Melihatkan penggunaan fabrik dan kekemasan jahitan yang dijahit yang ada pada pakaian seragam tersebut, tidak hairanlah jika jenama itu sering mendapat tempat di hati golongan ibu bapa.

Sedang leka melihat proses penghasilan baju seragam sekolah tersebut, pandangan kami tertumpu pada baju kemeja kolar hitam yang sedang dijahit oleh salah seorang tukang jahitnya.

Mana tidaknya, itu merupakan kali pertama kami melihat uniform sekolah yang menggunakan kolar gelap.

Melihatkan kerutan pada wajah kru Panorama, pemiliknya, Sofia Mansor menceritakan mengenai inovasi kolar gelap pada uniform sekolah yang dihasilkan oleh syarikatnya.

“Ini merupakan penambahbaikan yang kami lakukan bagi memastikan pakaian seragam anak-anak sentiasa bersih dan kemas.

“Sejak berkecimpung dalam dunia pembuatan pakaian seragam sekolah lebih tiga tahun lalu, saya sering menerima rungutan daripada ibu bapa yang mana mereka sukar untuk membersihkan kekotoran dan daki di bahagian dalam kolar baju anak-anak.

“Sebagai ibu kepada tiga orang anak lelaki, saya turut berhadapan dengan masalah tersebut. Setiap hari, saya terpaksa menyental dahulu kotoran itu sebelum membasuhnya menggunakan mesin basuh,” ceritanya ramah.

Menurut Sofea lagi, menyedari dilema yang sering dialami oleh kebanyakan ibu bapa, dia mengambil inisiatif untuk menghasilkan pakaian seragam sekolah berkolar gelap.

Poket berzip

Biarpun tampak ringkas, namun Sofia akui proses pembuatan uniform sekolah berkolar gelap mengambil masa lebih satu tahun untuk penyelidikan.

Bukan itu sahaja, Sofia juga terpaksa turun naik ke Kementerian Pendidikan bagi mendapatkan kelulusan supaya uniform tersebut boleh dijual dan diguna pakai oleh pelajar sekolah di negara ini.

Hasil usaha keras wanita berusia 38 tahun itu, uniform yang diinovasikan olehnya berjaya mendapat kelulusan daripada Unit Pengurusan Sekolah Harian dan kini sedang dipatenkan di Perbadanan Harta Intelek Malaysia.

“Sebenarnya, banyak penambahbaikan yang boleh dilakukan daripada rungutan yang dibuat oleh ibu bapa. Justeru sebagai pengeluar pakaian seragam sekolah, saya memandang serius rungutan yang diberikan.

“Selain menghasilkan uniform berkolar gelap, saya turut menghasilkan baju kurung dengan kocek yang berzip.

“Seperti yang diketahui umum, kanak-kanak hari ini begitu aktif dengan pelbagai aktiviti di sekolah. Disebabkan itu, mereka juga tidak terkecuali daripada berhadapan dengan masalah keciciran wang atau barangan yang diletakkan di dalam kocek baju kurung.

“Sebagai alternatif untuk menyelesaikan masalah tersebut, kami tampil dengan baju kurung yang mana koceknya diletakkan zip bagi membolehkan ia ditutup dan seterusnya menyelesaikan masalah keciciran barang,” jelasnya.

Menceritakan dengan lebih lanjut penjualan uniform sekolah yang diusahakan sejak lebih tiga tahun lalu, anak jati Kluang, Johor itu memberitahu, biarpun dengan penambahbaikan yang dibuat pada pakaian seragam tersebut, namun baju tersebut hanya dijual pada harga RM39 sehelai.

Video tutorial

Menariknya, Sofia turut menjual uniform sehingga dari saiz paling kecil sehingga ke saiz paling besar iaitu bagi memenuhi keperluan pelajar-pelajar sekolah.

“Selain di Semenanjung, kami juga banyak menerima tempahan dari ibu bapa yang menetap di Sabah dan Sarawak.

“Atas dasar itu juga, kami turut menjual uniform sekolah secara dalam talian. Menariknya, mereka boleh membeli pakaian yang diinginkan pada saiz yang tepat dengan hanya perlu mengukur baju mengikut arahan pada rakaman video kami.

“Dari situ, kami boleh dapat mengetahui ukuran sebenar seseorang pelajar dan seterusnya memberikan mereka pakaian pada ukuran yang tepat,” jelasnya.

Jelas Sofia lagi, selain pembelian dalam talian, uniform sekolah berkolar gelap yang dihasilkannya turut dijual di ruang pameran Miracle Caliph di Denai Alam, Shah Alam, Selangor, pasar raya Econsave dan portal beli-belah dalam talian Shopee serta Lazada.