Namun, ketenangan itu bertukar kecoh apabila seorang lelaki ditahan oleh para jemaah ketika cuba mencuri wang daripada kotak derma yang diletakkan di satu sudut di dalam masjid berkenaan.

Seperti adegan buli dan pukul-memukul dalam filem, mangsa kemudian disoal siasat oleh sekumpulan lelaki sambil tumbukan, tamparan, tendangan mula hinggap pada badannya.

Si pencuri merayu memohon maaf sambil cuba memulangkan wang yang diambil berjumlah 1.8 juta Rupiah (RM544.60) kepada kumpulan tersebut.

Namun, dia terus dibelasah tanpa belas kasihan yang akhirnya membawa kepada kematian.

Ironinya, kejadian ganas seperti itu sememangnya kerap berlaku di ibu kota Indonesia tersebut.

Tindakan kejam itu kebiasaannya dilakukan atas dua alasan iaitu jenayah tersebut dilakukan di rumah ibadat dan kurangnya keyakinan terhadap sistem keadilan Indonesia.

Lebih memilukan, terdapat juga pendapat yang mengatakan bahawa mengambil tindakan sendiri tanpa mempedulikan kewujudan undang-undang adalah berpunca daripada tekanan hidup masyarakat di bandar dengan populasi hampir 10 juta tersebut.

Buktinya boleh dilihat melalui kes pembunuhan Muhammad al-Zahra, 30, di sebuah masjid di Jawa Selatan pada tahun lalu.

Ketika lelaki yang didakwa mencuri amplifier masjid tersebut menegaskan bahawa dia bukanlah pencuri dan hanya berniat membaiki alat tersebut yang rosak, sekumpulan lelaki mula mencurahkan gasolin pada seluruh tubuhnya.

Saat tubuhnya meronta dibakar hidup-hidup, mereka yang berada di sekitar kawasan tersebut bukan sahaja bersorak keriangan seakan-akan menonton persembahan, malah tanpa rasa bersalah merakam kejadian tersebut menggunakan telefon bimbit masing-masing.

Tragisnya kejadian tersebut membuatkan isteri mangsa terlalu bersedih sehingga keguguran anak kedua mereka sehari selepas kematian suami tercinta.

Sementelah, pemergiannya dilihat tidak berbaloi dengan hanya enam daripada 12 orang pelampau yang ditahan dikenakan hukuman penjara selama tujuh tahun.

Provokasi

Menurut Pensyarah Undang-Undang di Universiti Indonesia, Heru Susetyo, mencuri di masjid dilihat sebagai satu bentuk ‘serangan’ terhadap agama Islam, sekali gus menjelaskan mengenai meletusnya kekejaman di negara dengan majoriti rakyat beragama Islam terbesar di dunia tersebut.

“Kebanyakan penegak keadilan ini sememangnya dalam kalangan Muslim sendiri. Mereka tidak semestinya memiliki personaliti warak, namun sangat mudah diprovokasi dengan insiden sebegitu.

“Pendek kata, mereka sanggup bertindak ganas di luar batasan dengan berpegang kepada prinsip, ‘mempertahankan’ Islam,” katanya.

Sementelah, seorang pakar undang-undang dari Universiti Katolik Parahyangan di Bandung, Indonesia, Prof. Agustinus Pohan berpendapat, perkara itu terjadi disebabkan runtuhnya kepercayaan rakyat terhadap keberkesanan sistem keadilan Indonesia.

“Rakyat sudah tidak percaya dengan pihak berkuasa. Ini kerana undang-undang di negara ini (Indonesia) dipengaruhi kuasa dan wang ringgit.

“Mereka yang mempunyai duit akan mendapat layanan istimewa, malah ada juga yang langsung dikecualikan daripada sebarang hukuman meskipun membuat salah. Justeru, rakyat enggan lagi percaya, sekali gus mengambil keputusan untuk membuat tindakan sendiri,” jelasnya.

Secara umumnya, mengikut data Bank Dunia, terdapat kira-kira 34,000 kes serangan oleh orang awam dilakukan sejak tahun 2005 hingga 2014 di Indonesia.

Daripada jumlah tersebut, 1,600 orang terbunuh dan selebihnya mengalami kecederaan serius.

Namun, bilangan tersebut dipercayai tidak mewakili jumlah sebenar insiden yang berlaku, memandangkan data hanya diambil mengikut laporan media dan kes yang pernah dilaporkan kepada pihak polis.

Terbaharu, mangsa bukanlah dalam kalangan suspek curi di masjid semata-mata, malah melibatkan tuduhan zina.

Di Aceh iaitu sebuah wilayah yang mengamalkan undang-undang Islam secara total, sekumpulan lelaki baru-baru ini telah memukul dan membogelkan sepasang anak muda sebelum dipertontonkan kepada seluruh kejiranan kerana dipercayai telah berzina.

Pada bulan April lalu, tular video di seluruh dunia menunjukkan bagaimana seorang lelaki dan gadis yang belum berkahwin ‘dimandikan’ dengan air najis apabila didapati berdua-duaan di tempat sunyi.

Dalam pada itu, jurucakap Polis Jakarta, Argo Yuwono tidak menolak kemungkinan bahawa tindakan yang diambil orang awam tanpa kawalan undang-undang atau hukuman sebenar sebagai sebahagian daripada kegagalan pihak berkuasa.

“Insiden ini menunjukkan bahawa sistem sosial tidak berjalan dengan begitu baik. Sebaiknya, kami akan lebih berusaha untuk mewujudkan kembali sifat saling menghormati serta bekerjasama antara pihak berkuasa dan masyarakat,” akhirinya. – AFP