Lelaki warganegara Syria itu mengakui begitu tertarik dengan pemandangan alam dan cuaca sejuk di Negeri di Bawah Bayu itu.

Sebagai seorang yang memiliki latar belakang ternakan, Kasem Walid memilih Desa Cattle Dairy Farm sebagai destinasi kunjungannya.

Di ladang itu, Kasem Walid melihat lembu-lembu yang dipelihara begitu sihat dan ladang ternakan yang sangat luas serta mempunyai fasiliti lengkap.

“Saya tidak sangka di Malaysia mempunyai ladang penternakan lembu setanding dengan negara-negara maju seperti Amerika Syarikat, Australia dan New Zealand.

“Semasa lawatan, saya sempat berbual dengan penternak-penternak kecil di sana. Mereka memberitahu Malaysia kekurangan produk susu tempatan dan kebanyakannya perlu diimport,” katanya yang mempunyai pengalaman selama lima tahun bekerja di sebuah ladang ternakan di Arab Saudi.

Rentetan daripada itu, dia mendapat ilham untuk membuka sebuah ladang ternakan tenusu lembu di Malaysia. Sebaik pulang ke Syria, Kasem Walid mula membuat kajian di internet untuk mengenal pasti kebolehpasaran susu lembu di negara ini.

Selama hampir tiga tahun melakukan penyelidikan mengenai pengurusan ternakan, proses makanan dan tanah di Malaysia, akhirnya Kasem Walid berjaya membuka ladang ternakan miliknya sendiri yang dikenali sebagai Nor Livestock Farm Sdn. Bhd. di Batang Kali, Hulu Selangor pada tahun 2013.

Dengan berbekalkan modal sebanyak RM300,000, kini syarikatnya telah berjaya membekalkan sebanyak 35,000 liter susu dalam satu bulan kepada pembekal-pembekal susu di seluruh Malaysia.

Menurut Kasem Walid, penternakan yang hanya bermula dengan empat ekor lembu yang diimport dari Australia itu kini meningkat menjadi sebanyak 170 ekor.

Beliau juga baru-baru ini memenangi Anugerah Agropreneur Ternakan Terbaik Selangor Agrofest 2018 dan tiga tahun berturut-turut merangkul gelaran Penternak Lembu Susu Paling Berjaya anjuran Kelab Generasi Tranformasi Ruminan Malaysia (GTR) sejak tahun 2016.

Mempunyai ladang ternakan berkeluasan enam hektar, Kasem Walid kini boleh berbangga apabila mempunyai kilang pemprosesan makanan haiwan ternakan ruminan untuk bekalan para penternak di Malaysia.

Bagaimanapun, Kasem Walid mengakui semua kejayaan itu tidak dapat dicapai tanpa tunjuk ajar dan sokongan daripada Kelab GTR.

“Pada peringkat awal memulakan perniagaan ini, saya memang tidak mempunyai kenalan di negara ini kecuali ahli keluarga isteri yang berasal dari Muar, Johor sehinggalah saya berjumpa dengan kelab GTR.

“Kelab itulah yang banyak membantu dari segi pengurusan industri penternakan lembu di Malaysia dan sejak itu saya mula memperoleh jaringan rakan strategik yang lebih luas,” ujarnya.

Berdaftar

Kelab GTR diwujudkan sebagai wadah kepada golongan penternak dalam membantu kerajaan menentukan hala tuju dan merancakkan industri ruminan.

Antara haiwan ruminan termasuklah lembu, kambing, biri-biri, zirafah, kerbau, rusa dan unta.

Kelab GTR ditubuhkan secara rasmi pada tahun 2014 dan kini mempunyai ahli seramai hampir 5,000 orang dengan sebahagian besarnya merupakan golongan penternak ruminan di seluruh negara.

Salah seorang pengasas Kelab GTR, Nordin Mat memberitahu, idea penubuhan kelab itu tercetus ketika mereka menganjurkan Bengkel Transformasi Ternakan Ruminan MTG-Utusan Malaysia pada tahun 2013.

Katanya, hasil penyertaan bengkel tersebut, mereka berjaya mengumpulkan sebilangan penternak dari seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak sehinggalah pertemuan demi pertemuan yang diatur selepas itu membuahkan idea untuk mengadakan forum, bengkel dan program yang lebih formal.

“Pada peringkat awal, aktiviti yang dijalankan hanya berkisar mengenai perbincangan dan program secara kecil-kecilan.

“Bagaimanapun, apabila perbincangan serius diadakan melibatkan usaha untuk menyelesaikan masalah ke peringkat atasan mahupun kerajaan, suara kami seolah tidak didengari oleh mana-mana pihak,” katanya lagi.

Bertitik tolak daripada kejadian itu, akhirnya beberapa penternak telah mencetuskan idea agar mereka menubuhkan sebuah organisasi berdaftar bagi memudahkan segala masalah yang dialami dalam industri tersebut dapat diketengahkan.

Fenomena

Bagaimanapun ujar Nordin, antara objektif utama penubuhan kelab GTR adalah untuk mewujudkan satu fenomena dalam kalangan masyarakat negara ini agar kembali berminat untuk terlibat dalam industri penternakan ruminan.

Jelasnya, hampir 90 peratus ahli kelab ini merupakan golongan muda yang berusia lewat 20-an sehingga awal 40-an yang aktif menggunakan laman sosial seperti Facebook.

“Kami lihat, golongan muda ini ramai yang berminat dalam industri ternakan ruminan tetapi mereka tidak tahu cara sebenar dan memerlukan khidmat bantuan nasihat bagi menceburi bidang ini.

“Di situlah kami menghulurkan bantuan atas dasar persaudaraan bagi membantu mereka yang berminat dalam bidang ini,” ujarnya.

Kelab GTR kini diterajui oleh seorang penternak iaitu Hussain Jaapar yang menetap di Taman Gombak Setia, Selangor.

Menurut Hussain, 56, kelab tersebut terbuka kepada sesiapa sahaja yang meminati industri penternakan ruminan sama ada pelajar, usahawan, ahli akademik mahupun penternak di luar bandar.

“Tiada kategori khas, cuma perlu isi borang yang boleh didapati di Facebook rasmi Kelab Generasi Transformasi Ruminan Malaysia dan membayar yuran pendaftaran sebanyak RM1 seumur hidup.

“Apabila sudah menjadi ahli, anda bebas untuk berbincang, memohon nasihat, bantuan dan apa sahaja berkenaan industri ternakan ruminan dalam kelab tersebut,” katanya.

Hussin memberitahu, industri ternakan ruminan terutamanya kambing dilihat mampu terus berkembang kerana permintaan yang tinggi. Selain itu juga, Kelab GTR turut aktif dalam menghulurkan bantuan kepada negeri-negeri yang terjejas akibat bencana banjir.

Pada tahun 2014, GTR bersama Jabatan Perkhidmatan Veterinar mengagihkan 234,000 kilogram makanan ternakan kepada penternak yang terlibat banjir di Pahang, Terengganu dan Kelantan.

“Biasanya, bantuan banyak disalurkan oleh pihak kerajaan dan badan bukan kerajaan hanya kepada mangsa banjir tetapi mereka lupa terhadap haiwan ternakan yang turut terjejas akibat bencana tersebut,” tuturnya.

Sementara itu, seorang lagi penternak, Kamarruzaman Abdul Jalil, 35, memberitahu, kelab GTR banyak memberi tunjuk ajar kepada usahawan muda sepertinya yang bukan sahaja bergelar pengusaha dan pengeluar daging lembu tetapi kini sudah menjadi penternak lembu pedaging.

Pemilik Desa Selatan Beef Sdn. Bhd. yang beroperasi di Johor Bahru, Johor menambah, kelab GTR banyak membantu dalam pengurusan dan penjagaan lembu yang betul selain memberi pendedahan mengenai produk-produk sejuk beku daging lembu.

“Kursus-kursus yang saya pelajari di GTR banyak membantu dari segi pemasaran, produk dan pengurusan lembu serta informasi mengenai industri penternakan Malaysia,” katanya.

GTR boleh diibaratkan seperti sekolah kepada penternak-penternak di Malaysia kerana informasi dan kursus yang ditawarkan membuka minda penternak.

Baka

Menurut Kamaruzzaman, sejak tamat Sijil Pelajaran Malaysia pada tahun 2008, dia terus mengusahakan perniagaan keluarga selama sembilan tahun bermula dengan baka lembu kampung sebanyak 15 ekor.

“Alhamdulillah, kini saya memiliki lebih daripada 10 baka lembu tempatan serta kacukan,” katanya yang kini mempunyai lebih 30 pekerja.

Antara baka yang dimiliki termasuk Brahman kacuk Charolais, Murray Gray, Hereford, kacukan Belgium Blue, Brahman, Brakmas, Jersie Friesian dan Lemousin yang berasal dari Perancis.

Menyentuh berkenaan makanan lembu, Kamarruzaman yang pernah menerima Anugerah Perdana sempena Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Kebangsaan (HPPNK) 2017 berkata, dia menggunakan dedak sebagai formula untuk meningkatkan berat badan haiwan itu.