Keunikan roti canai tersebut yang dimasak menggunakan kayu arang itu membuatkan sesiapa sahaja tidak mahu melepaskan peluang menikmatinya termasuklah Md. Azlan Agus.

Pemuda berusia 33 tahun itu, mula mengunjungi kedai Roti Canai Kayu Arang, Kampung Bakar Batu, Bachang, Melaka sejak setahun lalu apabila menonton mengenai keunikan hidangan tersebut di satu rancangan televisyen tempatan.

“Saya tidak pernah makan roti canai yang dimasak menggunakan kaedah tradisional itu, apatah lagi melihat ia dimasak sedemikian.

“Oleh itu, saya berasa sangat teruja untuk mencubanya dan ternyata benar apa yang diperkatakan orang kerana ia sangat sedap dan berbeza dengan roti canai yang dimasak menggunakan dapur gas,” katanya yang merupakan penduduk di kawasan tersebut ketika ditemui K2 di kedai itu baru-baru ini.

Boleh dikatakan semua jenis roti canai kayu arang di kedai tersebut menjadi kegemaran Md. Azlan tetapi yang paling dekat di hati anak kelahiran Kuala Terengganu, Terengganu itu ialah nanchos.

Jelasnya, roti nanchos yang digandingkan bersama keju, daging cincang dan sayur-sayuran itu memberikan rasa seperti piza.

Keenakan roti canai kayu arang itu turut memikat selera Cheryl Chew, 34, yang akan mengunjungi kedai tersebut sekurang-kurangnya dua kali seminggu sama ada untuk sarapan pagi mahupun makan malam.

“Roti canai di sini sangat sedap, lembut dan tidak berminyak.

“Saya juga suka suasana di kedai ini kerana pekerja dan pemilik kedai ini sangat peramah sehingga kami berkawan rapat.,” ujarnya yang berasal dari Taman Merdeka, Melaka.

Begitulah kehebatan kedai ini yang dikunjungi rakyat Malaysia pelbagai kaum.

Legasi

Kedai Roti Canai Kayu Arang menggunakan kayu arang daripada kayu bakau untuk memasak pelbagai jenis roti yang membangkitkan aroma menyelerakan.

Antara roti yang dihidangkan di kedai tersebut ialah roti telur, keju, biasa, tampal goyang, dol, nanchos, sardin dan bom.

Setiap satu dijual pada harga RM1 hingga RM6.

Ia beroperasi setiap hari pada sebelah pagi dan malam melainkan pada hari Ahad dibuka pada waktu pagi sahaja.

Mengulas lanjut mengenai perniagaan roti canai kayu arang, pemiliknya, Siti Idah Talib, 45, berkata, dia memulakan perniagaan tersebut pada tahun 1999 dan permintaan terhadap roti itu semakin meningkat saban hari.

“Dahulu saya hanya berniaga di gerai kecil dengan tiga meja yang boleh memuatkan seramai 10 orang pelanggan pada satu-satu masa.

“Kini, kedai ini mempunyai 52 buah meja yang boleh menempatkan lebih 100 orang dalam satu masa,” terangnya yang berasal dari Bachang, Melaka.

Pepatah ‘ke mana tumpahnya kuah, kalau tidak ke nasi’ sangat tepat ditujukan kepada Siti Idah kerana dia mewarisi kemahiran membuat dan menebar roti canai daripada kedua orang tuanya yang juga merupakan peniaga roti canai menggunakan kayu arang hampir 20 tahun

Justeru, tidak hairanlah kesemua anak pasangan Talib Akob, 64, dan Sapiah Husin, 65, itu berkemahiran dalam membuat roti canai.

Anak sulung daripada sembilan beradik itu memberitahu, seawal usia 12 tahun dia sudah membantu kedua ibu bapanya berniaga roti canai termasuklah menebarnya.

Selepas ibu dan bapanya berhenti meniaga roti canai, Siti Idah dan dua orang adik-beradiknya menyambung legasi perniagaan roti canai.

“Mak dan ayah memasak roti canai dengan kayu arang maka, kami menggunakan kaedah yang sama untuk mengekalkan keenakannya.

“Kayu arang daripada kayu bakau ini tidak sukar diperoleh dan kami membelinya daripada pembekal di Melaka,” ulas ibu kepada lapan orang cahaya mata itu.

Menurutnya, dalam sehari dia menggunakan dua guni kayu arang untuk memasak roti canai.

Setiap satu guni kayu arang dibeli pada harga RM70.

Akui Siti Idah, memasak roti canai menggunakan kayu arang membuatkan rotinya tidak melekat pada kuali dan tidak memerlukan minyak yang banyak.

Pelancong

Ekoran permintaan roti canai yang meningkat setiap hari terutamanya pada hari cuti, dia menyediakan sebanyak lima hingga enam besen setiap hari malah pernah mencecah sebanyak 10 besen.

Satu besen mengandungi kira-kira 200 biji roti canai dan doh roti itu disediakan oleh Siti Idah dan suaminya, Zulkapli Omar, 50.

Ini bermakna, dalam sehari mereka memasak lebih 1,000 keping roti canai.

Siapa sangka keenakan roti canai yang diusahakan oleh Siti Idah sekeluarga bukan sahaja diminati oleh warga tempatan iaitu Melayu, Cina dan India tetapi termasuklah pelancong dari luar negara seperti Singapura, Jerman, Amerika Syarikat serta Jepun.

Menurutnya, majoriti yang datang ke kedai tersebut adalah dari Kuala Lumpur, Johor dan Singapura.

Tidak ketinggalan, kedai itu juga menerima kunjungan para pelanggan dari Terengganu, Kedah dan Pulau Pinang.

Siti Idah yang dibantu oleh 20 orang pekerjanya tidak menang tangan kerana dia turut menerima tempahan roti canai untuk keraian dan mesyuarat.

Ada juga yang menempah roti canai untuk dibawa ke luar negara untuk saudara-mara yang bermastautin di sana.

Salah seorang pekerja kedai itu, Eeidayu Abu Bakar, 46, berkata, kedai tersebut mula mendapat perhatian apabila dia aktif memuat naik mengenai perusahaan itu di laman sosial pada tahun 2014.

“Ketika itu ramai blogger, stesen televisyen dan akhbar datang membuat liputan mengenai roti canai kayu arang sehinggakan ia semakin dikenali ramai,” ceritanya yang juga merupakan adik ipar kepada Siti Idah.

Sejak itu Eeidayu bertanggungjawab sepenuhnya dalam urusan promosi dan pentadbiran di kedai tersebut.

Dek kerana menerima kunjungan pelanggan yang ramai, ia turut menarik peniaga-peniaga kecil untuk membuka gerai di sekitar kedai tersebut.

“Pemilik kedai ini seorang yang sangat pemurah dan tidak berkira dengan pekerja untuk makan serta minum apa sahaja di sini.

“Duit sewa gerai pula dikumpul dan disedekahkan kepada masjid,” katanya yang bekerja di situ sejak enam tahun lalu.

Roti canai kayu arang dimasak menggunakan arang daripada kayu bakau yang memberi aroma menyelerakan, lembut, tidak berminyak dan tidak melekat pada kuali.