hanya mampu menangis mengenangkan tunangnya yang jatuh sakit angkara rakan baiknya sendiri.

Selepas insiden itu, Fasihah hilang entah ke mana sehingga tidak dapat dikesan dan dipercayai telah berpindah ke luar negara.

Dalam pada itu, keadaan Sharif bertambah tenat. Tubuh lelaki itu semakin kurus kerana dia langsung tidak mahu makan biarpun selepas dipujuk.

Semua kaedah perubatan sama ada moden dan tradisional sudah dicuba Amirah dan keluarganya, namun Sharif masih juga tidak sembuh. Sebulan sebelum tarikh mereka dijadualkan bernikah, Sharif akhirnya meninggal dunia selepas terlantar sakit selama empat bulan.

“Biarpun sukar, saya reda dan akan sentiasa menitipkan doa buat arwah Sharif.

“Tentang Fasihah, Tuhan sahaja yang layak menghukumnya. Saya harap dia akan berubah dan kembali ke jalan yang benar,” luah Amirah menoktah bicara.