Hasil sulaman itu untuk dijual di butik-butik mewah di Paris, London dan Dubai.

Halima yang merupakan ibu kepada tujuh cahaya mata itu menghasilkan produk moden itu dengan sulaman warna berkilau yang bermotifkan Palestin dan Islam.

“Saya bangga melihat orang Eropah memakai apa yang kami buat di sini. Selain itu, majalah fesyen terkemuka juga menunjuk minat dengan menyiarkan dalam majalah yang diterbitkan mereka,” katanya.

Dia antara sebahagian rakyat Palestin yang tinggal di kem perlindungan Yerash di utara Jordan.

Kem perlindungan itu menjadi lokasi penempatan lebih 11,000 orang Palestin yang melarikan diri dari Gaza semasa tercetusnya perang Arab-Israel pada tahun 1967.

Selepas lebih setengah abad didirikan, lebih 29,000 pelarian tinggal di kem tersebut.

Pada tahun 2013, seorang rakyat Itali yang mempunyai latar belakang dalam bidang pelaburan, Roberta Ventura memutuskan untuk menubuhkan satu projek sosial bagi membantu kaum wanita di kem itu.

Produk

Projek Perusahaan Sosial (SEP) yang ditubuhkan itu bertujuan untuk mengubah kehidupan ribuan wanita di kem tersebut.

“Projek ini bermula dengan 10 wanita dan kini ia bertambah menjadi 300.

“Kami membuat produk yang mendapat permintaan seperti selendang, beg tangan, tuala dan pelbagai jenis perhiasan rumah,” kata Pengarah Program SEP, Nawal Aradah.

Setiap dua bulan, sebanyak 11 hingga 14 karton yang mempunyai berat antara 190 hingga 270 kilogram (kg) barangan dihantar ke kedai-kedai di Paris, London dan Dubai.

Sementara itu, Pengurus Serantau SEP, Mahmoud al-Haj berkata, barangan itu juga dijual di wilayah Palestin dan Israel.

Di Hotel Amman, barangan itu turut dijual dalam lingkungan harga AS$30 (RM122) hingga AS$430 (RM1,700).

“Kebanyakan pembeli ialah pelancong asing,” kata Mahmoud.

Bagi golongan wanita, produk sulaman adalah sumber pendapatan yang penting.

“Kami semua menderita kemiskinan di kem ini.

“Kerja ini membantu kami memperbaiki kehidupan walaupun ada produk yang dihasilkan secara individu mendapat bayaran yang rendah,” jelas Halima.

Setiap produk yang memerlukan kerja-kerja sulaman memerlukan masa sekurang-kurangnya seminggu untuk disiapkan.

Dihargai

Halima berkata, proses melakukan sulaman memang sukar dan kadangkala menyebabkan tangannya sakit.

Namun, dia gembira melakukan kerja sedemikian kerana bakat uniknya dihargai di seluruh dunia.

Lebih daripada dua juta pelarian Palestin didaftarkan dengan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Jordan.

Halima dan rakan-rakannya belajar seni sulaman daripada ibu dan nenek mereka.

Setiap kawasan di Palestin mempunyai motif dan corak sulaman yang tersendiri.

Dalam pada itu, seorang wanita di yang turut terlibat dalam projek tersebut, Aradah berkata, selain menyampaikan sejarah dan budaya Palestin ke seluruh dunia, ia juga mempromosikan kemahiran rakyat Palestin.

Bendera dan peta Palestin turut digantung di bengkelnya bagi mengingatkan hubungan mereka dengan tanah kelahiran.

“Setiap wanita di sini mempunyai cerita yang tersendiri.

“Kerja ini membantu kami menghantar anak-anak ke sekolah, menukar perabot di rumah dan memperbaiki keadaan kehidupan kerana ramai suami tidak bekerja,” jelas Aradah.

Dalam pada itu, bagi Hiba al-Hudari yang menganyam dompet biru bermotifkan inspirasi Islam berkata, bengkel itu menjadi rumah keduanya.

Ibu berusia yang berusia 37 tahun itu berkata, dia mendapat kira-kira AS$200 (RM800) sebulan.

“Saya dapat membantu suami yang merupakan seorang mekanik menyediakan kelengkapan untuk isi rumah kami,” katanya. ­– AFP