Sekali-sekala, dia mengerling ke arah kertas lakaran yang diletakkan di sebelahnya.

Walaupun gadis berusia 30 tahun itu dilahirkan cacat dengan lumpuh dari bahagian leher sehingga kaki akibat kece­deraan saraf sewaktu dilahirkan, namun keadaan tersebut tidak menghalangnya daripada dia terus berkarya.

Apa yang membanggakan, ge­lang-gelang yang dihasilkannya itu mendapat sambutan yang memberangsangkan dan dijual secara meluas untuk pasaran di Amerika Syarikat, Kanada, Eropah dan juga Afrika.

Malah, sejak dia menceburkan diri dalam dunia pembuatan gelang manik itu pada tahun 2013, gadis kelahiran Claremont, California, Amerika Syarikat itu mendakwa telah menghasilkan lebih 500 utas gelang.

“Sebenarnya, idea untuk menghasilkan dan menjual gelang datang secara tidak sengaja selepas saya tamat persekolahan khas kira-kira lima tahun lalu.

“Pada waktu itu, saya terfikir apa yang boleh dilakukan untuk menampung kehidupan pada masa akan datang. Saya sedar, dengan kecacatan yang dimiliki, mana mungkin ada majikan yang ingin mengambil saya bekerja,” jelasnya.

Menurut Hughes, suatu hari, dia terpandang kedai menjual barangan kraf berdekatan kediamannya.

Biarpun tidak mengetahui apa yang ingin dilakukan, Hughes mendakwa telah membeli beberapa bungkus manik berwarna-warni dan dibawa pulang ke rumah.

Eksperimen

“Setibanya di rumah, saya mula bereksperimen dengan manik-ma­nik tersebut sehinggalah idea untuk menghasilkan gelang muncul dalam kotak fikiran.

“Pada mulanya, saya menghadapi kesukaran untuk menghasilkan gelang memandangkan kedua-dua tangan tidak dapat berfungsi seperti manusia normal.

“Bagaimanapun, saya mula berikhtiar dengan menggunakan sebatang kayu yang diikat pada alat bantuan yang dipakai di kepala,” jelasnya.

Biarpun sukar, namun apa yang meme­ranjatkan ialah, Hughes mampu menyiapkan gelang pertamanya dalam masa 20 minit sahaja.

Bermula dari saat itu, Hughes mula menjual gelang-gelang tersebut menerusi dalam talian dengan membuka web perniagaan aksesori yang dikenali sebagai PDelight.

Malah, gelang-gelang yang dihasilkan oleh Hughes menjadi begitu popular sehingga dia kini terpaksa bersengkang mata untuk menyiapkan tempahan aksesori tersebut.

“Sebelum gelang-gelang ini dihasilkan, saya akan meletakkan manik-manik tersebut di atas satu dulang khas mengikut corak yang diinginkan menggunakan sebatang kayu.

“Saya kemudian mema­sukkan tali tangsi ke dalam lubang manik tersebut mengikut saiz kepanjangan yang diinginkan.

“Setelah siap, gelang tersebut akan diberikan kepada ibu saudara untuk diikat menjadi seutas gelang,” jelasnya.

Gelang kesihatan

Ternyata, Hughes bukan sahaja ­kreatif, malah pandai mencari peluang untuk mengembangkan perniagaannya.

Mana tidaknya, selain menghasilkan gelang mengikut tema dan corak-corak tertentu, Hughes juga menghasilkan gelang dengan ukiran nama pelanggan.

“Saya mahukan gelang yang dihasilkan ini disukai oleh pelanggan.

“Disebabkan itu, saya menerima apa sahaja tempahan yang diberikan. Selain ukiran nama, saya turut menerima tempahan gelang untuk majlis-majlis khas seperti korporat dan hari jadi.

“Bagaimanapun, saya tidak me­nyangka sambutan yang diterima begitu menggalakkan sehingga menyebabkan saya tidak menang tangan,” jelasnya.

Bukan itu sahaja, Hughes turut menghasilkan ge­lang yang mampu merangsang kesihatan individu.

Sebagai contoh, ge­lang warna hijau daripada batu kapur yang didakwa mampu memulihkan kecederaan saraf tunjang si pemakai.

“Ini merupakan antara impian saya ketika menceburkan diri dalam dunia pembuatan gelang.

“Selain dijadikan aksesori perhiasan wanita, saya juga mahu gelang-gelang ini dijadikan sebagai salah satu kaedah rawatan untuk pesakit-pesakit melalui aura batu kapur yang digunakan,” jelasnya.

Gadis cacat kelahiran California, Amerika Syarikat hasilkan lebih 500 utas gelang sejak lima tahun lalu dengan menggunakan alat bantuan di kepala untuk dijual kepada orang ramai sekitar Amerika Syarikat, Eropah dan Afrika.