Krisis bekalan air boleh menjadi malapetaka kerana banyak aktiviti wajib manusia akan tergendala terutamanya apabila terputus bekalan air bersih.

Meskipun menyedari betapa pentingnya bekalan air bersih dalam kehidupan, adakah perilaku masyarakat hari ini menunjukkan mereka menghargai sumber itu?

Sudah sampai masanya rakyat Malaysia mempunyai kesedaran yang tinggi dalam aspek penggunaan dan penjimatan air.

Domestik

“Rakyat Malaysia perlu ada pengetahuan tentang cara pengurusan air secara bijak.

“Kempen kesedaran penjimatan penggunaan air dan pelaksanaan undang-undang boleh membantu mendidik masyarakat untuk menghargai sumber ini,” kata Pensyarah Jabatan Biologi Fakulti Sains Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Ahmad Ismail ketika dihubungi Kosmo! baru-baru ini.

Tambahnya, tindakan yang diambil pihak berkuasa dari segi kawalan dan pencegahan juga penting dalam menjamin kelestarian sumber air.

Contohnya, pihak berkuasa perlu memastikan status sumber air yang sentiasa cukup untuk kegunaan ketika krisis air di samping mengawal selia kawasan tadahan air.

Justeru, beliau menggesa pihak berkenaan peka dengan sistem perpaipan agar sentiasa berada dalam keadaan baik bagi mengurangkan kes kebocoran air bersih.

Dalam pada itu, beliau turut mencadangkan penggunaan air yang berlebihan dalam aktiviti domestik, pertanian dan industri perlu dihentikan, sebaliknya masyarakat perlu tahu mengurus air dengan berhemah.

Bersetuju dengan pendapat Ahmad, Pensyarah Kanan Fakulti Pengajian Islam, Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS), Dr. Mohd. Farid Ravi Abdullah berkata, pada pandangan Islam, perbuatan membazir adalah sifat yang tercela kerana ia merupakan perangai syaitan.

“Selain penting untuk keperluan harian, air amat penting dalam Islam untuk keperluan beribadah seperti berwuduk dan pengurusan jenazah.

“Mengambil contoh penggunaan air ketika berwuduk, kita tidak perlu menggunakan air dengan banyak kerana wuduk ialah meratakan air pada beberapa anggota badan tertentu dan bukanlah bermaksud membasuh dengan kuantiti air yang banyak,” katanya.

Sikap ini perlu diubah selepas melihat masjid dan surau didapati mengguna kapasiti air yang sangat banyak.

“Sekalipun mempunyai bekalan air yang banyak atau berlebihan waima diperoleh secara percuma, seseorang itu tidak boleh mengambil mudah dengan melakukan pembaziran,” ujarnya menutup perbualan.

Kosmo! baru-baru ini melaporkan, lebih 2 juta penduduk di Lembah Klang dan Selangor terpaksa berdepan dengan masalah gangguan bekalan air yang serius serta berlarutan berikutan Sistem Mampatan Udara di Loji Rawatan Air SSP3, Ijok, Selangor pecah.