Gadis yang berusia 13 tahun itu merupakan antara wanita pertama menuntut di kolej kadet polis yang terletak di kawasan barat laut Pakistan. Ia ditubuhkan pada awal tahun 2017.

Kawasan tersebut juga terkenal sebagai sebuah wilayah yang sangat konservatif, namun Durkhanay berazam untuk merencana kehidupan dan cita-citanya. “Saya mahu menjadi seorang ketua tentera dan ia bukanlah mustahil kerana wanita di luar sana boleh menjadi perdana menteri, menteri luar dan gabenor bank.

“Wanita juga boleh menjadi ketua tentera, anda akan dapat lihat satu hari nanti,” ujar Durkhanay.

Latihan

Di Mardan, Durkhanay dan 70 orang rakannya memilih untuk menyertai kadet polis di wilayah Kyhber Pakthunkhwa yang terletak kira-kira 110 kilometer dari Islamabad. Kolej kadet yang diselia oleh kerajaan bersama pegawai tentera pendidikan itu berusaha untuk menyediakan angkatan bersenjata dan perkhidmatan awam bagi para pelajarnya.

Para graduan akan diberi keutamaan dalam pemilihan tentera di Pakistan. Ini bermakna masa depan gadis-gadis itu akan terjamin. Kemungkinan mereka juga mendapat manfaat daripada sumber serta latihan di kolej tersebut.

Menurut satu kajian, dianggarkan sebanyak 24 juta kanak-kanak di Pakistan tidak meneruskan pendidikan mereka. Atas alasan itu, ramai kanak-kanak khususnya perempuan hanya duduk di rumah berbanding dengan kanak-kanak lelaki.

Beratus-ratus pelajar lelaki belajar di setiap kolej tentera di negara itu, namun pelajar perempuan masih tidak dibenarkan bersekolah di sekolah elit tersebut kecuali kolej kadet polis di Mardan.

“Kolej ini akan membantu golongan yang layak untuk menjadi jurutera dan doktor,” kata Brigedier Naureen Satti yang memperjuangkan kesaksamaan terhadap wanita di Pakistan.

Lengkap berpakaian seragam, Durkhanay dan rakan-rakannya berkawad di kawasan lapang, melangkah serentak diiringi dengan jurulatih dan mengikuti beberapa latihan fizikal serta mempelajari seni mempertahankan diri.

Bidang ketenteraan dianggap sebagai satu kerjaya hebat di negara itu. Malah, ia juga sebuah institusi pentadbiran yang paling berkuasa dan telah memerintah negara berkenaan sejak tujuh dekad.

Di bawah pentadbiran biasa, pentadbiran tentera dipercayai mengawal dasar pertahanan dan dasar asing negara tersebut.

Begitupun, penyertaan golongan wanita telah banyak kali ditolak ekoran rutin kursus ketenteraan negara tersebut yang diiktiraf antara paling mencabar di dunia.

Sebelum ini, kaum wanita hanya dibenarkan berkhidmat dalam jawatan pentadbiran, namun diktator ketenteraan, Pervez Musharraf membuka bidang ketenteraan kepada wanita sejak tahun 2003.

Menurut laporan Credit Suisse pada tahun 2015, lebih 700,000 anggota wanita masih lagi aktif dan bekerja di bawah pentadbiran tentera.

Namun berdasarkan sumber daripada seorang pegawai keselamatan kanan, dianggarkan sekitar 4,000 wanita kini dipercayai telah berkhidmat dalam angkatan bersenjata.

Impian

Ayesha Farooq misalnya, salah seorang yang berjaya dalam ketenteraan. Beliau merupakan wanita pertama Pakistan yang menjadi juruterbang pejuang.

Pengetua Kolej Kadet, Brigedier bersara, Javid Sarwar, berjanji bahawa kebanyakan pelajarnya bersedia untuk melakukan apa saja termasuk angkatan bersenjata.

“Saya mahu gadis-gadis ini mendapat manfaat dan berupaya melawan ketidakadilan dalam masyarakat,” ujar Javid.

Durkhanay dan rakan-rakannya yakin bahawa kolej itu akan memberi mereka peluang untuk terus berjuang di Pakistan. Seorang lagi pelajar kolej itu, Affifa Alam, memberitahu, dia mahu mengikut jejak langkah Ayesha dengan menjadi seorang juruterbang tentera udara suatu hari nanti.

“Kolej ini akan membantu merealisasikan impian kami dan terus meningkatkan penerimaan wanita dalam bidang yang mencabar,” jelas Affifa. – AFP