Beberapa orang pekerja kilang kelihatan sedang mengemaskan blok-blok kayu yang sudah siap dipotong untuk memastikan permukaannya menjadi licin sebelum proses seterusnya dilakukan.

Pertama kali berkunjung ke kilang kayu, kru Panorama yang hadir bersama jurugambar cukup ralit memerhatikan tatacara kerja di kilang tersebut yang sudah beroperasi hampir 26 tahun lalu.

Pengarahnya, Harith Ridzuan, 34, kemudian meluangkan masa untuk membawa kru Panorama untuk meninjau-ninjau di kilang seluas 1,117 meter persegi tersebut.

Harith yang juga merupakan figura di sebalik jenama Harith Green Carpenter itu kemudiannya membuka bicara tentang produk kayunya yang menggunakan material dan proses yang lebih mesra alam iaitu menggunakan kayu daripada sumber lestari.

Pensijilan PEFC

“Harith Green Carpenter merupakan satu jenama yang ditubuhkan pada tahun 2013.

“Berbeza dengan jenama perabot kayu yang lain, jenama Harith Green Carpenter atau HGC bersifat mesra alam kerana ia dihasilkan daripada kayu-kayu kitar semula namun masih mengekalkan kualitinya.

“Kami menggunakan kayu-kayu terpakai yang dikumpulkan dan dihasilkan sebagai produk baharu dengan reka bentuk moden,” jelasnya.

Lebih membanggakan, One Tech (M) Sdn. Bhd merupakan satu-satunya kilang perabot kayu di negara ini yang berjaya memperoleh sijil Program Pengesahan Persijilan Hutan (PEFC) yang diperkenalkan Majlis Persijilan Kayu (MTCC).

Ia merupakan program persijilan hutan paling diiktiraf dunia yang menekankan tentang hutan lestari dan merupakan skim persijilan kayu balak tropika pertama di rantau Asia Pasifik.

Bertutur lanjut, Harith memberitahu dia nekad menghasilkan perabot mesra alam kerana berasa terpanggil untuk melakukan sesuatu yang bermanfaat untuk alam sekitar.

Setiap produk kayu yang dihasilkan sama ada perabot, papan pemotong dan juga aksesori hiasan rumah dihasilkan daripada sumber kayu terpakai.

“Jika dilihat, saya mengasingkan kayu-kayu terpakai yang diperoleh daripada perabot lama dan juga rumah-rumah lama.

“Kayu-kayu tersebut kemudiannya dipotong dan bahagian yang sudah reput atau rosak dimakan anai-anai akan dibuang, manakala bahagian lain pula akan terus diproses untuk dijadikan produk lain,” jelasnya yang mengusahakan kilang tersebut bersama adik-beradiknya.

Selain penggunaan kayu terpakai, kayu-kayu tersebut juga dibasuh menggunakan air hujan yang ditadah bagi mengurangkan pembaziran air.

“Sehingga kini, saya berjaya mengurangkan sehingga lima peratus sisa kayu berbanding 30 peratus sebelum ini.

Sifar sisa kayu

“Di kilang ini, setiap sisa kayu akan digunakan untuk menghasilkan produk kayu yang berguna dan cantik,” kata anak sulung daripada 10 orang beradik itu.

Persijilan PEFC yang diperoleh membolehkan One Tech (M) Sdn. Bhd. meluaskan pasaran ke seluruh dunia khususnya bagi produk yang bersifat lestari.

Ketika ini, kira-kira 10 peratus produk kayu syarikat tersebut dieksport ke Australia, Rusia, Mexico dan juga Korea Selatan.

Ujar Harith, dia cukup bangga apabila produk kayu yang dihasilkan kilangnya diterima baik di negara-negara luar.

“Ia sekali gus mengubah stigma masyarakat yang sering menganggap produk lokal tidak berkualiti serta tidak setanding produk antarabangsa.

“Biarpun menggunakan kayu-kayu terpakai, tidak timbul isu perabot yang dihasilkan kilang kami tidak berkualiti.

“Kami mengambil kira setiap aspek keselamatan dan kualiti dalam penghasilan sesuatu produk di One Tech (M) Sdn. Bhd.,” jelasnya.

Akui Harith, kelainan yang ditonjolkan kilang perabotnya juga menjadikan dia sering menerima permohonan daripada pelajar yang berminat untuk menjalani latihan industri di One Tech (M) Sdn. Bhd.

Nurul Amalina Saiful Bahari, 26, yang merupakan pelajar jurusan Ijazah Sarjana Muda Reka Bentuk Industri dari Universiti Kuala Lumpur (UniKL) berkongsi, dia teruja apabila berjaya mendapat tempat untuk menjalani latihan industri di kilang milik Harith.

“Sebelum memohon masuk, saya tahu tentang produk-produk mesra alam yang dihasilkan syarikat ini. Biarpun baru beberapa minggu di sini, saya sudah belajar banyak perkara tentang penghasilan perabot yang lebih ‘hijau’ dan mesra alam,” jelasnya.

Jenama hijau

Syarikat tersebut ketika ini menghasilkan lima jenama di bawahnya seperti Harith Green Carpenter, Jord Eco Interiors, Meubelism, Nokta dan terbaharu, jenama Dapo.

Menariknya, menerusi Dapo, Harith menghasilkan perkakas dapur seperti papan pemotong, cawan dan juga pelapik cawan yang diperbuat daripada kayu.

Papan yang dihasilkan daripada material kayu balau itu merupakan antara item paling banyak dibeli pelanggan.

Reka bentuk moden yang digabungkan dengan material kayu klasik seperti balau menjadikan papan pemotong jenama Dapo cukup unik serta lain daripada yang lain.

Menerusi Dapo juga, Harith turut bekerjasama dengan beberapa buah restoran terkemuka di sekitar ibu kota bagi menghasilkan produk papan pemotong sayur dan juga dulang makanan.

Selain produk kayu, Harith juga banyak melakukan kerja-kerja hiasan dalaman seperti menghasilkan feature wall berasaskan kayu mengikut spesifikasi yang ditetapkan pelanggan.

Ditanya tentang cabaran menghasilkan serta memasarkan produk kayu mesra alam, Harith berkata cabarannya ialah untuk meyakinkan orang ramai bahawa produk yang dihasilkan juga berkualiti dan setanding dengan produk kayu import.

“Awalnya, ada juga pelanggan yang bertanya tentang kualiti produk kilang kami apabila mendapat tahu ia bukanlah datang daripada kayu baharu.

“Begitu pun, saya dapati ramai juga rakyat negara ini yang sudah mula berminat untuk sama-sama melestarikan alam sekitar menerusi produk mesra alam yang bukan sahaja cantik malah berkualiti. Kami juga memfokuskan dalam penghasilan produk kayu unik,” jelasnya.

Tambah Harith, tulang belakang produknya terletak pada sembilan orang ahli keluarga yang kini sama-sama bekerja di kilang yang sama.

“Mengambil alih perniagaan keluarga yang memberi fokus kepada produk mesra alam, saya bersyukur kerana ahli keluarga lain cukup memahami serta mempunyai misi yang sama seperti saya dalam memastikan kami kekal ‘hijau’ serta boleh mencapai sifar sisa kayu.

“Hal ini menjadikan saya yakin dengan kelangsungan produk kayu mesra alam keluaran One Tech (M) Sdn. Bhd,” ujarnya lagi.