Stanley Martin Lieber atau nama penanya, Stan Lee tiada beza dengan kebanyakan lelaki tua lain.

Daripada watak seorang penghantar kurier, penjual sosej, penjaga muzium, pesakit mental, deejay kelab malam sehingga angkasawan, beliau pernah melakonkannya.

Setiap kali kemunculan watak kameo lelaki tua itu dalam filem yang diterbitkan Marvel Cinematic Universe, ia pasti mengundang gelak tawa.

Bagi kebanyakan penonton, beliau mungkin tidak begitu penting, namun bagi peminat filem atau komik genre adiwira, figura itu cukup ikonik.

Stan Lee adalah pereka kepada kebanyakan karakter adiwira fiksyen seperti Spider-Man, Fantastic Four, Black Panther, Hulk, Doctor Strange, Thor, Iron Man dan X-Men.

Beliau merupakan seorang penulis, editor dan penerbit buku komik yang berasal dari Amerika Syarikat (AS).

Lelaki kelahiran Manhattan, New York itu memulakan karier sebagai seorang pembantu di Timely Comics yang diterbitkan syarikat Martin Goodman pada tahun 1939.

“Ketika itu, sayalah yang akan memastikan dakwat pen artis diisi dengan penuh.

“Saya belikan makanan tengah hari artis, menyemak pruf dan memadam bekas lukisan pensel daripada muka surat yang telah siap,” katanya kepada Los Angeles Times pada tahun 2009.

Setelah editor Timely Comics, Joe Simon dan sahabatnya, Jack Kirby meninggalkan syarikat itu pada tahun 1941, Stan Lee mula menggalas tugas sebagai editor interim pada usia 19 tahun.

Berputus asa

Pemuda itu mengendalikan perniagaan tersebut sehingga menjadi ketua editor komik seterusnya pengarah seni sebelum menjadi penerbit pada tahun 1972.

Pada mulanya, Stan Lee menulis pelbagai genre antaranya romantik, Barat, jenaka, sains fiksyen, pengembaraan Zaman Pertengahan, seram dan suspen.

Bagaimanapun, pada penghujung tahun 1950-an, beliau mula berputus asa dan terfikir untuk meninggalkan bidang itu.

Bagaimanapun, isterinya, Joan Lee menasihatkannya menghasilkan sebuah komik berdasarkan perkara yang diminatinya tanpa perlu risau kemahuan penerbit.

Kebetulan, gergasi komik dunia ketika itu, DC Comics membuat penambahbaikan terhadap karakter mereka dan menyatukan sekumpulan adiwira terkemuka dalam Justice League of America.

Selepas melihat siri tersebut mendapat sambutan yang baik daripada masyarakat, Timely Comics ditukar menjadi Marvel Comics dan Stan Lee menyuntik perubahan terhadap konsep adiwiranya daripada jenis hero ideal tipikal.

Sebelum ini, kebanyakan adiwira ialah manusia yang sempurna tanpa sebarang masalah serius.

Stan Lee memperkenalkan hero kompleks dengan karakter semula jadi seperti panas baran, melankoli, risau mengenai bil, masalah teman wanita dan sakit fizikal.

Daripada situ, lahirlah siri kumpulan adiwira Fantastic Four yang berlatarkan bandar raya New York.

Ia mengisahkan sekumpulan empat wira yang memiliki kuasa tersendiri yang bergelut dengan ragam seperti manusia biasa.

Karakter keduanya ialah Hulk yang mengisahkan saintis, Dr. Banner terperangkap dalam letupan radiasi gamma sehingga berubah menjadi gergasi berkulit hijau setiap kali marah.

Selain itu, Spider-Man iaitu kisah pemuda pemalu, mangsa buli yang jatuh hati dengan gadis cantik di sekolah kemudian digigit labah-labah radioaktif merupakan siri adiwira paling laris.

Pakar sejarah komik, Les Daniels menyifatkan, Stan Lee memiliki strategi tertentu dan bijak menarik minat pembaca pada zamannya.

“Elemen mistik dan metafizik yang diketengahkan pada siri itu dilihat cukup serasi dengan minat pembaca khususnya golongan muda.

“Bahkan, kisah komik tersebut menjadi kegilaan di kampus-kampus kolej sekitar tahun 1960-an,” jelasnya.

Bagi Stan Lee, komik yang dihasilkannya bukanlah sekadar hiburan semata-mata.

Jalan cerita komik yang dihasilkan kebanyakannya memberi komentar sosial terhadap realiti dunia sebenar antaranya isu perkauman dan ketaksuban.

Isu lain yang turut diketengahkan seperti diskriminasi, prejudis dan ketidaktoleransi.

Revolusi

Pakar sejarah komik, Peter Sanderson pula menyifatkan, revolusi yang dilakukan Stan Lee itu dapat menarik minat pembaca dan membina hubungan komuniti antara peminat serta penulis komik.

“Marvel Comics merupakan peneraju kaedah penceritaan dan karakter baharu, menekankan tema lebih serius serta bermain dengan emosi pembaca,” jelasnya.

Selain terkenal dengan siri komik adiwira ikonik, Stan Lee turut dikenali menerusi sistem penghasilan komik unik yang dikenali sebagai Kaedah Marvel.

Beliau akan mengerah idea sesebuah kisah bersama artis dan menyediakan sinopsis ringkas berbanding skrip penuh.

Berdasarkan sinopsis itu, artis akan melukis mengikut panel penceritaan berdasarkan jumlah muka surat.

Setelah itu, barulah beliau mengisi belon dialog, kapsyen dan menilai huruf serta tona warna. Artis itu kemudiannya berkolaboratif menghasilkan komik.

Pada tahun 1972, Stan Lee berhenti menulis buku komik secara bulanan bagi memberi laluan terhadap karier utamanya selaku penerbit.

Isu terakhir bagi siri The Amazing Spider-Man ialah 110 pada Julai 1972, manakala Fantastic Four pula ialah 125 pada Ogos tahun yang sama.

Stan Lee menempuh tahun-tahun berikutnya sebagai figura dan wajah umum bagi Komik Marvel.

Wajahnya itu kerap dilihat menghadiri persidangan komik, memberi ceramah di kolej-kolej dan menyertai perbincangan panel di serata AS.

Selain meraih pelbagai pencapaian dalam dunia komik, Stan Lee turut memperkenalkan novel grafik digital bertajuk Stan Lee’s ‘God Woke’ pada acara Comic-Con International 2016.

Menariknya, teks novel tersebut ditulis dalam bentuk puisi yang pernah dideklamasinya di Carnegie Hall, AS pada tahun 1972.

Versi cetakan novel itu memenangi Anugerah Penerbitan Buku Bebas pada tahun 2017.

Stan Lee dikredit sebagai produser eksekutif bagi kebanyakan filem dan projek televisyen Marvel sejak filem Captain America pada tahun 1990.

Biarpun sumbangan terhadap dunia komik dilihat cukup besar, kehidupan Stan Lee sejak beberapa tahun lalu dipenuhi dengan pergolakan.

Selepas kematian isteri tercinta, Joan Lee, 69, pada Julai 2017, beliau menyaman beberapa eksekutif di syarikat pembangun filem, televisyen dan permainan video yang diasasnya sendiri pada tahun 2001 iaitu POW! Entertainment.

Jumlah tuduhan penipuan itu bernilai kira-kira AS$1 bilion (RM4.19 bilion), namun saman tersebut ditarik balik seminggu kemudian.

Beliau turut menyaman bekas pengurus perniagaan dan memfailkan perintah sekatan terhadap individu itu yang dikatakan culas menguruskan hartanya berjumlah kira-kira AS$70 juta (RM293 juta).

Selain itu, pada Jun lalu, Polis Los Angeles mendedahkan menerima laporan berkenaan penderaan warga emas yang dilakukan terhadapnya.

Stan Lee meninggal dunia pada usia 95 tahun di Pusat Perubatan Cedars-Sinai, Los Angeles, California selepas dikejarkan ke hospital berkenaan pada pagi Isnin lalu.

Terdahulu, Stan Lee mendedahkan kepada orang awam bahawa beliau sedang bergelut dengan penyakit pneumonia sejak awal tahun lalu.

Beliau juga dikejarkan ke hospital pada Februari lalu akibat penyakit sama.

Bagaimanapun, anaknya belum lagi mendedahkan punca sebenar kematian mendiang.

Anaknya, J. C. Lee berkata, pemergian bapa kesayangan itu meninggalkan kesan yang mendalam terhadap seluruh ahli keluarganya.

“Stan Lee tiada penggantinya. Selain ahli keluarga, para peminat turut menyayanginya,” ujarnya.

Sebelum ini, penampilan istimewa Stan Lee dalam setiap filem dan projek adiwira Marvel Cinematic Universe menjadi antara babak yang ditunggu-tunggu.

Malah, beliau juga difahamkan telah selesai merakamkan babak kameo untuk beberapa filem Marvel antaranya Captain Marvel, Spider-Man Far From Home termasuk Avengers keempat yang bakal ditayangkan sekitar awal tahun depan.

Kemungkinan besar, itulah babak kameo terakhir figura legenda yang selama ini mendukung industri komik moden antarabangsa selama ini.