Teruja untuk menyaksikan pameran sebegitu sementelahan meminati seni fotografi sejak zaman persekolahan, Amiratul Syahira mengungkapkan kekagumannya dengan hasil bidikan individu yang selayaknya digelar ‘sifu’ fotografi itu.

Mana tidaknya, selain pameran di dalam negara, tokoh itu juga pernah mengadakan pameran di luar negara seperti Amerika Syarikat, Britain, Singapura dan Taiwan.

“Di pameran ini saya dapat menyaksikan imej-imej masyarakat peribumi Sabah dan Sarawak pada zaman dahulu yang dirakam oleh Dennis termasuk pada era 50-an atau 70-an yang tidak mungkin dapat dilihat lagi.

“Apabila mengamati foto-foto ini, saya begitu tertarik dengan kebijaksanaan Dennis dalam memilih sudut gambar untuk dirakam. Saya mengagumi hasil kerjanya,” ujar pelajar jurusan pendidikan awal kanak-kanak itu kepada Kosmo! saat terpesona dengan imej-imej yang terpapar di dinding pameran itu.

Tambah manis apabila Amiratul Syahira berpeluang bersua muka dengan Dennis sendiri, seorang lelaki berketurunan Cina Melanau berusia 80 tahun itu.

Dalam pameran tersebut, Dennis atau nama sebenarnya Dennis Lau Zen Sze memaparkan 40 gambar hitam putih yang dirakam lensanya dari tahun 1952 sehingga 2002 di sekitar Borneo. Ia bukanlah satu tempoh masa yang singkat. Hakikatnya, Dennis telah menghabiskan masa selama 50 tahun untuk menghimpunkan koleksi foto sedemikian.

Mengembara

Antara gambar masyarakat peribumi Borneo yang dirakamnya termasuklah etnik Bidayuh, Iban, Kajang, Kayan, Kelabit, Melanau dan Penan di Sarawak, manakala untuk Sabah pula, ia meliputi etnik Bajau, Kadazan Dusun, Murut dan Rungus.

“Saya menghabiskan masa selama lima dekad untuk merakam gambar-gambar masyarakat peribumi di Sabah dan Sarawak.

“Hampir 40 peratus hasil karya di sini tidak pernah dipamerkan di mana-mana pameran,” katanya yang berasal dari Bintulu, Sarawak kepada Kosmo! ketika ditemui pada hari perasmian pameran itu.

Dennis berkata, sehingga kini masih segar dalam ingatannya semasa merakam gambar pertamanya pada tahun 1952.

Gambar yang dirakam ialah situasi spontan seorang wanita etnik Kayan bersama anak perempuannya yang merasai aiskrim buat pertama kali.

“Wanita itu datang dari hulu Bintulu ke pekan Bintulu untuk melihat acara pesta bot reggata. Saya melihat mereka begitu asyik menikmati aiskrim dan secara spontan saya merakam gambar tersebut,” katanya.

Jelas Dennis, selalunya untuk merakam foto-foto etnik, Dennis perlu mengembara selama berhari-hari untuk masuk ke kawasan pedalaman bagi mendekati masyarakat peribumi. Masa yang diambil olehnya untuk mengembara adalah sekitar 10 hari sehingga dua minggu bagi merakam gambar-gambar tersebut.

Memandangkan dia juga bertugas sebagai guru pada ketika itu, Dennis akan masuk ke kawasan pedalaman pada musim cuti sekolah sahaja.

Rakit

Selain kerana minat dalam dunia fotografi, dia juga merakam gambar-gambar tersebut kerana setiap minggu hasil karyanya akan disiarkan di satu kolum dalam akhbar Borneo Buletin yang diterbitkan di Brunei. Dennis telah membekalkan gambar-gambar untuk kolum tersebut selama lebih 30 tahun.

Dennis menjelaskan, untuk memasuki kawasan pedalaman pada era 50-an atau 60-an bukanlah sesuatu yang mudah.

“Pada ketika itu belum ada kemudahan jalan raya untuk ke kawasan pedalaman. Jadi saya perlu berjalan kaki dan menaiki rakit untuk ke kawasan pedalaman.

“Pernah juga saya hampir mati lemas ketika dalam perjalanan untuk masuk ke kawasan pedalaman di Ulu Belaga, Sarawak untuk menjejaki etnik kaum Penan dan Kenyah.

“Sewaktu kejadian, rakit panjang yang dinaiki telah terlanggar batu lalu saya terjatuh ke dalam sungai dan hampir lemas,” katanya.

Tambahnya, akibat kejadian itu juga kamera yang dibawanya rosak.

Mengimbau kembali penglibatannya dalam dunia fotografi, Dennis berkata, ia bermula selepas dia sering membantu jirannya untuk mencuci filem gambar semasa zaman kanak-kanaknya.

Cerita Dennis, jirannya mempunyai bilik gelap untuk mencuci gambar. Jika ada masa terluang, dia sering pergi ke rumah jiran untuk membantunya. Dari situlah minat dalam bidang fotografi dalam dirinya mula berkembang.

“Ketika berusia 13 tahun, ayah saya menghadiahkan sebuah kamera kotak jenis Yashica kepada saya. Kamera itu menggunakan gulungan filem dan satu gulungan filem hanya boleh merakam 12 keping gambar.

“Dengannya saya belajar secara tidak formal dalam bidang fotografi. Pada mulanya ada gambar yang dirakam menjadi dan ada juga yang tidak menjadi,” ujarnya.

Dilahirkan di Bintulu, Dennis kemudian berhijrah ke Kuching untuk mengikuti sesi persekolahan.

Ketika di sekolah, dia sering membaca dan melihat majalah fotografi yang diterbitkan dari Hong Kong pada ketika itu.

Daripada majalah itulah, kemahirannya dalam seni fotografi semakin diasah.

Penan

Melalui majalah tersebut juga Dennis mempelajari tentang posisi terbaik untuk merakam gambar.

Dennis berkata, berbeza dengan sekarang, untuk menghasilkan gambar yang sempurna pada masa dahulu bukanlah suatu yang mudah.

“Pada ketika itu, kamera menggunakan gulungan filem dan hasil hanya akan dapat dilihat setelah filem itu dicuci.

“Oleh itu, saya harus mengelak daripada melakukan kesilapan bagi mengurangkan pembaziran filem. Kamera pada ketika itu semuanya digunakan secara manual dan saya harus tahu untuk menyesuaikannya dengan keadaan cuaca,” kata bekas guru itu.

Tambahnya, disebabkan kekangan itu, Dennis belajar untuk mencipta imaginasi yang sempurna di dalam fikirannya terlebih dahulu sebelum merakam dalam bentuk gambar.

Dennis menjelaskan, sepanjang merakam gambar masyarakat peribumi di Borneo, dia paling gemar merakam aktiviti harian etnik Penan.

Jelasnya, Penan adalah satu etnik yang mengamalkan hidup secara nomad iaitu berpindah-randah.

“Saya akan ikut mereka dan merakam gambar kehidupan harian etnik itu. Pada awalnya mereka kurang mesra menyambut orang luar, tetapi oleh kerana saya sering masuk ke sana akhirnya saya disambut baik setiap kali masuk ke kawasan mereka,” katanya.

Dennis menjelaskan, setiap kali masuk ke kawasan pedalaman untuk bertemu etnik yang terdapat di Borneo, dia akan membawa bersamanya rokok. Kebiasaannya dia akan membawa lima hingga enam karton rokok pada satu-satu masa.

“Saya akan memberi rokok kepada mereka. Dari rokok itulah membuatkan saya menjadi kawan dan disambut baik oleh mereka.

“Selain itu, saya turut membawa gula-gula untuk diberikan kepada kanak-kanak. Pada ketika itu sukar untuk mereka mendapat gula-gula dan apabila diberi gula-gula mereka begitu gembira,” ujarnya.

Dennis Lau menghabiskan masa kira-kira lima dekad hidupnya dengan merakam gambar-gambar masyarakat peribumi di Sarawak dan Sabah.