Walaupun pelanggan yang singgah ke kedai tersebut mungkin tidak serancak dahulu, namun pewarisnya tetap meneruskan legasi yang diusahakan sejak lebih 60 tahun lalu.

Di dalam kedai tersebut, seorang lelaki tua berketurunan Cina dilihat sedang menimbang sesuatu berbentuk butir-butir kecil berwarna putih di atas dacing.

Dengan perlahan-lahan, butiran kecil berupa mutiara asli itu dimasukkan ke dalam sampul kertas dan diberikan kepada seorang pelanggan untuk kegunaan sebagai ubat bagi meredakan demam.

Mungkin kedengaran agak ganjil buat kru Panorama apabila pertama kali mendengar kaedah rawatan demam menggunakan mutiara.

Namun, pelanggan yang membelinya mendakwa, mutiara yang ditumbuk sehingga menjadi serbuk dan dibancuh untuk dijadikan minuman itu amat mujarab untuk meredakan demam panas.

Ambil alih

Pada masa sama, datang seorang pelanggan berketurunan Melayu yang hendak membeli ubatan herba yang digunakan bagi merawat sakit sendi.

Pelanggan tersebut, Md. Kassim Akib, 68, memberitahu, sejak setahun lalu dia telah mengamalkan meminum rebusan herba Cina untuk meredakan sakit lutut yang dialaminya.

“Sejak mengamalkan minuman herba ini, saya berasakan sakit lutut yang dialami semakin berkurangan dan tidak lagi berasa sakit seperti sebelumnya,” ujarnya yang berasal dari Kampung Nyalas, Jasin, Melaka itu.

Md. Kassim mungkin antara segelintir pengguna yang masih yakin dan percaya dengan keperluan ubat-ubatan herba tradisional Cina untuk berubat.

Terletak di Bandar Jasin, Melaka, kedai ubat Chee Ann Hoe merupakan satu-satunya kedai perubatan herba tradisional Cina yang masih bertahan sehingga hari ini sejak ia beroperasi kira-kira 60 tahun lalu.

Pada hari ini, kedai ubat Chee Ann Hoe telah memasuki generasi ketiga yang menguruskannya dan dilihat masih kekal relevan oleh segelintir pelanggan walaupun terpaksa bersaing dengan kaedah perubatan moden.

Kedai perubatan tradisional Cina atau kebiasaannya digelar sebagai singse yang bermaksud tabib iaitu merujuk kepada individu yang arif tentang ilmu perubatan tradisional Cina.

Menurut pewarisnya, Chong Cheng Chuan, 79, dia telah diwariskan untuk meneruskan perniagaan perubatan tradisional Cina daripada mendiang bapanya, Chong Sheng Soo memandangkan dia merupakan anak sulung daripada lima orang adik-beradik dalam keluarganya.

“Mendiang bapa telah mendalami ilmu perubatan tradisional di negara China dan telah mewariskan pengetahuan tersebut kepada saya sejak di usia muda lagi,” tutur bapa kepada tiga orang anak itu.

Menurut Cheng Chuan lagi, dia turut dibantu isterinya, Gan Sui Ming, 76, menguruskan perniagaan kedai herba tersebut dan telah mengambil masa selama lebih 20 tahun untuk menguasai ilmu tentang perubatan tradisional tersebut.

Dakwa lelaki itu, sehingga kini dia telah menguasai hampir 300 jenis herba tradisional dan mengakui terpaksa mengambil masa selama berpuluh-puluh tahun untuk belajar dengan mengikuti pelbagai kursus perubatan Cina bersama isteri.

Tambah Sui Ming, jika diikutkan sebenarnya terdapat kira-kira 8,000 jenis herba yang digunakan dalam bidang perubatan tradisional Cina.

“Kerana atas faktor itulah yang membuatkan generasi hari ini kurang berminat untuk mempelajari kemahiran tentang ubat-ubatan herba tradisional.

“Bahkan anak saya sendiri masing-masing telah berkahwin dan mempunyai kerjaya sendiri,” kata Sui Ming.

Masa depan

Sambil menghela nafas panjang, Cheng Chuan dan Sui Ming tidak dapat menafikan walaupun perniagaan ubatan herba yang diusahakan masih diperlukan lagi, namun kegiatannya tidaklah serancak seperti dahulu seiring dengan pembangunan dunia perubatan moden.

Namun, pasangan suami isteri itu tidak menyalahkan kewujudan ubat-ubatan moden pada hari ini kerana faham akan situasi semasa, selain kepakaran doktor juga dituntut terutama jika ia berkaitan dengan masalah penyakit yang kronik.

Melihat pada perjalanan usia masing-masing yang kian lanjut, ilmu dalam bidang perubatan herba Cina ini diturunkan kepada salah seorang cucunya, Chong Ling Mian, 30, sejak gadis itu masih di usia remaja lagi.

Menurut Ling Mian, sejak di bangku sekolah lagi dia telah didedahkan dengan kemahiran mengenal herba-herba dan manfaatnya kepada kesihatan oleh datuk dan neneknya.

Walaupun tidak diajar secara formal, Ling Mian yang dari kecil membesar di kedai herba tersebut banyak terdedah dengan ilmu tentang herba melalui pemerhatian dan tunjuk ajar.

“Pada awalnya saya sendiri tidak berminat untuk mengambil tahu tentang herba-herba ini kerana renyah dan perlu menghafal beratus-ratus jenis herba dan akar kayu.

“Lama-kelamaan, saya telah terbiasa dan telah memiliki sijil kursus pengiktirafan dalam bidang perubatan herba Cina,” katanya

Impian

Menurut gadis itu, sepanjang mengendalikan kedai herba tersebut, dia mendapati kebanyakan pelanggan akan beralih kepada kaedah perubatan tradisional sebagai alternatif kedua selepas berjumpa doktor.

Katanya lagi, pesakit yang datang mendapatkan ubatan herba itu pula hanya melibatkan masalah kesihatan ringan seperti demam, lenguh-lenguh sendi, sakit urat, batuk dan masalah angin dalam badan.

Sebagai contoh seperti Lou Han Guo, iaitu sejenis herba yang diimport dari China terutamanya dari wilayah Guangdong, Guangzhou, Guizhou, Hunan dan Jiangxi.

“Lou Han Guo atau turut dikenali sebagai buah Buddha ini dihiris dan direbus sebelum diminum untuk mengurangkan panas dalam badan dan meredakan batuk,” katanya.

Selain Lou Han Guo, tumbuhan herba lain yang mendapat permintaan pelanggan ialah Tian Qi dan Nui Xi untuk membuang angin dalam badan serta Tu Zhong untuk meredakan masalah sakit pinggang.

Salah satu herba yang cukup popular bukan sahaja dalam kalangan masyarakat Cina adalah sejenis buah dipanggil kurma Cina.

Kurma Cina yang diimport khas dari wilayah Xinjiang itu turut dikenali sebagai raja kacang mempunyai rasa manis dan boleh dimakan begitu sahaja atau dijadikan minuman bagi menyejukkan badan dan menambah kandungan darah.

Sebagai generasi ketiga yang meneruskan legasi perniagaan ubat-ubatan herba keluarganya, Ling Mian mempunyai impian besar untuk menjadikan perubatan herba itu yang diperoleh daripada moyangnya terus kekal hingga generasi seterusnya.

Nadi kehidupan kedai herba tradisional Cina atau singse dilihat kian pudar dalam meniti arus pemodenan, namun masih terdapat segelintir pengguna yakin kemujaraban ubatan tersebut.