Biarpun tidak masuk akal, namun itu merupakan realiti yang harus diterima umum selepas sebuah kilang di China mengambil keputusan untuk menghasilkan tisu muka daripada najis dan sisa makanan panda.

Lebih memeranjatkan apabila produk dengan jenama Panda Poo itu akan dijual pada harga 43 yuan (RM27) iaitu 10 kali ganda lebih mahal daripada harga tisu yang biasa dijual di pasaran.

Selain tisu muka, syarikat tersebut turut menghasilkan produk lain seperti tisu tandas, sapu tangan dan juga tuala.

Bagi merealisasikan kelangsungan produk-produk tersebut, kilang Fengsheng County Sichuan Jianwei County telah menandatangani perjanjian dengan rizab panda gergasi di barat daya China awal minggu lalu.

Steril

Perjanjian itu membolehkan mereka mengumpul dan mengitar semula sisa kumbahan binatang tersebut daripada tiga pangkalan pusat pemeliharaan panda yang terletak di Dujiangyan, Wolong dan Bifengxia.

Menurut seorang penyelidik di Pusat Pemuliharaan dan Penyelidikan China, Huang Yan, kaedah tersebut dilakukan sebagai salah satu usaha untuk menguruskan sisa pepejal daripada haiwan tersebut dengan betul.

“Seekor panda menghasilkan kira-kira 10 kilogram (kg) najis setiap hari.

“Bukan itu sahaja, haiwan tersebut juga menghasilkan kira-kira 15kg sisa makanan setiap hari.

Ia berlaku disebabkan beruang tersebut mengeluarkan semula buluh-buluh yang dikunyah,” jelasnya.

Lambakan sisa buangan tersebut menyebabkan kerajaan mengambil masa yang lama untuk menguruskan kesemua najis dan sisa makanan tersebut.

Menurut Huang Yan lagi, walaupun syarikat tersebut hanya menghasilkan tisu, namun ia memerlukan proses pembuatan yang rumit. Lebih-lebih lagi apabila ia melibatkan aspek kebersihan dan penerimaan daripada orang ramai.

Bagaimanapun, mereka berjaya meyakinkan kebersihan produk tersebut apabila kesemua bahan dicuci dengan air yang mengalir dan kertas-kertas tersebut akan melalui proses steril pada suhu yang tinggi sebelum ditukar menjadi tisu.

“Kos pengeluaran untuk produk ini sangat tinggi kerana kami mahu tisu yang dihasilkan benar-benar bersih dan selamat untuk digunakan oleh orang ramai.

“Disebabkan itulah, harga untuk sekotak tisu ini bernilai sepuluh kali ganda lebih mahal daripada harga tisu biasa.

“Walaupun ramai yang memberi komen negatif, namun saya yakin ia boleh dijual terutamanya kepada pencinta panda,” jelasnya.

Jelas Huang Yan, bagi memenuhi permintaan umum, syarikat itu akan mengumpul bahan buangan iaitu sisa makanan dan najis panda pada setiap tiga minggu sekali untuk diubah menjadi tisu muka, tuala dan sapu tangan.

Sebuah syarikat guna najis dan sisa makanan panda untuk hasilkan tisu yang dikenali sebagai Panda Poo sebagai alternatif untuk menguruskan bahan buangan haiwan tersebut.