Tidak semena-mena, kami terasa seperti berada di galeri lukisan.

Sambil mempersilakan kami duduk, Aris mula menyambung kerja untuk menyiapkan lukisan.

Ternyata, gelaran Raja Potret Malaysia yang diperoleh anak kelahiran Perak ini tepat sekali apabila dia berjaya menyiapkan lukisan pemandangan sebuah kampung kurang daripada lima minit.

Lebih mengagumkan, biarpun lu­kisan tersebut hanya berwarna hitam dan putih sahaja, namun ia kaya dengan elemen seni serta tampak eksklusif.

“Lukisan ini dihasilkan menggunakan arang.

“Arang ini dihasilkan sendiri oleh saya menggunakan kaedah tradisional dan bukannya dijual di kebanyakan kedai,” jelasnya.

Melihatkan kerutan di wajah kru Panorama, Aris kemudian membawa kami ke sebuah kawasan lapang di bahagian belakang kediamannya dan menunjukkan sendiri kaedah pem­buatan arang lukisan.

Cerita Aris, idea menghasilkan arang lukisan tercetus selepas melihat bahan tersebut mendapat permintaan yang tinggi. Biarpun begitu, disebabkan ia diimport dari China, ia dijual dengan harga yang mahal.

Justeru, berbekalkan sedikit pengetahuan dalam bidang pembuatan arang, dia mula mencabar diri untuk menghasilkannya sendiri.

“Saya membesar di Kampung Su­ngai Tinggi, Terung, Taiping, Perak iaitu antara kawasan yang popular dengan pembuatan arang di negara ini. Boleh dikatakan setiap hari saya melihat orang kampung menghasilkan arang.

“Berbekalkan sedikit ilmu yang diperoleh ketika kecil dan merujuk kaedah-kaedah pembuatan arang di luar negara menerusi laman sosial YouTube, saya berjaya menghasilkan bahan lukisan purba ini selepas beberapa kali percubaan,” jelasnya.

Balik Angin

Usai menghidupkan api, Pak Aris meletakkan ketulan dahan pokok berukuran kira-kira 26 sentimeter ke dalam sebuah tin biskut bersaiz kecil.

Sukar diungkapkan perasaan teruja kami sebaik melihat nyalaan api mula bermain-main di seluruh permukaan tin. Mana tidaknya, jika sebelum ini kami hanya mampu melihat arang yang sudah siap dijual di pasaran, namun, kali ini kami melihat sendiri teknik pembuatan arang di depan mata.

Lebih menarik apabila Aris menggunakan dahan pokok balik angin atau nama siantifiknya mallothus biaceae untuk membuat arang lukisan tersebut.

Siapa sangka tumbuhan liar seperti pokok balik angin yang dianggap tidak berguna boleh dijadikan arang lukisan berkualiti tinggi.

Perasaan kagum terhadap pelukis yang berpengalaman selama 45 tahun ini lantas terbit dalam diri. Aris bukan sahaja pakar dalam bidang melukis, malah pembuatan arang lukisan.

“Arang merupakan bahan seni lukis purba yang digunakan ribuan tahun lalu selain tanah, darah, getah dan batu.

“Ia merupakan sumber utama untuk melukis pada zaman batu yang mana manusia mula melukis di dinding gua menggunakan arang.

“Biarpun begitu, tidak semua bahan boleh digunakan untuk menghasilkan arang lukisan.

“Ini kerana, hanya dahan pokok balik angin sahaja boleh dipilih kerana tekstur kayunya yang lembut dan mampu memberi impak lukisan yang lebih cantik,” ujarnya.

Menurut Aris lagi, walaupun umum melihat proses pembuatan arang agak leceh, namun ia sebenarnya tidaklah begitu rumit.

Bagaimanapun, ia memerlukan kesabaran yang tinggi kerana individu perlu sentiasa memantau api sepanjang proses pembakaran dilakukan.

“Proses membuat arang lukisan bermula dengan menebang pokok, memotong kepada ukuran kira-kira 26 sentimeter dan membuang kulitnya.

“Kayu-kayu tersebut kemudian dimasukkan ke dalam tin biskut yang ditutup rapat. Satu lubang kecil perlu ditebuk pada bahagian penutup supaya gas yang terhasil daripada dahan pokok ini dapat dikeluarkan ketika proses pembakaran,” jelasnya.

Cerita Aris lagi, kebiasaannya, proses pembakaran tersebut mengambil masa sekurang-kurangnya dua jam.

Menariknya, arang ini tidak mempunyai tarikh luput dan boleh digunakan sehingga bertahun-tahun lamanya. Lebih menarik, lukisan yang dihasilkan daripada arang ini tidak akan pudar biarpun dalam jangka masa panjang.

Menceritakan lebih lanjut, Aris berkata, arang lukisan ada keistimewaan tersendiri berbanding bahan-bahan melukis yang lain seperti pensel dan cat warna.

“Bahan semula jadi ini bukan sahaja selamat, malah ia mudah untuk diukirkan pada kanvas ke­rana ia bersifat lembut dan mudah untuk dipadam.

“Jadi, ia mempermudahkan kerja pelukis terutamanya yang baru berkecimpung dalam industri ini untuk bereksperimentasi dengan idea dan mengurangkan kos pembelian bahan.

“Bukan sekadar melukis, kayu arang ini juga sesuai diletakkan dalam kenderaan atau kediaman untuk membuang bau-bau yang kurang enak,” jelasnya.

Populariti pelukis

Menurut Aris, disebabkan keistimewaan yang ada pada arang ini, dia mengambil keputusan untuk menjualnya kepada umum pada harga antara RM30 sehingga RM45 bagi setiap satu kotak.

Sementara itu, seorang pelukis yang menggunakan arang, Shaarim Sahat, 50, memaklumkan, dia amat selesa bereksperimentasi de­ngan arang dalam menghasilkan lukisan.

Menurutnya yang berkecimpung dalam dunia seni lukis sejak 18 tahun lalu, dia mula bermain dengan bahan lukisan purba itu sejak tahun 2005.

“Pada asasnya, arang tidak ba­nyak berbeza dengan penggunaan pensel. Ini kerana, ia hanya menghasilkan satu warna sahaja iaitu hitam.

“Bagaimanapun, keunikan peng­gunaan arang terletak pada cara kawalan calitan, gosokan dan garisan yang dilakukan oleh pelukis itu sendiri.

“Bagi saya, arang bukanlah untuk menghasilkan sebuah lukisan yang cantik, tetapi ia lebih kepada penghasilan lukisan menarik yang kaya dengan unsur-unsur seni tersendiri,” jelasnya.

Biarpun berkonsepkan hitam putih, namun lukisan yang dihasilkan menggunakan arang tetap mendapat tempat dalam kalangan peminat seni tahan air.

Salah seorang daripadanya ialah Mohamad Anis Md. Yusof, 30.

“Saya begitu kagum dengan pelukis-pelukis yang menggunakan arang untuk berkarya.

“Penggunaan arang dalam apa jua lukisan adalah teknik lukisan paling asas dan awal dalam peradaban manusia. Manusia mula melukis pada dinding gua dan permukaan keras menggunakan arang, selain batu.

“Secara tidak langsung, lukisan menggunakan arang pada kanvas adalah manifestasi pelukis yang mahu mengembalikan kelahiran seni yang asal,” jelasnya.

Menurut Mohamad Anis lagi, lazimnya kayu arang hanya digunakan oleh pelukis yang berpengalaman sahaja. Ini kerana, ia memerlukan ketelitian dalam menghasilkan subjek yang dilukis.

Katanya, mereka juga memerlukan kemahiran tertentu dalam mengawal kontur dengan cekap, selain memastikan lukisan tidak comot dek kesan arang.

Kos tinggi dan kesukaran memperoleh arang lukisan dari China membuatkan Raja Potret Malaysia, Aris Aziz menghasilkan sendiri bahan seni lukis purba menggunakan pokok mallothus biaceae di kediamannya.