Alexander Boris de Pfeffel Johnson atau Boris Johnson adalah penghuni baharu 10 Downing Street selepas dia memenangi pemilihan Parti Konservatif dengan menewaskan lawannya, Jeremy Hunt dengan margin undi yang cukup besar.

Johnson atau lebih dikenali sebagai BoJo menggantikan Theresa May sebagai pemimpin Britain pada 23 Julai lalu. May meletak jawatan sebagai Perdana Menteri Britain susulan gagal mendapatkan sokongan Parlimen untuk melaksanakan Perjanjian Brexit yang telah dipersetujuinya dengan Kesatuan Eropah (EU).

Mereka yang tidak mengikuti perkembangan politik Britain mungkin tidak mengenali sosok yang disamakan dengan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump oleh lawannya di Parlimen.

Saintis politik, Andrew Crines menyatakan, Johnson menunjukkan karakter yang disukai dan dipercayai dengan kekuatan intelektual tersendiri.

Membawa imej yang tidak konvensional, Johnson adalah satu sosok unik dalam politik. Ibarat gabungan pelawak, penghibur dan populis. Watak separa serabai itu sengaja dibentuk oleh Johnson dengan merengek rambutnya dengan cara tertentu apabila dia membuat penampilan awam.

Dalam satu dokumentari BBC, kakaknya Rachel Johnson menyifatkan adiknya itu sebagai seorang yang kompetitif.

“Boris memahami bahawa kehidupan adalah satu persaingan. Apabila sesiapa bertanya apakah cita-citanya, dia akan menjawab: World King (Raja Dunia),” ujar Rachel.

Anak bongsu daripada empat beradik itu memulakan kerjaya dalam bidang kewartawanan dengan penerbitan seperti The Times dan The Daily Telegraph. Johnson pernah dipecat gara-gara mengada-adakan petikan kata dalam satu penulisannya.

Johnson melangkah masuk dalam dunia politik pada 1997 dengan menjadi calon Parti Konservatif untuk kerusi Parlimen, namun tewas kepada calon Parti Buruh.

Selepas kekalahan itu, dia kerap muncul di kaca televisyen. Tingkah laku dan ucapan tidak sopan membuatkan Johnson menjadi kegemaran dalam rancangan talk show di Britain. Pada 2001, beliau sekali lagi bertanding untuk kerusi Parlimen dan memenanginya.

Kelancangan

Johnson mendapat batu loncatan yang besar dalam politik apabila mengalahkan Ken Livingstone daripada parti Buruh dalam pemilihan Datuk Bandar London pada Mei 2008. Menurut penulis portal vox.com, Jen Kriby, rekodnya sebagai Datuk Bandar London bercampur-campur. Dengan peribadinya yang menyukai gimik untuk publisiti, tidak hairanlah dia berjaya meletakkan bandar itu di peta dunia.

Pengarang politik portal Daily Mirror, Pippa Crerar berkata, legasi Johnson yang paling berjaya adalah meletakkan semula London di persada dunia.

“Sisi diplomat yang dimainkan Johnson dan keyakinannya terhadap bandar terhebat di dunia telah meningkatkan pelaburan, pelancongan dan reputasi ibu negara Britain. Walaupun beliau akan diingati komuniti antarabangsa kerana insiden tersangkut pada zipline, Johnson telah memainkan peranannya sebagai jurujual nombor satu London,” ujar Crerar.

Insiden yang dimaksudkan berlaku di Victoria Park, London ketika Johnson menjadi tetamu kehormat untuk satu sambutan pasca- Olimpik London 2012. Dia menyusur zipline sepanjang 320 meter sambil membawa dua bendera Union Jack, namun tersangkut di tengah-tengah. Zipline adalah laluan menuruni tempat tinggi dengan seutas tali kabel.

“Adalah satu bencana sekiranya mana-mana ahli politik di dunia ini tersangkut di tengah-tengah zipline, namun untuk Boris, ia seperti satu kejayaan,” ujar bekas Perdana Menteri Britain, David Cameron dalam nada jenaka.

Kelancangan mulut Johnson pernah berbekas kepada rakyat Malaysia apabila dia menyatakan bahawa wanita di Malaysia memasuki universiti kerana ingin mencari suami.

Johnson berkata demikian pada pelancaran Forum Ekonomi Islam Dunia bersama bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di London pada 2013. Kenyataan itu diselar sebagai seksis oleh kumpulan advokasi The Everyday Sexism.

Selepas menjadi Datuk Bandar, Johnson kembali ke Parlimen pada 2015 sebelum dilantik menjadi Setiausaha Luar dalam Kabinet May pada tahun berikutnya.

Kini menjadi tanggungjawab Johnson untuk mengemudi Britain pasca-Brexit dan semestinya dia akan berdepan cabaran yang tersendiri.

Sejarawan politik, Peter Hennessy berkata, Johnson menarik pelbagai spektrum pendapat daripada orang ramai.

“Salah satu pandangan ialah Johnson merupakan individu paling berbahaya untuk menggalas jawatan Perdana Menteri, manakala di satu sudut lain, ramai berfikir Johnson adalah orang yang mampu menukar ‘logam’ Brexit kepada permata yang bersinar.

“Kerisauan terbesar saya ialah dia menunjukkan satu tahap narsisisme politik yang tinggi seolah-olah dia percaya dengan mitos yang direkanya sendiri,” kata Hennessy.

Johnson merupakan seorang ‘Eurosceptic’, iaitu mereka yang mempunyai pandangan skeptikal terhadap entiti supranasional seperti Kesatuan Eropah (EU). Beliau banyak menulis dengan kritikal terhadap badan Eropah itu ketika menjadi wartawan dan masih berpegang dengan pendirian itu selepas menceburi politik.

Brexit

Oleh itu, Johnson lebih tegas dan berkeras untuk melaksanakan langkah keluar EU berbanding May dan tidak peduli sama ada Brexit mempunyai perjanjian atau tidak. Beliau mengancam untuk keluar tanpa sebarang perjanjian dan menahan pembayaran hutang Britain sebanyak AS$50 bilion (RM206 bilion) kepada EU. Sama seperti May, cabaran Johnson juga adalah untuk meyakinkan Parlimen mengenai pelannya untuk Brexit.

Ini termasuk isu persempadanan Republik Ireland dan Ireland Utara yang merupakan wilayah Britain yang akan terkesan dengan Brexit.

Selain daripada lopak Brexit, Johnson juga bertanggungjawab membawa negaranya ke arah padang ragut yang lebih subur untuk menyemai semula perpaduan dalam kalangan rakyat UK.

Sesetengah pemerhati malah menyatakan Johnson bakal menjadi Perdana Menteri terakhir Britain. Ini kerana penduduk Scotland dijangka tidak mahu kekal dalam Britain dengan Johnson sebagai Perdana Menteri.

Menteri Kanan Scotland, Nicola Sturgeon yang pro kepada kemerdekaan mengulangi gesaan nasional agar diberikan hak untuk referendum kedua mengenai kemerdekaan Scotland.

“Scotland tidak memilih Brexit atau Kerajaan Konservatif sekarang dan sudah tentu tidak mengundi Johnson sebagai Perdana Menteri.

“Perkembangan ini menunjukkan keperluan Scotland untuk mempunyai hak bagi menentukan masa depan kami sendiri, bersesuaian dengan kehendak demokratik penduduk Scotland,” tegas Sturgeon kepada media.

Keadaan berkenaan tidak bertambah baik dengan sikap Johnson terhadap orang Scotland. Beliau pernah meminta orang Scotland diharamkan menjadi Perdana Menteri UK kerana menurutnya, “kerajaan diketuai orang Scot tidak masuk akal.”