Menyedari hakikat itu, sepasang suami isteri nekad menghasilkan sendiri hiasan dekorasi rumah yang diperbuat daripada konkrit dan tidak menyangka ia mendapat sambutan yang menggalakkan, khususnya dalam kalangan warga muda yang sukakan konsep dekorasi ringkas dan moden.

Berkongsi cerita, Shahfiq Abdul Manap, 35, memberitahu, kegilaannya menghasilkan dekorasi rumah yang diperbuat daripada konkrit bermula kira-kira dua tahun lepas.

“Semuanya bermula daripada isteri saya, Adesh Zaini, 35, yang cukup gemar melayari laman web Pinterest dan melihat item dekorasi rumah. Dia kemudian tertarik dengan perhiasan kecil yang diperbuat daripada konkrit yang nampak moden, seterusnya mula mencari item sama di negara ini.

“Begitu pun, ia tidak boleh dijumpai di mana-mana kedai menjual hiasan dalaman di dalam negara,” katanya.

Ekoran itu, timbul idea untuk Shahfiq menghasilkan sendiri bahan konkrit tersebut dan mereka melihat kaedah pembuatannya menerusi YouTube.

“Hasilnya, selepas melakukan penyelidikan selama lebih enam bulan, jenama BentukBentuk ditubuhkan pada April 2016,” ujarnya.

Jenama tempatan

Nama BentukBentuk dipilih oleh Shahfiq kerana anak muda itu mahukan satu nama yang mudah diingati dan melambangkan jenama tempatan.

“BentukBentuk cukup mudah disebut dan diingati dan ia juga merupakan satu perkataan bahasa Melayu. Oleh itu, saya rasa ia merupakan nama yang paling sesuai untuk produk kami yang merupakan produk tempatan,” luah Shahfiq.

Sehingga kini, Shahfiq sudah menghasilkan pelbagai jenis item dekorasi seperti dulang kecil empat segi yang digunakan untuk meletakkan kunci kereta, bekas berbentuk kon yang berfungsi sebagai tempat menyimpan cincin dan faceted sphere pot yang berfungsi sebagai pasu untuk pokok-pokok kecil yang diletakkan di dalam rumah.

Proses menghasilkan sesebuah item dekorasi juga tidaklah sesukar mana, namun ia mengambil masa sekitar tiga atau empat hari untuk disiapkan.

“Proses pertama ialah mencampurkan pasir halus dengan sukatan air yang betul bagi mendapatkan campuran konkrit. Warna pada konkrit pula dihasilkan daripada serbuk pigmen yang dicampurkan bersama larutan konkrit semasa ia masih basah.

“Kemudian, campuran konkrit tersebut akan dituang ke dalam acuan silikon yang dihasilkan sendiri oleh saya dan isteri. Selepas itu, konkrit akan dibiarkan kering dan mengeras dalam tempoh 12 hingga 24 jam, bergantung kepada bentuk dan saiznya.

“Setelah kering, konkrit akan direndam dalam air selama enam hingga 12 jam dan proses tersebut dinamakan curing process. Proses seterusnya pula adalah meletakkan cecair kalis air pada permukaan konkrit bagi menjadikan ia lebih tahan lama dan tidak berhabuk,” ujarnya panjang lebar.

Selain dihasilkan dalam pelbagai bentuk yang menarik, rekaan pada produk konkrit yang dihasilkan Shahfiq juga cukup segar, moden dan unik.

Harga bagi setiap item BentukBentuk adalah serendah RM10 hingga RM98.

Custom made

Lelaki tinggi lampai itu juga teruja kerana tidak menyangka produk ciptaannya mendapat sambutan yang cukup menggalakkan dan dia juga menerima tempahan custom made daripada pelanggan yang mementingkan gaya dalam menata rias kediaman mereka.

“Kami menerima tempahan rekaan khas mengikut cita rasa pelanggan, namun kami akan mengenakan caj tambahan kerana BentukBentuk perlu membuat lakaran produk dan menggunakan mesin cetakan 3D yang memerlukan kos yang agak tinggi,” katanya kepada kru Jurnal.

Buat masa ini, BentukBentuk tidak memiliki kedai atau premis sendiri. Bagaimanapun, item dekorasi jenama itu boleh didapati di beberapa lokasi sekitar ibu kota seperti Isetan The Japan Store, Lot 10; Ilham Gallery Shop, Jalan Binjai; Ninth Gallery, pusat beli-belah Publika dan pembelian secara online boleh dibuat melalui laman web www.bentukbentuk.com.

Kegilaan Shafiq dan isteri, Adesh melayari laman web Pinterest untuk melihat barangan dekorasi rumah mendorong mereka untuk mewujudkan jenama BentukBentuk yang menghasilkan item dekorasi menarik daripada konkrit.