Apabila memenuhi jemputan tersebut, Shahrul Ambri Samsuddin memilih mengenakan pakaian baju Melayu berserta songkok.

Salah satu aksesori baju Melayu yang wajib dipakai ialah samping songket Terengganu.

“Kain samping ini saya beli di ibu kota dengan harga RM800 sehelai khusus untuk majlis perkahwinan saya dua tahun lalu.

“Samping ini saya pakai untuk menghadiri majlis-majlis tertentu sahaja kerana nilai eksklusif yang tinggi dari segi benang dan corak ,” katanya kepada Kosmo! baru-baru ini.

Selain songket Terengganu itu, Shahrul Ambri yang bertugas sebagai anggota keselamatan di Temerloh, Pahang turut memiliki lima helai samping lain untuk dipakai sewaktu solat Jumaat.

Dia memaklumkan, samping tersebut dibeli dengan harga serendah RM100 dan ada yang diperoleh secara percuma selepas membeli baju Melayu.

Perbezaan harga

“Saya ada beberapa lagi pilihan samping untuk dikenakan mengikut kesesuaian warna baju Melayu,” katanya.

Tanpa disedari, Shahrul Ambri telah membeli dan menggunakan samping songket tiruan yang diimport dari India dan Pakistan.

Jelas anak kelahiran Sungai Petani, Kedah itu, perbezaan harga yang ketara menyebabkan dia memilih untuk menggunakan samping songket tiruan berbanding asli.

“Saya tidak mampu hendak beli semua samping songket asli kerana harganya terlalu mahal. Ada satu sudah mencukupi selebihnya tiruan.

“Samping tiruan ini kainnya lebih kasar dan keras tetapi masih boleh dipakai. Malah, warna dan coraknya tidak banyak bezanya dengan yang asli,” jelas bapa kepada seorang cahaya mata itu.

Itulah dilema yang melanda sebahagian besar pengguna kain songket di negara ini.

Lambakan songket tiruan telah memberi kesan negatif kepada industri songket tempatan.

Songket merupakan sejenis kain tenunan menerusi peralatan tradisional yang biasanya bermotifkan geometri dan alam.

Nilai sejarah

Perkataan songket bermaksud, membawa keluar atau menarik benang daripada kain atau menenun menggunakan benang emas dan perak.

Dari segi sejarah, ia dipakai oleh golongan bangsawan. Kehalusan tenunan dan kerumitan motif corak songket menggambarkan pangkat serta kedudukan tinggi seseorang pembesar.

Songket mempunyai nilai sejarah yang tinggi sebagai fabrik warisan agung. Selain mengangkat martabat, motif dan warna tenunan songket juga melambangkan kedudukan si pemakai.

Salah seorang pengusaha songket tradisional Terengganu, Zainab Mamat, 76, berkata, sambutan terhadap songket tempatan menurun sejak lima tahun lalu.

Jelasnya, penurunan jumlah jualan itu mempunyai kaitan dengan lambakan songket tiruan yang dijual pada harga murah.

“Isu songket tiruan ini sudah lama membelenggu kami para pengusaha. Namun, sehingga kini tidak ada usaha dijalankan untuk menangani masalah ini.

“Keadaan ini menyebabkan industri songket Terengganu yang terkenal dengan kehalusannya kian suram.

“Malah, ramai pengusaha kerugian dan ada antaranya terpaksa gulung tikar kerana tidak dapat menjual hasil songket mereka,” dakwanya.

Zainab telah mengusahakan perusahaan songket Terengganu sejak enam dekad lalu dan menggaji seramai 10 pekerja wanita.

Songket yang dihasilkan oleh ibu kepada enam orang cahaya mata itu telah mendapat pengiktirafan daripada pihak Kraftangan Malaysia pada tahun 2012.

Menurut Zainab, biarpun songket Terengganu berharga RM800 hingga RM15,000 sehelai, kualitinya terjamin berbanding songket tiruan.

Dia memberitahu, songket Terengganu dihasilkan menggunakan benang sutera yang berkualiti tinggi dan hasil tenunan lebih halus.

“Songket Terengganu masih ditenun menggunakan kemahiran tangan dan masa yang diambil lebih lama. Empat meter boleh mengambil masa sehingga tiga bulan.

“Ia berbeza dengan songket tiruan yang dibuat menggunakan benang biasa dan ditenun dengan mesin,” katanya sambil memaklumkan kebanyakan songketnya dibeli oleh golongan kenamaan.

Keliru

Zainab juga berharap agar penjual songket tiruan tidak menggunakan nama seni tenun asli Terengganu untuk melariskan jualan produk mereka.

Tegasnya, tindakan tersebut akan mengelirukan pembeli terutamanya generasi muda yang baru mengenali hasil kraf negara itu.

“Saya sangat kecewa apabila songket dari India dan Pakistan dikatakan sebagai songket Terengganu. Kalau orang tidak tahu, mereka pasti akan percaya.

“Hakikatnya, banyak perbezaan antara songket Terengganu dan India. Motif yang diketengahkan juga berlainan,” jelasnya.

Sementara itu, Pensyarah Fakulti Reka Bentuk Tekstil, Universiti Teknologi Mara, Prof. Madya Sulaiman Abd. Ghani berkata, faktor harga terlalu mahal menjadi punca kemunduran industri songket negara.

Jelasnya, tidak semua masyarakat mampu membeli songket yang bernilai ribuan ringgit. Ia hanya dimiliki golongan tertentu.

“Pada harga sekarang ini, usah kata lima atau enam helai songket, sehelai pun pengguna tidak mampu beli.

“Jadi, mustahil songket asli dapat membudayakan penggunaannya dalam masyarakat,” jelasnya sambil memaklumkan terdapat 600 penenun songket mahir di negara ini.

Dia memaklumkan, salah satu langkah yang boleh dilakukan oleh pengusaha ialah beralih daripada penggunaan peralatan tradisional kepada mesin.

Jelasnya, penggunaan mesin membolehkan lebih banyak produk dihasilkan, sekali gus dapat mengurangkan harga songket dalam pasaran tempatan.