Dari jauh, sekumpulan 40 orang kanak-kanak berusia dalam lingkungan empat tahun dilihat sedang asyik menyagat ketulan sabun sambil berpandukan demonstrasi yang ditunjukkan oleh beberapa orang pekerja di hab pendidikan tersebut.

Biarpun masing-masing kelihatan kekok memegang penyagat dan ketulan sabun tersebut, namun riak teruja jelas terpancar pada wajah masing-masing.

“Ini merupakan salah satu kaedah pembelajaran yang dipraktikkan di hab ini.

“Mungkin daripada pandangan mata kasar, aktiviti yang dilakukan oleh murid-murid tersebut hanyalah satu teknik pembuatan kraftangan sahaja.

“Bagaimanapun, tanpa disedari, mereka sebenarnya sedang menerokai ilmu sains menerusi kaedah pembuatan sabun tetapi dalam keadaan yang santai dan menyeronokkan,” jelas pemilik Earthopia Taman Sains dan Seni Kehidupan, Ellyn Lim.

Inovasi

Menurut wanita berusia 52 tahun itu, kewujudan hab pendidikan tersebut sejak 10 tahun lalu bertujuan untuk memberi pendedahan dan memupuk minat generasi muda terutamanya dalam kalangan pelajar peringkat menengah rendah ke bawah dengan ilmu sains serta teknologi.

Lebih-lebih lagi apabila ketika ini tidak ramai pelajar yang menunjukkan minat dalam bidang tersebut.

Disebabkan itu, Ellyn membuka Earthopia Taman Sains dan Seni Kehidupan dengan menerapkan elemen seni seperti pembuatan sabun, seramik serta reka cipta dalam pembelajaran sains dan teknologi.

“Hab pendidikan ini merupakan sebuah kawasan yang memberi pendedahan kepada pelajar dalam bidang sains dengan cara tersendiri.

“Di sini, kami gabungkan bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik di bawah satu bumbung dengan menerapkan unsur-unsur seni, kreativiti dan inovasi di dalam setiap aktiviti yang dilakukan.

“Bagi saya, kaedah penyampaian yang aktif dan efektif adalah penting menarik minat pelajar dan seterusnya memahami setiap perkara yang ingin disampaikan kepada mereka,” jelas Ellyn lagi.

Dimensi baharu

Menceritakan lebih lanjut mengenai hab pendidikan yang diasaskannya itu, menurut Ellyn, di situ pihaknya menawarkan lebih 10 aktiviti untuk diterokai oleh pelajar mengikut kesesuaian umur.

Lazimnya, setiap aktiviti yang dilakukan mengambil masa kira-kira dua jam bergantung kepada jenis program yang dipilih.

“Di sini, kami bahagikan skop pembelajaran kepada lima kategori iaitu Futurium iaitu melawat kawasan-kawasan sekitar yang bertemakan sains dan geosains. Kami juga mempunyai ruangan Go Stem yang membolehkan pelajar meneroka dan meningkatkan ilmu pengetahuan dalam bidang sains, teknologi, kejuruteraan serta matematik.

“Bagi membolehkan mereka menerokai dunia biologi haiwan kecil, kami turut membuka sudut bertemakan Pethorium kepada pelajar tersebut. Ini merupakan satu sudut yang positif kerana secara tidak langsung dapat memupuk kesedaran terhadap perlindungan haiwan,” jelasnya.

Menurut Ellyn lagi, pihaknya turut membuka ruangan yang membolehkan para pelajar meneroka bidang biologi tumbuhan yang dikenali sebagai Plantorium serta sudut Earthorium untuk penerokaan jenis-jenis galian dan fungsi kegunaannya dalam kehidupan harian.

Ternyata konsep yang cuba diketengahkan oleh Earthopia Taman Sains dan Seni Kehidupan ini sejak 10 tahun lalu berjaya memberi dimensi baharu dalam dunia pendidikan sains dan inovasi para pelajar di negara ini.

Lebih-lebih lagi apabila ia kini menjadi salah satu destinasi istimewa kepada rombongan murid-murid sekolah untuk berseronok tetapi pada masa yang sama mempunyai pengisian pembelajaran yang bermanfaat.