Tidak sedikit pun berasa kekok, dia bersama anjing peliharaannya menampilkan aksi bersahaja di hadapan kamera semasa temu bual bersama The New York Post baru-baru ini.

“Inilah kehidupan kami yang diwarnai merah jambu,” ujar wanita berusia 53 tahun itu dalam nada ceria.

Dikenali dengan nama The Pink Lady of Hollywood, Sera bukan sahaja mewarnakan rambutnya dengan warna merah jambu, malah dia turut mewarnakan bulu anjing bernama Maltese Miss Kisses itu dengan rona tersebut.

Bahkan, segala barang termasuk perhiasan, pakaian dan makanan di rumahnya di Los Angeles, Amerika Syarikat juga dalam warna merah jambu.

Membenarkan jurukamera memasuki kediaman yang digelar Pink Palace itu, Sera begitu teruja untuk menunjukkan koleksi barangan dalam warna kegemarannya.

Sudut kamera merakam dinding dan perabot berwarna merah jambu selain koleksi pakaian dan aksesori yang tersimpan di dalam sebuah almari dengan rona sama.

“Saya tidak memakai pakaian berwarna lain kecuali merah jambu. Kalau ada upacara pengebumian sekalipun, saya tetap akan memakai pakaian berwarna merah jambu,” ujarnya.

Anjing merah jambu

Menurut Sera, minat terhadap warna itu timbul 33 tahun lepas semasa hari lahirnya yang ke-20.

“Saya mengenakan baju dan aksesori berwarna merah jambu pada hari tersebut. Sejak itu, saya mengambil keputusan untuk hidup dengan warna monokrom ini setiap hari.

“Pasti ada pengaruh psikologi di sebaliknya. Saya tidak pasti apa, tetapi ia membuatkan saya gembira,” katanya yang menghabiskan kira-kira AS$1.5 juta (RM6.1 juta) untuk memuaskan minatnya terhadap warna merah jambu.

Bercerita tentang haiwan peliharaannya, Sera berkata, anjing jenis Pooch itu diwarnakan dengan pewarna rambut semula jadi daripada ubi bit yang dibenarkan veterinar.

Selain itu, minat menghias rumahnya dengan barangan berwarna merah jambu ternyata menguntungkan Sera. Manakan tidak, kediamannya itu sering disewa sebagai lokasi penggambaran selebriti terkenal.

“Saya dan Maltese Miss Kisses sendiri pernah menjalani 35 sesi penggambaran di sini untuk pelbagai penerbitan termasuk filem, majalah dan blog,” ujarnya sambil memberitahu, Paris Hilton dan Beyonce merupakan antara selebriti yang pernah menjalani penggambaran di Pink Palace.

Sera mengakui agak sukar untuk mendapatkan barang perhiasan, perkakas dapur dan peralatan dalam warna merah jambu lebih-lebih lagi sebelum internet diperkenalkan.

“Untuk itu, saya akan mewarnakan barang-barang ini mengikut warna merah jambu yang sesuai seperti nuansa fuchsia, ros dan lain-lain,” katanya yang berasal dari Texas, AS.

Kek cawan

Obsesi Sera terhadap warna merah jambu juga dapat dilihat pada seleksi makanannya yang terhad kepada rona itu sahaja.

“Saya suka menyediakan adunan kek cawan dan krim donut dengan menggunakan pewarna makanan merah jambu selain susu kocak strawberi,” katanya.

Pada usia lebih separuh abad, Sera tidak ketinggalan zaman dari segi pengikutnya di laman sosial. Di Instagram, wanita itu memiliki lebih 44,000 pengikut yang majoritinya terdiri daripada gadis remaja yang mempunyai minat sama terhadap warna merah jambu.

“Ia ibarat menyatukan sebuah komuniti yang menyukai satu-satu warna tertentu. Mungkin ada yang tidak menyukai apa yang saya lakukan tetapi tidak mengapa kerana minat setiap individu adalah berbeza,” katanya.

Sera diberi pengiktirafan oleh rancangan televisyen Ripley’s Believe It or Not sebagai wanita paling merah jambu di dunia.