Begitulah kehidupan Azlan (bukan nama sebenar) apabila dia mengaku cukup menyesal kerana menceraikan isterinya yang amat dikasihi hanya kerana wanita itu tidak boleh mengandung.

Lebih parah lagi, bekas isterinya kini bahagia dan sedang hamil anak teman baik Azlan sendiri.

Mengimbau kembali, jejaka berusia 31 tahun itu memberitahu, dia berkenalan dengan Maria (bukan nama sebenar), 30, melalui seorang rakan.

“Kami diperkenalkan dalam satu majlis sambutan hari lahir seorang rakan.

“Hubungan kami pada mulanya bermula sebagai sahabat namun selepas beberapa tahun, saya menyedari mula sukakan Maria memandangkan dia merupakan seorang wanita yang cantik, baik dan keluarganya juga cukup mengenali saya.

“Selepas yakin Maria jodoh saya, kami pun melangsungkan perkahwinan pada awal tahun 2011,” jelas Azlan.

Bahtera perkahwinan yang dilayari cukup membahagiakan Azlan kerana Maria cukup sempurna pada matanya. Selain cantik, Maria juga amat menjaga solat, menyebabkan Azlan yakin dia tidak tersalah dalam memilih jodoh.

Begitu pun, setiap hubungan ada pasang dan surutnya.

Kehidupan berumah tangga sememangnya penuh dengan cabaran dan dugaan. Selepas usia perkahwinan Azlan dan Maria memasuki dua tahun, pasangan itu mula disogok tentang perihal anak.

“Selain dituduh merancang, ada juga antara ahli keluarga kami yang menganggap Maria mandul dan saya pula dikatakan lelaki lembik kerana tidak berjaya menghamilkan isteri sendiri.

“Ia menjadikan saya cukup tertekan dan perkara tersebut berlanjutan sehinggalah usia perkahwinan kami masuk tahun keempat,” jelas Azlan.

Sering marah

Azlan yang pada mulanya menerima takdir Tuhan bagaimanapun mula berubah sikap dan sering marah-marah akibat tertekan.

Dia sering melepaskan kemarahannya kepada Maria dan mula menuduh wanita itu sememangnya mandul.

“Akibat dirasuk rasa marah yang melampau, saya tergamak menghina Maria dan berkata apa guna berwajah cantik dan menjaga solat sekiranya mandul.

“Lebih teruk lagi, saya menendang perut Maria dan menceraikannya dengan talak tiga,” ungkap Azlan dalam nada kesal.

Begitu pun, selepas beberapa bulan bercerai, Azlan mengakui dia amat merindui bekas isterinya itu.

Tanpa segan silu, Azlan cuba untuk memenangi hati Maria dan melakukan pelbagai cara untuk memikat wanita itu.

Pujuk rayu Azlan berterusan sehingga dua tahun lamanya. Akhirnya, Maria membuka hatinya buat bekas suaminya itu dan sudi memaafkan lelaki tersebut.

“Sebaik sahaja bekas isteri setuju untuk berkahwin semula dengan saya, saya segera mencari seseorang yang boleh melakukan ‘cina buta’.

“Mujur seorang rakan, Hilman (bukan nama sebenar) sudi untuk membantu saya mendapatkan semula Maria.

Mungkir janji

“Selepas membuat perjanjian, Hilman berjanji akan menceraikan Maria supaya saya pula boleh berkahwin semula dengan Maria,” ujar Azlan.

Begitu pun, selepas melayari bahtera perkahwinan dengan Maria, Hilman mula jatuh hati terhadap wanita itu dan enggan berpisah.

Maria pula sudah mengandungkan anak Hilman dan mahu terus bersama lelaki itu.

Berang, Azlan mula menuduh Hilman sebagai pengkhianat dan mengugut mahu mencederakan lelaki itu.

“Saya sama sekali tidak menyangka Maria akan jatuh cinta terhadap kawan baik saya sendiri serta menghamilkan anak lelaki itu.

“Lebih malang lagi, perkahwinan tersebut seolah-olah membuktikan bahawa saya yang bermasalah dalam perkahwinan terdahulu kerana kini Maria berjaya hamil.

“Ia menjadikan saya cukup tertekan dan mengalami kemurungan,” tutur Azlan.

Kemurungan menyebabkan Azlan terpaksa mendapatkan rawatan pakar psikiatri.

Azlan juga terus-terusan cuba berkawan dengan ramai wanita lain namun masih juga belum berjumpa sesiapa sebaik Maria.

“Saya cukup bahagia hidup dengan Maria dahulu. Hanya kerana tekanan orang sekeliling, saya telah merosakkan kebahagiaan sendiri.

“Hanya Tuhan sahaja yang tahu betapa menyesalnya saya. Setiap hari saya merindui Maria,” kata Azlan.

Kini, Azlan semakin pulih daripada kemurungan dan mula mendekatkan diri kepada Tuhan.

Setiap hari, dia berdoa agar diberi kekuatan untuk terus melupakan bekas isteri dan memulakan kehidupan baharu.

“Sekiranya saya ditakdirkan tidak lagi bertemu jodoh selepas meruntuhkan perkahwinan sendiri, saya pasrah dan reda.

“Fokus saya kini adalah untuk memajukan diri dalam kerjaya dan menjadi seorang individu yang lebih baik,” ungkap lelaki itu menutup bicara.

Hanya kerana tidak boleh hamil, Azlan menceraikan Maria dan kini amat menyesal selepas wanita itu bahagia bersama teman baiknya sendiri.