Secara umumnya, tiada seorang individu pun yang rela dirinya ditipu lebih-lebih lagi oleh yang dipercayai dan dihormati.

Rasa dikhianati itu sangat sukar diungkap lantaran ia selalunya terjadi disebabkan kelalaian orang yang ditipu itu sendiri.

Baru-baru ini media melaporkan mengenai kes sepasang suami isteri di Temerloh, Pahang yang ditipu seorang ‘ustaz’ membabitkan sejumlah wang yang agak besar.

Hanya kerana tergoda dengan tawaran batu delima yang dipercayai mampu memurahkan rezeki, mereka berputih mata kehilangan wang simpanan sebanyak RM40,000.

Begitu juga dengan kisah lima orang warga emas di Kuala Terengganu pada tahun 2012 yang kerugian sehingga RM200,000 angkara terpedaya dengan penjualan batu permata kononnya berkuasa ajaib mengeratkan hubungan suami isteri dan sebagainya.

Jahil

Kes penipuan ini juga dipercayai didalangi seorang lelaki dengan karakter warak dan alim.

Satu fakta yang boleh dikongsi oleh kedua-dua kes ini adalah modus operandi yang digunakan oleh penjenayah. Mangsa tertipu dengan pembawakan watak penipu sebagai lelaki atau wanita yang memiliki ketinggian agama.

Mengapa agama digunakan sebagai topeng melakukan kejahatan? Apakah kesannya kepada masyarakat dan agama itu sendiri?

Mufti Kelantan, Datuk Muhd. Shukri Muhammad menyifatkan tindakan menggunakan agama untuk memperdaya masyarakat sebagai perkara yang mencalarkan imej agama Islam itu sendiri.

“Islam adalah matlamat yang dituju, bukan alat untuk dipergunakan. Malangnya, masyarakat hari ini sanggup melakukan apa sahaja termasuklah menggadaikan agama asalkan kepentingan peribadi tercapai.

“Perkara ini bukanlah insiden yang remeh, lebih-lebih lagi kita sekarang tinggal di dunia yang dipenuhi dengan fitnah. Ia membuka peluang kepada musuh untuk memburukkan reputasi Islam sebagai agama yang suci,” katanya ketika dihubungi Kosmo! baru-baru ini.

Tambah Muhd. Shukri, masyarakat juga perlu memainkan peranan bagi membendung perkara ini daripada terus berlaku.

“Wujudnya permasalahan itu adalah ekoran daripada kejahilan diri kita sendiri. Masyarakat kita cenderung untuk terlalu mempercayai apa sahaja asalkan terdapat suntikan elemen keagamaan dan kerohanian dalam urusan jual beli.

“Untuk mengatasi perkara ini, masyarakat perlu berbalik semula kepada ajaran Islam yang disebut sebagai tabayyun. Ia merupakan solusi terbaik yang disebut di dalam al-Quran bagi mengelak diri daripada ditipu, difitnah, dikhianati dan disesatkan,” katanya mengulas mengenai kes penipuan melibatkan eksploitasi agama.

Jelasnya, tabayyun mempunyai tiga pengertian iaitu mencari penjelasan dan menyiasat sesuatu perkara hingga terbukti benar.

Kedua, mempertegas hakikat yang benar dan akhir sekali, tidak tergesa-gesa serta berhati-hati sebelum membuat keputusan.

“Pendek kata, walaupun kita digalakkan berprasangka baik, perlu juga tabayyun agar keputusan yang dibuat lebih rasional dan tepat,” ujarnya.

Sementara itu, Pensyarah, Pusat Penyelidikan Wanita dan Gender, Universiti Sains Malaysia, Dr. Zaireeni Azmi tidak menolak bahawa faktor utama seseorang itu menjadi mangsa penipuan ialah kerana sifat tamak.

“Jika kita lihat, kebanyakan mangsa yang ditipu melibatkan jumlah wang yang sangat besar. Ini bermakna, mereka sudah mempunyai wang namun, terdorong oleh keinginan ingin menambah lagi jumlah yang sudah berada dalam tangan.

Solusi

“Dari sudut si penipu, mereka sedar mengenai kelemahan tersebut dan bagi menambah keyakinan terhadap urusan tersebut, elemen penampilan luaran yang baik, dihormati dan disanjungi digunakan untuk ‘memancing’ mangsa,” terangnya.

Ketika ditebak soalan mengenai isu golongan wanita sebagai yang paling mudah ditipu, Zaireeni bagaimanapun kurang bersetuju.

Menurutnya, sepanjang pengetahuannya, belum ada kajian komprehensif dibuat yang menunjukkan wanita lebih banyak ditipu berbanding gender lain.

“Saya percaya, wanita dikatakan sebagai mudah ditipu kerana peranan media sosial. Tidak dinafikan, wanita adalah golongan yang gemar meluahkan perasaan dan bercerita mengenai kejadian yang menimpa diri mereka di diari maya seperti Facebook dan Twitter.

“Lantaran itu, masyarakat kita terbiasa mendengar kes penipuan yang melibatkan wanita sebagai mangsa. Secara umumnya, lelaki dan wanita adalah memiliki kelemahan yang sama. Cuma, lelaki lebih bijak menyimpan dan jarang bercerita mengenai diri tertipu,” ucapnya.