Sudah tentu, mereka berhak mendapat layanan ‘kelas pertama’ itu daripada penyokong dan peminat bola sepak negara atas kejayaan mara sehingga peringkat suku akhir Kejohanan AFC B-23.

Ia boleh dianggap satu sejarah baharu dalam arena bola sepak negara. Penyokong, peminat mahupun pemerhati bola sepak negara saban hari membicarakan tentang kejayaan mereka.

Rata-rata memuji persembahan cemerlang yang ditampilkan skuad muda kendalian Datuk Ong Kim Swee sepanjang kejohanan itu berlangsung di Kunshan, China.

Begitupun, kini timbul persoalan mampukah barisan pemain muda negara itu mampu memberikan prestasi yang sama apabila mereka kembali mewakili pasukan masing-masing dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) musim ini.

Ada pihak berpendapat kualiti yang ada pada para pemain muda negara akan ‘terhakis’ jika mereka tidak mendapat peluang beraksi lebih kerap pada kempen liga domestik.

Apatah lagi, mereka terpaksa bersaing dengan pemain senior tempatan yang lebih berpengalaman selain deretan awang import.

Andai itu berlaku, ia sudah pasti menjejaskan prestasi pemain terbabit dan secara tidak langsung memberi kesan kepada Kim Swee khususnya dalam merencana langkah buat skuad muda negara.

Bagi Presiden Persatuan Jurulatih Bola Sepak Malaysia (PJBM), B. Sathianathan, beliau percaya mana-mana jurulatih yang mengendali pasukan dalam Liga M mempunyai perancangan tersendiri bagi membentuk kualiti permainan setiap pemain muda.

“Sudah pasti jika pemain muda itu menunjukkan permainan yang baik, mereka akan mendapat peluang bermain dengan lebih kerap bersama kesebelasan utama pasukan.

“Bagaimanapun terpulang kepada pemain itu sendiri terlebih dulu kerana terpilih atau tidak sebagai pemain utama pasukan, ia bergantung kepada prestasi mereka ketika sesi latihan.

“Apabila pemain muda ini pulang semula ke kelab masing-masing, mereka akan menghadapi saingan daripada pemain-pemain senior dan juga pemain import.

“Kesungguhan mereka ketika sesi latihan yang akan menjadi kayu pengukur sama ada mereka layak atau tidak untuk bermain pada saingan liga.

“Saya percaya tidak ada mana-mana jurulatih yang akan menolak untuk menggunakan khidmat pemain muda yang bagus dan mampu mendatangkan kemenangan kepada pasukan,” katanya kepada Rembat Kosmo! baru-baru ini.

Selaku Ketua Jurulatih Felda United, beliau turut memiliki beberapa pemain muda dalam skuad kendaliannya termasuk Muhammad Danial Amier Norhisham yang menjadi antara tonggak skuad B-23 negara.

“Kalau dia (Danial Amier) tunjuk prestasi yang baik sama seperti ketika menentang Korea Selatan di China baru-baru ini, kemungkinan besar saya akan turunkan dia tetapi jangan fikir kalau dua, tiga kali buat aksi baik, dia akan kekal.

“Saya harus ingatkan, pemain muda jangan ‘besar kepala’. Saya sudah lihat banyak pemain yang dikatakan handal tetapi hancur akhirnya,” katanya yang juga Ketua Jurulatih Felda United.

Bekas pengendali skuad Harimau Muda A, Mohd. Azraai Khor Abdulah pula memberitahu, setiap pasukan perlu menggilap bakat pemain muda masing-masing dengan memberikan mereka peluang beraksi secara kompetitif.

Menurut bekas Ketua Jurulatih Kedah, Negeri Sembilan, Perak, T-Team, Kelantan dan Sabah itu, antara langkah yang boleh dilakukan bagi tujuan tersebut adalah dengan meminjamkan pemain-pemain muda ke kelab luar negara.

“Saya pasti kelab bola sepak luar negara turut mengintai pemain-pemain muda kita. Banyak kelab di luar negara yang boleh kita hantar pemain muda ini, antaranya Buriram FC di Thailand.

“Di pihak pemain itu pula, mereka perlu mempunyai mentaliti yang betul dan fokus terhadap kerjaya mereka. Sasarkan lebih jauh lagi dan tidak hanya tertumpu kepada Liga M semata-mata.

“Kita tidak mahu pemain muda hanya nampak liga tempatan dan sekadar menjadi jaguh kampung semata-mata. Biarlah mereka sasarkan untuk bermain bola sepak di peringkat lebih tinggi,” katanya yang membimbing Kedah muncul juara ‘double treble’ pada musim 2007 dan 2008.

Ketika diminta mengulas senario yang mungkin berlaku itu, Kim Swee menegaskan bahawa anak-anak buahnya tidak boleh menyalahkan sesiapa sekiranya mereka tidak terpilih dalam kesebelasan utama pasukan dan sekadar memanaskan bangku simpanan.

“Apabila seseorang pemain itu menandatangani kontrak dengan sesebuah pasukan, mereka haruslah berusaha untuk membuktikan bahawa mereka layak untuk berada dalam skuad utama.

“Pemain bukannya menandatangani kontrak untuk berasa selesa. Bagi saya, sekiranya anda berasa selesa, kemungkinannya adalah anda tidak akan dipanggil (untuk bermain),” katanya.

Terdahulu, Pengurus skuad B-23 negara, Datuk Wira Yusoff Mahadi berharap barisan pemain muda tidak terbiar apabila pulang ke pangkuan pasukan negeri atau kelab masing-masing sebaik kempen Liga M 2018 bermula.

“Pemain pasukan ini perlu dijaga, perlu diberikan pendedahan serta perancangan yang teliti bagi menjaga pasukan ini supaya pemain tak hilang begitu sahaja,” katanya yang juga Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).