Selain mengurangkan kesesakan trafik sehingga 50 peratus pada waktu puncak, laluan itu yang lebih dikenali sebagai Rawang Bypass juga sebenarnya merupakan sebuah projek mesra alam yang cukup dibanggakan.

Mana tidaknya, lebuh raya setinggi 58.2 meter dari aras tanah itu dibina sedemikian merentasi Taman Warisan Selangor yang pastinya memberikan pengalaman menarik saat memandu.

Pemandangan sewaktu berada di atas lebuh raya paling tinggi negara itu cukup memukau apabila pemandu berpeluang berada pada ketinggian yang hampir sama atau lebih tinggi daripada pokok-pokok yang terdapat di situ.

Tidak ramai yang tahu bahawa jalan pintas Rawang itu sebenarnya dibina sedemikian rupa bagi memelihara sejenis pokok endemik iaitu pokok yang hanya ditemukan di satu kawasan sahaja yang dikenali sebagai Giam kanching.

Tertarik untuk melihat apakah keistimewaan dan cerita di sebalik kewujudan pokok tersebut, kru Jurnal baru-baru ini berpeluang berkunjung ke Hutan Simpan Kanching yang menjadi satu-satunya lokasi pokok tersebut boleh hidup dan dijumpai di dunia.

Sinaran terik mentari pada pukul 11 pagi itu tidak mematahkan semangat kru Jurnal bersama jurugambar untuk menjejaki pokok yang dilabel sebagai khazanah alam istimewa itu.

Selepas berjalan kira-kira 200 meter daripada laluan masuk ke hutan tersebut, kami menjumpai sebatang pokok dengan ketinggian kira-kira 10 meter yang sudah dilabel dengan label kuning terang pada bahagian batangnya.

“Inilah pokok Giam kanching atau nama saintifiknya Hopea Subalata,” ujar Pengarah Perhutanan Selangor, Dr. Mohd. Puat Dahalan yang mengetuai lawatan tersebut.

Langkah kaki terhenti dan kami mengamati spesies pokok unik tersebut.

280 batang

Pokok Giam kanching atau turut digelar Merawan kanching merupakan spesies pokok dalam kumpulan dipterocarpaceae iaitu pokok-pokok yang tumbuh dalam iklim Tropika.

Menariknya, nama Hutan Simpan Kanching juga diambil sempena dengan nama pokok Giam Kanching. Pokok itu hanya tumbuh dan boleh dijumpai di Hutan Simpan Kanching yang terletak di Rawang, Selangor.

Jika dilihat, warna batangnya serta struktur daun pokok itu sama sahaja dengan kebanyakan pokok-pokok dalam kumpulannya, namun ia cukup istimewa kerana lokasi ia ditemukan.

“Pokok ini hanya tumbuh di kawasan ini sahaja di dalam dunia. Maksudnya, ia tidak boleh dan tidak pernah dijumpai di mana-mana lokasi lain,” tutur Mohd. Puat sambil memegang batang pokok tersebut.

Kewujudan spesies pokok Giam kanching mula-mula dikenal pasti pada tahun 2007.

Selepas menjalankan pelbagai penyelidikan ke atas spesimennya, Jabatan Hutan Semenanjung Malaysia kemudian mendapati bahawa spesies tersebut hanya tumbuh di negara ini dan boleh didapati di satu lokasi sahaja.

Oleh itu, Tapak Penubuhan Hutan Yang Tinggi Nilai Pemeliharaan (HCVF) kemudiannya diwujudkan di laluan masuk Hutan Simpan Kanching pada tahun sama bagi memelihara spesies pokok tersebut.

Bercerita lanjut, Mohd. Puat menjelaskan antara ciri-ciri pokok Giam kanching ialah ia memiliki daun yang kecil dan berbentuk sedikit tirus.

“Pokok Giam kanching ini memiliki sifat rendang dengan daun sederhana lebat. Pada bahagian hujung dahannya terdapat biji-biji kecil dengan warna sedikit kemerah-merahan.

“Spesies ini secara semulajadi tumbuh berkelompok di dalam Hutan Simpan Kanching dan ia perlu dikawal daripada sebarang bentuk penebangan atau ancaman kemusnahan habitatnya,” ujarnya.

Tambah beliau, Jabatan Perhutanan Selangor yang menjalankan bancian terhadap jenis-jenis dan jumlah pokok di dalam hutan setiap dua tahun mendapati hanya terdapat 280 batang pokok Giam kanching yang ada di petak bancian seluas 11 hektar dan tidak dijumpai di mana-mana kawasan lain berhampiran hutan simpan itu.

“Sehingga kini, hanya terdapat 280 batang pokok Giam kanching yang wujud dan tumbuh subur di Selangor, menjadikan ia sebagai spesies pokok yang diancam kepupusan sekiranya tiada usaha ke arah pemeliharaan spesies unik ini,” kata Mohd. Puat.

Bukan untuk komersial

Ketinggian sebatang pokok Giam kanching boleh mencecah sehingga 12 meter.

“Kesemua pokok Giam Kanching yang sudah dikenal pasti dalam hutan ini dilabel dengan garisan kuning pada batangnya.

“Ukur lilit atau diameter batang pokok ini pula biasanya sekitar 35 sentimeter,” jelasnya.

Sementara itu, menurut Pegawai Perhutanan Daerah Hulu Selangor, Syed Mohd. Adzha Syed Khalid, pokok Giam kanching merupakan pokok bersaiz sederhana dan tidak digunakan bagi tujuan komersial.

“Berdasarkan statistik perhutanan, spesies pokok ini tidak digunakan bagi tujuan perubatan mahupun pembalakan namun ia tetap mempunyai nilai estetika yang tinggi berdasarkan keunikannya yang tersendiri.

“Ciri istimewanya hanyalah habitat ia tumbuh, menjadikan ia sebagai tumbuhan endemik iaitu spesies yang hanya terdapat di satu kawasan sahaja,” jelasnya.

Ciri-ciri Hutan Simpan Kanching yang mempunyai tanah berpasir dan bercerun menjadikan pokok endemik Giam Kanching hanya tumbuh di situ.

“Jika dilihat, struktur tanah Hutan Simpan Kanching ini berpasir, menjadikan ia sebagai habitat yang sesuai untuk spesies pokok ini.

“Ini yang menjadikan ia sangat unik, namun sayangnya ia diancam kepupusan,” tambah Syed Mohd. Adzha.

Jumlah pokok tersebut yang terlalu kecil menjadikan ia dilabel sebagai endangered species.

Justeru, spesies tersebut perlu dipelihara bagi memastikan sumber flora perhutanan dijaga dan dipelihara sebaiknya.

Spesies pokok Giam kanching yang hanya tumbuh di Hutan Lipur Kanching, Rawang, perlu dipelihara kerana ia merupakan khazanah alam yang tidak boleh didapati di mana-mana lokasi di dunia ini.