Gadis kelahiran Klang, Selangor itu pada mulanya memasuki akademi tersebut sebagai memenuhi hasrat bapa tercinta yang mahu melihat anaknya menjadi seorang hafizah.

Walaupun sebelum ini, Nur Ainani Husni tidak pernah menghafaz al-Quran, dia tetap bulatkan hati untuk melaksanakannya dengan perasaan terbuka.

“Saya bersyukur kerana menjadi salah seorang pilihan Allah untuk mempelajari ilmu al-Quran ini.

“Lebih menarik lagi, saya dapat mempelajari teknik hafalan baharu yang bukan sahaja boleh digunakan untuk hafazan al-Quran, malah dapat dipraktikkan dalam kehidupan seharian,” ujarnya yang telah menghafaz satu juzuk al-Quran sejak menyertai akademi itu hampir sebulan lalu.

Kongsinya, teknik yang dikenali sebagai At-Tauhidi itu merupakan sejenis teknik hafalan memori fotografik yang membantu para tahfiz menghafaz al-Quran dengan jelas seolah-olah melihat mashaf di depan mata.

Malah, penghafal bukan sahaja dapat mengulang dan membaca semula ayat al-Quran dengan baik tetapi mengingat dengan jelas nombor pada setiap hujung ayat.

“Sejak berjaya menghafal satu juzuk, saya menjadi lebih yakin dan berhasrat menghafal satu mashaf ini serta menjadi seorang hafizah yang berjaya,” ujarnya ketika ditemui K2 di Putrajaya baru-baru ini.

Visual

Sebenarnya, teknik hafalan memori fotografik At-Tauhidi itu bukanlah sesuatu yang baharu dalam bidang ilmu al-Quran.

Memori fotografik ialah kemampuan untuk mengingati sesuatu maklumat atau imej visual secara terperinci.

Apabila diterapkan dalam hafazan al-Quran, teknik ini membolehkan pelajar seolah-olah melihat lembaran demi lembaran al-Quran secara terperinci meliputi muka surat, nombor ayat, perkataan demi perkataan, baris demi baris dan sebagainya walaupun ketika mashaf ditutup atau dipejamkan mata.

Akademi Darul Tauhid mendukung formula tersebut dengan nama Memori Fotografik At-Tauhidi dan menjadi salah sebuah institusi terawal di Malaysia yang menggunakan teknik itu secara formal. Difahamkan teknik itu digunakan secara meluas di negara-negara seperti Indonesia, Arab Saudi dan Yemen.

Sementara itu, seorang pagi pelajar, Aqilah Nur Qistina Md. Mazlan, 13, berkata, teknik At-Tauhidi iaitu kaedah menghafal beserta nombor ayat itu membuatkan ingatannya lebih kuat.

Selain itu, penghafal lebih mudah menyambung bacaan al-Quran apabila diuji oleh guru semasa ujian hafazan.

“Bila kita guna kaedah ini, lebih mudah dapat tangkap apa yang sedang guru tanyakan.

“Terus terang saya katakan, menghafal al-Quran kini menjadi lebih menyeronokkan menggunakan teknik At-Tauhidi ini berbanding teknik hafalan tradisional yang hanya mengulang bacaan berkali-kali,” jelas gadis dari Kerteh, Terengganu itu dengan penuh teruja setelah dapat menghafaz al-Quran buat pertama kali.

Penulis sendiri berkesempatan menguji keupayaan hafazan anak-anak tahfiz itu di Putrajaya baru-baru ini.

Selain meminta menyambung ayat al-Quran yang dibacakan, penulis juga menguji dengan hanya menyebut nombor ayat dalam sesuatu surah.

Malah, penulis turut menguji dengan meminta mereka membacakan ayat sebelum sesuatu potongan ayat yang dibacakan itu, namun menariknya, setiap seorang daripada mereka mampu menjawab dengan baik seolah-olah visual mashaf al-Quran itu telah terakam dalam memori mereka.

Mereka berlumba-lumba mengangkatkan tangan untuk menyambung potongan ayat dalam surah yang diajukan.

Menurut Pengasas dan Pengetua Akademi Darul Tauhid, Abang Sufri Mahmud Abang Usop, formula hafalan tersebut sudah sekian lama dipraktikkan oleh ulamak dan tokoh Islam tersohor seperti Imam Bukhari, Muslim dan Syafie sendiri.

Katanya, memori hafalan imam-imam terdahulu sangat kuat disebabkan mereka menguasai teknik memori fotografik dengan baik.

Super komputer

Jelas Abang Sufri Mahmud, bagi melaksanakannya, setiap butir pada lembaran itu seperti huruf, baris dan tanda berhenti diperhatikan dengan terperinci.

Seterusnya, bacaan ayat itu akan diulangi antara 200 hingga 600 kali sehingga jelmaan imej itu boleh dilihat dengan jelas dalam minda walaupun dengan mata tertutup.

“Penggunaan teknik ini sedikit sebanyak dapat melatih dan mengembangkan kebolehan intelektual sehingga ke tahap maksimum seperti super komputer.

“Ia bukanlah sesuatu yang mustahil kerana sejak dahulu lagi, Imam Bukhari telah pun menghafal lebih 300,000 hadis dan ia relevan untuk diamalkan pada masa sekarang,” tegasnya.

Tambah Abang Sufri Mahmud, teknik hafalan itu menggabung serta mengaktifkan hemisfera kedua-dua belah otak kanan dan kiri secara serentak.

Hasil gabungan otak belah kanan (abstrak) dan kiri (nombor) itu menjadikan daya ingatan seseorang itu lebih tajam.

Menariknya, teknik tersebut bukan sahaja terhenti untuk aplikasi al-Quran dan hadis semata-mata.

Sebaliknya, ia juga boleh digunakan untuk menghafal formula ilmu dunia seperti matematik, kimia, sains dan mata pelajaran lain.

Hal ini kerana, individu yang menghafal al-Quran akan memiliki memori yang kuat sekali gus melahirkan pelapis Muslim yang hebat pada masa depan.

Kongsi Abang Sufri Mahmud, formula At-Tauhidi dilihat dapat menyelesaikan masalah yang dihadapi segelintir penghafaz al-Quran.

Katanya, terdapat hafiz yang tidak mampu mengingati hafalan 30 juzuk setelah tamat pengajian.

Malah, golongan itu juga cenderung untuk lupa, terlangkau atau tertinggal sesuatu ayat ketika mengulang hafazan.

“Ramai yang keliru, gentar dan tidak dapat menjawab dengan baik ketika diuji hafazannya setelah tamat mengaji dan saya rasakan ia sesuatu yang merugikan.

“Dengan teknik memori fotografik ini, para hafiz tidak akan keliru lagi kerana setiap ayat itu dihafal beserta dengan nombor ayat menjadikannya lebih tepat,” tegasnya.

Akademi Darul Tauhid dibangunkan bagi memenuhi keperluan spiritual masyarakat Islam dalam negara.

Memelihara hafazan

Awalnya, ia dikenali sebagai Pusat Bimbingan dan Latihan Darul Tauhid ketika dibangunkan pada 26 Disember 2017 berbekalkan pengalaman dalam bidang korporat, dakwah dan latihan serta pernah terlibat dalam bidang pengubatan Islam sejak sedekad lalu.

Kini, akademi itu menawarkan program seperti Maahad Tahfiz, Sijil Bahasa dan Sastera Arab, Sijil Pengubatan Islam, Diploma Pengajian Islam dan Bahasa Arab serta Diploma Ulum al-Hadis.

Sementara itu, pemuda berdarah kacukan Melayu dan Tanzania, Yusuf Muhammad Rozan, 11, berkata, menghafaz al-Quran menggunakan teknik At-Tauhidi memberinya peluang untuk menjaga dan memelihara surah-surah yang dihafaznya.

Katanya, sebelum ini dia pernah menuntut di salah sebuah pusat tahfiz di Sepang dan menghafaz al-Quran seperti biasa.

“Bezanya dengan cara hafalan itu, ia lebih cenderung untuk tersilap kerana terdapat banyak ayat al-Quran yang dimulakan dengan potongan ayat hampir serupa.

“Apabila kita menghafal sekali dengan nombor, kita mampu mengesan dan mengenal pasti ayat dalam surah atau juzuk dengan tepat,” ujarnya.

Teknik memori fotografik membolehkan individu menghafaz 
al-Quran seperti ia terbentang di depan mata meskipun ketika mashaf ditutup atau dipejamkan mata.