Melihat hasil X-ray tersebut, Prof. Madya Dr. Mohd. Yazid Bajuri, 42, mengambil keputusan untuk melakukan pembedahan bagi menyelamatkan kaki pesakit itu.

Terlebih dulu, beliau akan memastikan pesakit itu bersedia dari aspek kesihatan sebelum menjalani pembedahan.

Ketika menjalani pembedahan, besi akan dimasukkan ke dalam tulang untuk membetulkan kakinya yang patah dan bengkok.

Selepas itu, pesakit tersebut akan dirawat di wad untuk beberapa hari sehingga luka tersebut sembuh.

Pesakit juga perlu menjalani pemeriksaan di klinik dengan membuat temu janji bersama doktor.

Dalam tempoh tiga hingga enam bulan pesakit boleh berjalan semula dengan menjalani latihan fisioterapi untuk menguatkan otot kaki.

Ia adalah sebahagian daripada tugas Mohd. Yazid sebagai Pakar Perunding Kanan dan Pakar Bedah Ortopedik di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM), Cheras, Kuala Lumpur.

Beliau juga berperanan sebagai Ketua Unit Advance Trauma, Pembedahan Kaki dan Buku Lali dan Perkhidmatan Kaki Diabetes di Jabatan Ortopedik dan Traumatologi PPUKM.

Ortopedik merupakan subbidang ilmu pem­bedahan yang khususnya berkaitan dengan pe­mulihan fungsi sistem rangka serta sendi dan struktur berkaitan.

Rutin tugasannya bermula seawal pukul 8 pagi dengan membuat rondaan wad serta berjumpa pesakit di klinik pada setiap hari Isnin, Rabu dan Jumaat manakala pada hari Selasa pula bertugas di dewan bedah.

Masa pembedahan bergantung kepada keseriusan kecederaan pesakit yang boleh berlanjutan sehingga lima jam.

Pada hari Khamis, Mohd. Yazid melakukan tugasan pengajaran dan pendidikan bersama pelajarnya di PPUKM.

Pada waktu petang pula, beliau akan memulakan kerja-kerja penyelidikan. Beliau akan pulang ke rumah selepas solat Maghrib di hospital untuk makan malam ataupun beriadah bersama keluarga.

Selepas itu, beliau menyambung kerja-kerja penyelidikan sehingga pukul 1 pagi.

Tidak terhenti di situ, pada hari Sabtu pula, beliau akan bertugas sebagai pakar jemputan di hospital swasta.

Kerja keras

Kerja keras anak kelahiran Batu Pahat, Johor itu telah mengangkatnya untuk menerima pelbagai pengiktirafan di dalam dan luar negara.

Beliau yang juga pensyarah perubatan di UKM, telah menghasilkan pelbagai penyelidikan dan inovasi dalam penggunaan teknologi untuk bidang perubatan sejak tahun 2009.

Baru-baru ini beliau telah diiktiraf di peringkat antarabangsa dengan menerima tiga pingat emas dari Jerman, Switzerland dan United Kingdom dalam penyelidikan penggantian tulang khasnya untuk tulang kaki.

Penyelidikan itu mengambil masa selama tiga tahun dengan kerjasama daripada Pusat Kejuruteraan Tisu, UKM.

Kaedah pembedahan sebelum ini, tulang yang patah, hancur dan terkena jangkitan kuman akan dibuang dan terdapat segmen yang kosong iaitu sebanyak dua hingga tiga sentimeter.

Justeru, tulang tersebut akan dipendekkan dan kemudian pesakit perlu menjalani pembedahan kedua untuk memanjangkan kembali tulang tersebut.

Menariknya, dengan menggunakan kaedah baharu hasil penyelidikan Mohd. Yazid, segmen tulang yang dibuang itu akan diletakkan kerangka tulang supaya sel stem pesakit boleh tumbuh di dalamnya.

Di dalam kerangka tulang itu sel-sel tulang baharu akan tumbuh dan memenuhi segmen tulang yang kosong.

Doa ibu

Berbicara mengenai kejayaan yang dikecapinya itu, Mohd. Yazid berkata, ia adalah berkat doa arwah ibunya, Rabiah Abdul Razak.

“Masa kecil-kecil dahulu saya tidak memasang impian untuk bergelar doktor sebaliknya untuk mengikut jejak langkah abang sulung dalam bidang kejuruteraan dan menyambung pengajian di United Kingdom sepertinya.

“Satu hari, ibu memberitahu bahawa dia ingin melihat saya bergelar doktor sejak mengandungkan saya,” ceritanya ketika ditemui Kosmo! di PPUKM, Cheras, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Mendengarkan permintaan tersebut, anak ketiga daripada empat beradik itu merasakan telah menjadi tanggungjawab beliau sebagai seorang anak untuk merealisasikan impian ratu hatinya itu.

Ujar pemegang Ijazah Sarjana Doktor Pembedahan Ortopedik UKM itu, keinginan yang tinggi ibunya untuk melihat beliau bergelar doktor membuatkan wanita itu bertekad untuk solat sunat 40 masjid berlainan jika beliau berjaya menjadi seorang doktor.

Sebaik sahaja berjaya menggenggam segulung Ijazah Sarjana Muda Doktor Perubatan, ibunya telah menyempurnakan hajat tersebut.

Bicara bapa kepada tiga orang cahaya mata itu tersekat-sekat menahan sebak setiap kali mengenangkan ratu hatinya itu.

Tersimpan peristiwa yang masih segar dalam ingatan Mohd. Yazid iaitu ketika ingin melawat ibunya yang dimasukkan ke hospital kerana masalah buah pinggang.

“Pada ketika itu, saya berusia 12 tahun, seorang pengawal keselamatan di hospital berkenaan menghalang saya masuk untuk menjenguk emak.

“Saya sebak kerana orang yang ingin dilawati itu adalah emak saya sendiri,” tuturnya sambil bergenang air mata.

Peristiwa itu membuatkan beliau berkobar-kobar meneruskan pengajian dalam bidang perubatan dan ingin menjadi seorang doktor seperti yang dihajati oleh ibunya.

Kerja sambilan

Sejak di bangku sekolah Mohd. Yazid tidak suka membuang masa dan melakukan pelbagai pekerjaan sambilan seperti pembantu di stesen minyak, penjual jam, bekerja di pusat membeli belah dan juga sebagai penyambut tetamu di hotel.

Akuinya, beliau bukan datang daripada keluarga yang senang kerana arwah ayahnya, Bajuri Kassan hanya bekerja sebagai kerani di Majlis Daerah Batu Pahat manakala ibu pula tidak bekerja.

Sepanjang 18 tahun bergelar doktor, beliau banyak menghadapi pelbagai situasi bersama pesakit termasuk kaki hancur kerana kemalangan jalan raya.

Bergelar pakar bahagian kaki dan buku lali, Mohd. Yazid menyifatkan bidang ortopedik sangat istimewa kerana sesuatu rawatan itu akan menampakkan hasilnya dengan segera serta kesan yang lebih cepat.

Beliau berasa puas apabila dapat membantu mereka yang datang dengan keadaan kaki yang bengkok atau patah untuk berjalan semula dan memberi kegembiraan kepada mereka.

Hampir 70 peratus pesakitnya ialah mereka yang menghidapi diabetes dan warga emas.

Mohd. Yazid ingin mengikis stigma masyarakat bahawa apabila menghidapi luka kaki yang disebabkan diabetes, kaki terpaksa dipotong dan tiada lagi harapan.

“Sebenarnya mereka boleh dipulihkan dengan penjagaan yang baik dengan penuh prihatin.

“Kebanyakan pesakit diabetes ialah warga emas dan ada antara mereka yang diabaikan oleh anak-anak dan sosioekonominya rendah,” jelasnya yang berpegang kepada prinsip Allah sentiasa ada bersama kita.

Beliau kini sedang menyiapkan lima penyelidikan baharu berkaitan inovasi dalam perubatan.

Kerjaya sebagai Pakar Ortopedik menuntut Mohd. Yazid memberi sepenuh komitmen dan melakukan pelbagai penyelidikan dalam inovasi perubatan terutamanya berkaitan kaki.