Kes tersebut mula menjadi tular di laman sosial selepas kematian tersebut dikatakan berpunca daripada kelahiran cara homebirth yang dilakukan dalam pengawasan doula (pembantu) menerusi panggilan telefon.

Bagaimanapun, menurut Ketua Polis Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Shahurinain Jais, siasatan lengkap yang dijalankan mendapati, kematian bayi tersebut berlaku bukan disebabkan doula, sebaliknya bayi itu didapati lemas selepas dilahirkan dalam keadaan songsang.

Biarpun begitu, kes tersebut mendapat perhatian pelbagai lapisan masyarakat. Rata-rata mereka melahirkan kebimbangan terhadap sesetengah individu yang mengambil keputusan untuk melahirkan bayi tanpa kehadiran pakar perubatan.

Bagi mengulas lanjut mengenai isu tersebut, wartawan Kosmo! Ahad, KHAIRIYAH HANAFI menemu bual Konsultan Obstetrik dan Ginekologi di Hospital KPJ Ampang Puteri, Selangor, Dr. Fauziah Mohd. Hassan di pejabatnya baru-baru ini.

Kosmo! Ahad: Baru-baru ini, kita dikejutkan dengan berita kematian seorang bayi perempuan ketika sedang dilahirkan di kediamannya di Johor Bahru. Boleh doktor ulas sedikit mengenai isu tersebut?

FAUZIAH: Sebenarnya kes ini tidak sepatutnya berlaku. Lebih-lebih lagi pada zaman yang dilengkapi dengan pelbagai kelengkapan dan teknologi berkaitan kelahiran. Pihak kerajaan telah berusaha keras untuk mewujudkan kelahiran selamat.

Jika kita lihat statistik yang dikeluarkan, nisbah kematian ibu (Maternal Mortality Ratio) telah menurun daripada 280 kematian bagi setiap 100,000 pada tahun 1957 kepada 29:100,000 pada tahun 2017. Sementara itu, nisbah kematian bayi (Infant Mortality Ratio) pula telah menurun daripada 41:1,000 pada tahun 1970 kepada 6.5:1,000 pada tahun 2000.

Pada tahun 50-an, majoriti proses kelahiran berlaku di rumah dan bukannya di hospital. Pengurangan tersebut berlaku setelah pihak kerajaan dan Kementerian Kesihatan melakukan pelbagai usaha untuk mewujudkan kelahiran selamat. Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengiktiraf kejayaan ini dan menjadikan Malaysia sebagai contoh kepada negara-negara yang masih mempunyai kadar kematian ibu yang tinggi seperti di Benua Afrika.

Antaranya usaha yang dilakukan ialah mewujudkan perkhidmatan kesihatan komprehensif bagi ibu mengandung di klinik kesihatan atau klinik desa di seluruh negara.

Mengulas mengenai isu tersebut, Jika kita melihat protokol yang dikeluarkan oleh Royal College of Obstetricians and Gynaecologists di England, wanita yang mengandung anak pertama berkedudukan songsang seperti wanita tersebut sepatutnya dilahirkan secara pembedahan Caesarian untuk mengurangkan risiko anak lemas.

Bagaimanapun, disebabkan kelahiran berlaku di rumah dan dengan bantuan individu yang bukan anggota kesihatan bertauliah dalam mengendalikan kelahiran bayi, risiko untuk bayi lemas adalah sangat tinggi dan boleh dikatakan penyebab bayi tersebut gagal diselamatkan.

Pada zaman yang serba canggih ini, kita lihat terdapat trend yang mana sesetengah ibu muda menggunakan khidmat doula di rumah untuk proses melahirkan bayi. Boleh doktor ulas sedikit mengenai isu ini?

Doula sebenarnya berasal daripada perkataan Greek yang bermaksud hamba wanita, peneman dan juga pemberi semangat.

Kebanyakan individu yang menggunakan khidmat doula sebenarnya menginginkan kelahiran yang lembut, tenang, menyeronokkan dan tidak sakit. Ini kerana, doula kebiasaannya akan membelai dan memberi semangat kepada si ibu sepanjang proses kelahiran tersebut berlangsung.

Bagaimanapun, tanpa mereka sedari, di dalam al-Quran sendiri telah dinyatakan bahawa Allah mengiktiraf kepayahan dan kesukaran proses kehamilan serta bersalin. Jadi, kedua-dua proses ini memang menyakitkan dan tidak ada istilah bersalin yang mudah serta tidak menyakitkan.

Sebenarnya, menggunakan khidmat doula tidak salah jika ia hanya dijadikan sebagai peneman untuk membelai dan bukannya individu yang bertanggungjawab untuk menyambut kelahiran bayi tersebut.

Biarpun begitu, apa yang saya ingin tekankan di sini, tugas-tugas doula sepatutnya digalas dan dilakukan oleh suami masing-masing.

Pada pendapat doktor, mengapakah golongan ibu muda pada hari ini begitu mempercayai khidmat yang ditawarkan oleh doula?

Keadaan ini berlaku disebabkan oleh kepercayaan mereka terhadap anekdot-anekdot yang ditularkan di media sosial.

Ini kerana, saya lihat kebanyakan mereka memberikan testimonial yang positif mengenai kelahiran menggunakan doula. Perkara tersebut menyebabkan individu lain secara tidak langsung menjadi terpengaruh dan mempercayai anekdot yang diberikan. Ada juga yang percaya bahawa penjagaan di hospital tidak serasi dengan proses kelahiran yang normal dan keinginan melalui proses tersebut secara natural.

Adakah perkhidmatan doula diiktiraf di negara ini dan adakah doula dan bidan merupakan individu yang sama?

Doula tidak diiktiraf di negara ini. Ini kerana, doula tidak mempunyai badan yang memantau kelayakan mereka untuk melakukan kerja-kerja menyambut kelahiran. Bukan itu sahaja, kita juga tidak pasti kemahiran yang dimiliki serta kursus-kursus yang dilalui sebelum mereka ditauliahkan sebagai doula.

Sememangnya, doula dan bidan adalah dua individu yang berbeza. Ini kerana, bidan merupakan individu yang diiktiraf oleh kerajaan dan Kementerian Kesihatan di bawah Akta 436, iaitu Akta Perbidanan. Mereka perlu menjalani latihan selama dua hingga lima tahun untuk mempelajari kursus-kursus menyambut kelahiran selain menyambut 40 kelahiran bayi sebelum ditauliahkan sebagai bidan.

Bukan itu sahaja, mereka juga perlu menduduki peperiksaan berkala dan memperbaharui lesen setiap tahun.

Adakah menjadi satu kesalahan jika seseorang ibu itu mengambil keputusan untuk melahirkan bayi di kediaman mereka?

Sebenarnya, tidak menjadi satu kesalahan. Bagaimanapun, pihak kerajaan telah membuat satu garis panduan untuk kelahiran di rumah. Garis panduan tersebut menekankan aspek kelahiran selamat.

Pertama sekali, pihak hospital akan memastikan risiko kehamilan si ibu adalah sangat rendah sebelum mereka dibenarkan bersalin di rumah. Bagaimanapun, proses tersebut wajib berada dalam pengawasan individu yang terlatih dalam bidang kejururawatan dan tahu apa yang perlu dilakukan jika berlakunya apa-apa kecemasan.

Biarpun begitu, proses kelahiran di hospital adalah pendekatan yang diwajibkan dan paling disarankan oleh semua individu.

Boleh doktor jelaskan serba ringkas risiko yang akan dihadapi oleh individu jika mereka mengambil keputusan untuk bersalin di rumah?

Sebenarnya jika wanita tersebut melahirkan anak secara normal dan tidak mempunyai sebarang masalah kesihatan, mereka tidak berisiko untuk berhadapan dengan sebarang komplikasi.

Ada kelahiran yang dijangka normal tetapi terpaksa dibedah kerana komplikasi luar jangkaan seperti bayi lemas disebabkan terdapat simpulan pada tali pusat bayi. Bayi yang lemas boleh meninggal dunia atau terencat fungsi otaknya kerana kekurangan oksigen semasa dalam rahim ibunya.

Terdapat beberapa keadaan kecemasan yang memerlukan rawatan segera untuk menyelamatkan nyawa ibu seperti pendarahan yang boleh berlaku selepas bersalin.

Banyak lagi komplikasi seperti bahu tersangkut, tali pusat terkeluar dan uri terlekat yang mungkin boleh berlaku kepada ibu dan bayi ketika dalam proses kelahiran serta selepas bersalin. Disebabkan itu, angka kematian sewaktu proses kelahiran pada zaman dahulu adalah sangat tinggi. Ini kerana mereka terpaksa menjalani proses kelahiran di rumah yang kurang perkakas dan kemudahan untuk mengatasi keadaan tersebut.

Apakah nasihat doktor terhadap orang ramai terutamanya bakal ibu dan bapa bagi mengelakkan kejadian seperti ini daripada terus berulang?

Individu perlu berilmu dan memperbanyakkan bacaan. Mereka tidak boleh terlalu mempercayai anekdot-anekdot yang ditulis semata-mata melalui pengalaman seseorang. Tambahan pula proses tersebut melibatkan dua nyawa. Mereka juga perlu merujuk kepada individu-individu yang bertauliah dalam bidang perubatan.

Kementerian Kesihatan telah melakukan pelbagai usaha dengan menyediakan pelbagai kemudahan di klinik dan hospital untuk mewujudkan kelahiran selamat di negara ini. Bahkan statistik kematian ketika proses kelahiran juga menurun walaupun belum mencapai sasarannya iaitu nisbah kematian ibu 11:100,000. Kita doakan kelahiran selamat diamalkan semua ibu agar kita dapat mencapai sasaran tersebut.