Beberapa minit kemudian, Seife meletakkan berus lukisan yang dipegang di dalam bekas pembancuh warna.

Sambil bersandar di kerusi, matanya merenung tajam ke arah beberapa keping lukisan lain, seakan mencari idea baharu.

Tidak beberapa lama kemudian, mulutnya mula mengukirkan ­senyuman.

Seakan menemui ilham yang di­dambakan, pemuda berasal dari Asia Barat itu kemudian berjalan perlahan ke arah kanvas tersebut sebelum meneruskan kembali kerja-kerja mewarna yang tergendala.

“Melukis nampak sahaja mudah. Tetapi sebenarnya, ia memerlukan kreativiti dan jiwa yang tenang bagi mendapatkan idea-idea lain daripada lain.

“Daripada situ, barulah kita dapat menghasilkan satu lukisan yang menarik dan meninggalkan kesan mendalam terhadap orang yang melihatnya,” jelasnya.

Ternyata, perkara itu dipegang oleh Seife dan dipraktikkan dalam setiap karya yang dihasilkannya.

Mana tidaknya, Seife berjaya menghasilkan sebuah lukisan kelihatan tidak ubah seperti sebuah permaidani Parsi yang sebenar sehingga ia dipuji setiap individu yang melihatnya.

Permaidani Parsi

Lukisan tersebut lantas menimbulkan kekeliruan dalam kalangan orang ramai hingga ada yang me­nyangka ia merupakan permai­dani Parsi sebenar.

“Lucu apabila mengingatkan beberapa pelanggan yang melihat lukisan saya menyangka ia merupakan permaidani sebenar.

“Hingga ke satu tahap, ada yang ingin membeli pada harga tinggi kerana terlalu kagum dengan kehalusan seni yang dihasilkan,” jelasnya.

Biarpun pelukis yang berpangkalan di Miami, Amerika Syarikat itu kelihatan seperti seorang pelukis profesional, namun dia mengakui bahawa dirinya masih lagi dalam kategori amatur.

Lebih-lebih lagi apabila dia baharu sahaja melibatkan diri dalam industri tersebut sekitar tahun 2015.

“Sebelum ini, saya merupakan seorang pelukis mural dan bekerja sebagai pereka grafik di sebuah syarikat di Miami.

“Bagaimanapun, minat untuk menceburkan diri dalam bidang lukisan muncul pada tahun 2015.

“Pada waktu itu, saya lebih gemar melukis gambar-gambar berkait rapat dengan masa silam terutama­nya yang mampu mengimbau kenangan lalu,” jelasnya.

Menurut Seife lagi, beberapa bulan kemudian, dia mula melukis corak-corak berbentuk abstrak, geometri dan juga bunga-bunga yang menonjolkan elemen-elemen di Asia Barat.

Bangkit emosi

Bermula daripada situ, Seife berjaya menggilap kebolehannya untuk melukis dan seterusnya menghasilkan sebuah karya yang kelihatan tidak ubah seperti sebuah permaidani Parsi sebenar.

“Sebahagian daripada corak-corak yang diukir pada lukisan permaidani saya adalah berunsurkan Asia Barat kerana ia merupakan tempat saya dilahirkan.

“Bagaimanapun, saya tidak mengehadkan karya tersebut untuk satu-satu elemen sahaja. Ini kerana, saya turut memasukkan unsur-unsur geometrik bagi menyeimbangkan lukisan tersebut,” jelasnya.

Selain itu, Seife turut menggunakan warna-warna yang melambangkan Asia Barat seperti coklat, jingga dan hitam.

Jelas Seife lagi, pemilihan warna adalah sangat penting bagi sesebuah karya kerana ia mampu membangkitkan emosi, selain menyentuh perasaan individu yang melihatnya.

“Saya mengambil masa sekitar tiga bulan untuk menghasilkan lukisan persis permaidani ini kerana semuanya perlu dilakukan de­ngan teliti bagi memastikan ke­seimbangan warna pada karya-karya dihasilkan,” jelasnya.

Ujar Seife lagi, teknik-teknik yang digunakannya juga mampu memberi kesan tiga dimensi (3D)pada lukisan terbabit.

Hasil tangan Seife ternyata dikagumi ramai hingga ia dipamerkan di Galeri Robert Fontaine di Pantai Miami pada tahun 2016 dan pada tahun ini, karya-karya tersebut ditayangkan di Altes Kraftwerk Rummelsburg di Berlin, Jerman.

Pereka grafik dari Asia Barat ambil masa selama tiga bulan untuk hasilkan sebuah lukisan yang menyerupai permaidani Parsi sebenar dan mempunyai kesan 3D.