Biarpun begitu, di sebalik kete­nangan itu, sekumpulan 30 anggota komunis telah ‘menawan’ pantai tersebut dan menjadikannya sebagai kubu pertahanan mereka.

Nekad untuk mempertahankan kedudukan, pengganas komunis terbabit telah melengkapkan kubu tersebut dengan senjata bantuan dan halangan berbentuk dawai berduri bagi mematahkan sebarang percubaan untuk menyerang kubu mereka.

Secara tiba-tiba, dua buah helikopter Nuri muncul dan terbang berhampiran pantai memecahkan kesunyian. Helikopter pasukan keselamatan itu membawa dua meriam jenis 105 mili­miter (mm) Pack Howitzer berserta kru yang didaratkan di kawasan tanjung berhampiran bagi memusnahkan kedudukan pengganas komunis.

Meriam dihalakan ke kawasan pantai. Bunyi dentam-dentum kedengaran apabila peluru ditembak ke arah pantai.

Keadaan bertambah huru-hara de­ngan kehadiran dua buah helikopter Augusta yang kini bertubi-tubi menem­bak anggota komunis yang bertempiaran mencari perlindungan.

Di tengah-tengah kekacauan yang berlaku itu, kelihatan 13 buah bot tempur meluncur laju menuju ke pantai.

Bot tersebut membawa pasukan Batalion Ke-9 Rejimen Askar Melayu Diraja (9 RAMD) Para sebelum mendarat di kawasan pantai.

Serentak dengan itu, puluhan anggota 9 RAMD bergegas keluar dan mencari posisi untuk menyerang di gigi air. Tembakan perlindungan dilepaskan oleh meriam yang menembak peluru asap bagi mengaburi pergerakan anggota pasukan keselamatan.

Anggota 9 RAMD mula melepaskan tembakan dan bergerak ke arah kedudukan musuh. Satu demi satu anggota komunis rebah ke bumi. Selepas beberapa ketika, saki baki musuh berjaya dibunuh. Keadaan di pantai kembali tenang.

Situasi itu dipertontonkan dalam Demonstrasi Keupayaan Tentera Darat dan Pameran Ketenteraan bersempena Sambutan Hari Tentera Darat Ke-85 di Port Dickson, Negeri Sembilan baru-baru ini.

Demonstrasi serangan amfibi itu memberikan gambaran mengenai keupayaan Tentera Darat melaksanakan operasi tersebut. Ia melibatkan empat pegawai dan 87 anggota 9 RAMD.

Batalion itu merupakan pasukan yang dilatih khusus untuk melaksanakan operasi amfibi dalam ketumbukan 10 Briged (Para).

Bot tempur

Batalion yang terkenal dengan jolokan Harimau Para itu merupakan pa­sukan yang dilatih khusus untuk mela­ksanakan operasi amfibi dalam ketumbukan 10 Briged (Para).

Pegawai 9 RAMD yang terlibat dalam demonstrasi berkenaan, Leftenan Farisyamil Jfri berkata, operasi amfibi melibatkan pergerakan melalui jalan laut yang mana sebuah bot tempur boleh memuatkan 10 anggota terdiri daripada lapan anggota Seksyen dan dua jurumudi bot selain dilengkapi senjata bantuan Seksyen.

“Elemen bot serangan akan digunakan untuk tiba ke kawasan sasaran. Bantuan tembakan kemudian diberikan untuk menghuru-harakan sebahagian besar kumpulan musuh.

“Selepas pendaratan, kita akan melakukan se­rangan menggunakan formasi yang sama seperti pertempuran di darat untuk membersihkan musuh yang terselamat daripada tembakan senjata bantuan.

“Kekuatan pasukan yang menyerang pula lazimnya bergantung kepada kekuatan musuh. Jika kekuatan musuh seramai satu platun (30 anggota), pasukan yang akan dihantar menyerang ialah satu kompeni (100 anggota).

“Begitu juga jika kekuatan musuh sebanyak satu kompeni, maka pasukan penyerang ialah satu batalion (300 anggota),” katanya ketika ditemui Kru Panorama baru-baru ini.

Jelasnya lagi, serangan akan dihentikan atas arahan ketua pasukan yang terlibat setelah melepasi kawasan objektif musuh.

Selepas itu, anggota akan memeriksa senjata, musuh yang mati dan anggota lain yang cedera atau terkorban.

Menurut Farisyamil lagi, cabaran operasi amfibi terletak pada fenome­na pasang surut air laut yang mempengaruhi sesuatu operasi.

“Apabila kita terlibat dalam ­operasi air, kita akan ­menghada­pi air surut ke tengah laut yang mungkin sejauh 100 ke 150 meter. Kami berlatih dalam dua latihan yang mana anggota mela­kukan serangan dari jarak 100 meter ke pantai ketika air surut.

“Sudah tentu, anggota akan lebih terdedah dengan tembakan musuh jika air surut kerana jarak antara anggota dengan musuh lebih jauh.

“Dalam situasi itu, ki­ta menggunakan bom asap untuk me­lindungi pergerakan anggota,” katanya yang telah berkhidmat dalam 9 RAMD selama empat tahun.

Kumpulan hadapan

Mengulas mengenai pengkhususan 10 Briged Para, Pegawai Memerintah 9 RAMD, Leftenan Kolonel Zaini Osman berkata, fungsi utama Pasukan Atur Cepat (PAC) itu ialah keupayaan mela­kukan serangan mengejut di belakang garisan musuh.

“Helikopter akan digunakan untuk mendaratkan meriam di kawasan yang terpencil dan tidak boleh dimasuki melalui jalan darat secara pantas apabila berlaku perubahan situasi dalam medan pertempuran.

“Tugas pasukan serangan amfibi ialah untuk menyelamatkan kawasan pantai sebelum pasukan yang lebih besar mendarat atau atur gerak logistik. Kita adalah kumpulan hadapan yang akan digerakkan terlebih dahulu sebelum ketumbukan utama,” ujarnya.

Setelah kedudukan musuh di­bersihkan, kompeni infantri Para akan keluar bersama kenderaan mekanis. Mereka juga berupaya melaksanakan operasi susulan seperti relief in place dan link up bersama formasi lain.

Setiap tahun, 9 RAMD akan mengadakan latihan bersama tentera Marin Amerika Syarikat menerusi latihan Eksesais Kerjasama Kesiagaan dan Latihan (CARAT).

Latihan-latihan itu mengasah kemahiran dan meningkatkan tahap kesiapsiagaan 9 RAMD dalam operasi amfibi.

Zaini berkata, meskipun anggota 9 RAMD terlatih khusus dalam operasi amfibi, namun pasukan ini juga menguasai keupayaan operasi lain seperti penerjunan dan airmobile.

Katanya, pasukan PAC seperti 9 RAMD mampu bertahan selama 72 jam selepas operasi di tempat musuh.

Operasi amfibi yang menggunakan kepakaran mobiliti, kuasa tembak dan daya kejutan berperanan untuk melaksanakan operasi taktikal dan strategik bagi mendekati serta memusnahkan musuh dalam peperangan.