Ayat bernada gurauan pakar gua, Howard Limbert itu disambut Jarryd Salem dengan senyuman saat mereka menjengah pintu hutan rimba yang tersembunyi jauh di dalam gua Son Doong terletak di Taman Nasional Phong Nha-Ke Bang, wilayah Quang Binh, Vietnam.

Penulis kembara bebas itu meneruskan langkah seraya mendongak ke atas dan melihat sinar matahari yang menyimbah masuk dari bumbung gua.

Kicauan unggas dan suara monyet sahut-sahutan muncul dari sebalik batu kapur menghidupkan suasana.

Mungkin lebih banyak orang berdiri di puncak Gunung Everest berbanding menyaksikan gua yang penuh misteri itu. Ia bagaikan gerbang tersembunyi ke dunia lain.

Gua tersebut ditemui secara tidak sengaja oleh seorang petani tempatan, Ho Khanh ketika mencari tempat berlindung daripada ribut pada tahun 1990. Dia melaporkannya kepada Persatuan Penyelidikan Gua British (BCRA) yang ditempatkan di Phong Nha pada masa tersebut.

Malangnya, bearing penunjuk arah yang dibawanya hilang dalam perjalanan balik menyebabkan lokasi gua itu gagal dijejaki semula.

Pada tahun 2008, ketika asyik memburu jauh di perut hutan, dia terpaku apabila menyedari dirinya sekali lagi telah berada berdekatan muka gua. Setahun berikutnya, dia datang kembali bersama Limbert yang juga merupakan penyelidik di BCRA.

Mereka seterusnya memulakan penerokaan gua itu dan pada tahun 2010, ia akhirnya dinobatkan sebagai gua terbesar di dunia.

Limbert, 60, yang berasal Yorkshire, England telah melakukan 13 ekspedisi penerokaan gua di Vietnam sejak 1990 bersama isterinya. Sebelum ini, mereka turut menemui gua sungai terpanjang di dunia, Khe Ry terletak kira-kira 19 kilometer (km) dari Son Doong.

Limbert telah menghabiskan 30 tahun hidupnya di Wilayah Quang Binh dengan mengkaji gua-gua di Vietnam.

“Sebanyak tiga ekspedisi dilakukan sebelum kami menemui Son Doong. Setelah lima hari mendaki, merangkak dan mengangkut pelbagai peralatan, tidak sampai separuh perjalanan ditempuh,” imbau Limbert kepada portal perlancongan, CNN Travel.

Kesilapan memijak struktur dinding batu licin di gua tersebut boleh membuatkan seseorang terjatuh melebihi 30 meter (m).

Terdapat dinding melekit seperti mentega kacang setinggi 4m di kedua-dua belah dengan kawasan sekitar digenangi lumpur berselut yang membuatkan kaki tersekat.

Mula dibuka

Ahli Geomorfologi dari Universiti Purdue, Indiana, Darryl Granger berkata, rimbunan pokok buluh turut meliputi bahagian dinding luar gua menyebabkan ia sukar ditembusi.

“Son Doong terbentuk dua hingga lima juta tahun lampau ketika air sungai mengalir melintasi batu kapur menjelajah terowong gergasi bawah pergunungan. Proses itu menyebabkan siling batu kapur yang lemah runtuh membentuk lubang robohan seakan-akan jendela langit raksasa,” ujarnya kepada National Georgraphic.

Mempunyai panjang melebihi 5km dengan ketinggian 200m, gua utama Son Doong cukup besar menempatkan seluruh blok bangunan di kota New York.

Pada tahun 2013, ia dibuka kepada orang awam buat kali pertama dengan tender pengurusan diserah kepada syarikat pelancongan dikenali sebagai Oxalis. Ia terhad kepada 10 pelancong dengan lawatan diadakan seminggu sekali antara Februari hingga Ogos setiap tahun.

Sistem eko di dalam gua Son Doong adalah unik kerana ia bagaikan mempunyai sistem cuaca tersendiri. Terdapat mutiara gua batu kapur yang jarang ditemui di kolam kering, selain stalagmit paling besar pernah ditemui setinggi 80m.

Siling-siling runtuh membentuk bukaan yang dikenali sebagai dolin. Ia merupakan rongga berbentuk corong dan bersambung dengan sistem saliran bawah tanah di dalam gua.

Bagi jurugambar profesional antarabangsa, Ryan Deboodt, gua adalah salah satu tempat terakhir yang akan dijelajahi orang ramai di dunia.

Justeru, katanya, jika terdapat pengembaraan di gua yang belum pernah diteroka, ia amat istimewa dan berbaloi untuk disertai.

Hidupan

Deboodt, 34, mengikuti trip ke gua tersebut sebanyak tiga kali dan kali terakhir dia meluangkan masa lapan hari merakamkan foto suasana dalam gua menggunakan GoPro yang dipasang pada dron.

“Nun bawah jendela langit bawah, kami melihat labah-labah, burung, pelbagai jenis serangga dan ular. Di bahagian gua yang kelam terdapat beberapa spesies ikan, kutu kayu berwarna putih yang merupakan ciri fizikal lazim bagi haiwan yang hidup dalam kegelapan.

“Pokoknya sangat tinggi dan kurus. Ia tetap membesar dan berlumba-lumba menjangkau cahaya,” kongsinya kepada The Washington Post.

Perjalanan ke Son Doong bukan untuk mereka yang lemah hati. Ia mengambil masa dua hari mengikuti laluan hutan yang mencabar merentasi sungai termasuk singgah berkhemah di dalam gua Han En yang juga merupakan gua ketiga terbesar di dunia.

Pengunjung perlu melakukan aktiviti mendaki, abseiling, merangkak, berenang dalam sungai bawah tanah untuk tiba ke hujung gua.

Selain memastikan peserta mempunyai stamina yang diperlukan, ekspedisi itu lazimnya turut diiringi dua pakar gua, tiga pemandu tempatan, dua renjer hutan dan 20 porter. Ia sebagai langkah keselamatan dan menghadapi situasi luar jangka.

Selain menawarkan pengalaman hebat buat pengunjung, ia turut menyumbang kepada peningkatan taraf hidup penduduk dalam sektor pelancongan.

Wilayah Quang Binh sebelum ini merupakan kawasan termiskin di Vietnam dan paling teruk terjejas dihujani bom sewaktu Perang Vietnam pada 1957 hingga 1975.

Peluang ekonomi

Bahan letupan yang tidak meletus dikhuatiri masih tertanam di kebun dan hutan sekitar.

Ramai penduduk tempatan membongkar dan mengumpul bom, dinamit dan logam letupan itu untuk dijual. Biarpun berbahaya dan berisiko menyebabkan kecederaan dan kehilangan nyawa, amalan tersebut terpaksa dilakukan untuk menambah pendapatan.

Justeru, penduduk kampung tidak melepaskan peluang menjalankan perniagaan inap desa, khidmat sewa basikal, berkayak, ekopemuliharaan gunung untuk bersiar-siar yang menyaksikan perkembangan ekonomi setempat beberapa tahun kebelakangan ini.

Begitupun, ancaman baharu muncul dalam tahun-tahun kebelakangan ini yang dikhuatiri menjejaskan keindahan alam sekitar kawasan tersebut.

Misalnya, cadangan kontroversi membina laluan kereta kabel sepanjang 10km melalui Son Doong oleh syarikat tempatan, Vietnam Sun Group yang mendapat bantahan keras aktivis alam sekitar.

Setelah rancangan itu senyap selama dua tahun sejak dibangkitkan pada 2014, kini muncul pula pelabur baharu dikenali sebagai FLC Group yang mendapat kelulusan kerajaan wilayah untuk mengendalikan soal selidik mengenai berhubung cadangan kereta kabel ke Son Doong dan Gua Hang En.

Bagaimanapun, ada yang berpendapat kemajuan industri pelancongan itu akan memberi manfaat kepada masyarakat setempat, namun ramai bimbang ia akan memusnahkan ekosistem dan berlaku kesesakan lalu lintas.