Begitu pun pada kali ini, tiada suara pedagang yang memanggil para pelancong untuk sesi tawar-menawar menjual pelbagai barangan seperti permaidani dan beg tangan.

Malah, aroma rempah ratus yang boleh dibau dari jarak jauh turut tidak dapat dihidu.

Cahaya pada petang itu semakin melabuhkan tirainya. Sebaik malam menjelma, kedengaran alunan muzik bergema di sekitar bazar itu.

Buat pertama kali dalam sejarah Grand Bazar sebagai pusat perdagangan dan jual beli digunakan untuk konsert berprestij dikenali Festival Muzik Istanbul. Ia dikendalikan oleh Yayasan Kebudayaan dan Kesenian Istanbul (IKSV).

Festival Muzik Istanbul dianjurkan sejak 1973.

Lokasi

Kekurangan lokasi untuk menganjurkan konsert bertaraf dunia itu sering menimbulkan kekecewaan bagi pencinta muzik di Istanbul.

Penganjur terpaksa menggunakan apa sahaja lokasi yang dapat menampung konsert itu tidak kira sama ada melakukannya di gereja, universiti mahupun Grand Bazar.

“Ia adalah satu keputusan pintar untuk menggunakan ruang sejarah sebagai lokasi konsert. Ia dapat membawa dan mengajak ramai orang ke bangunan itu dan mengenali sejarahnya.

“Biasanya orang datang ke sini untuk membeli barang,” kata seorang pemuzik tradisional Turki dan penyanyi hebat, Kudsi Erguner.

Selepas mengalunkan serulingnya, Kudsi menambah, walaupun tempat itu tidak dibina untuk aktiviti muzik, namun Grand Bazar adalah lokasi yang menarik untuk penganjuran seni.

“Ruang Grand Bazar yang melengkung bagus untuk bunyi,” tambahnya.

Festival Muzik Istanbul memberi tumpuan kepada muzik klasik termasuk muzik tradisional dan jaz.

Sebelum ini, antara lokasi penganjuran yang pernah diadakan adalah Neve Shalom Synagogue, gereja St. Anthony Roman Catholic, stesen kereta api Sirkeci dan terminal Orient Express.

Penggunaan tempat-tempat muzik seperti itu bagus untuk menarik kehadiran pelbagai bangsa dan agama seperti Yahudi, Armenia, Yunani di samping penduduk Islam. Ia membentuk ke arah bandar lebih berbilang kaum.

Sejarah

Penduduk Istanbul sangat berkurangan disebabkan tragedi abad ke-20 seperti pengusiran dan pembunuhan orang Armenia di bawah Empayar Uthmaniyyah dari tahun 1915.

Hari ini, bangunan-bangunan itu menjadi simbol kebanggaan kerana terdapat banyak kehadiran daripada pelbagai bangsa.

“Istanbul telah menjadi ibu kota bagi tiga empayar terdahulu dan menempatkan tiga agama berbeza. Mereka semua meninggalkan warisan masing-masing di bandar ini.

“Festival ini juga perlu dimasukkan sebagai satu warisan sejarah kerana telah mewujudkan hubungan antara identiti dan kebudayaan,” kata Pengarah Festival Muzik Istanbul dan Timbalan Ketua Umum IKSV, Yesim Gurer Oymak kepada AFP.

Istanbul mungkin tidak mempunyai dewan konsert ultra moden seperti Paris atau Hamburg tetapi beberapa pusat akustik terbaik di bandar itu dapat ditemui di bangunan-bangunan bersejarah.

Tempat terbaik untuk mengadakan konsert orkestra di bandar ialah Hagia Eirene dan bekas gereja Byzantine yang kini sebuah muzium yang membolehkan para penonton menikmati muzik klasik secara akustik.

Pada konsert yang diadakan di Grand Bazar, dindingnya bergema seiring dengan bunyi lagu-lagu Armenia, Ladino, Yahudi dan Turki yang dipimpin oleh pemuzik tradisional Hakan Gungor.

“Ini kali pertama kami mengadakan konsert di Grand Bazar. Ia adalah tempat yang sangat penting dengan keadaan kedai-kedai yang sangat asli dan muzik kami juga sangat tulen,” kata Cag Ercag, salah seorang selebriti klasik Turki. – AFP