Setiap undi adalah amat penting bagi sesuatu parti dan mereka akan berusaha sehabis baik untuk mendapatkan kepercayaan pengundi.

Namun dalam bahang untuk menghadapi pilihan raya, tular di laman media sosial tentang kempen undi rosak yang dilakukan oleh pihak tertentu dengan tujuan merosakkan proses demokrasi di negara ini.

Generasi muda yang sentiasa aktif dengan media sosial menjadi sasaran utama kempen tersebut.

Seorang anak muda yang mahu dikenali sebagai Faisal, 24, yang akan mengundi buat kali pertama pada pilihan raya kali ini menyatakan tidak mustahil generasi muda akan memberi undi rosak.

Baginya, parti-parti politik di negara ini sama sahaja dan dia sendiri tidak tahu untuk memberi undi kepada siapa.

“Saya berpendapat, parti-parti politik ini akan menabur janji-janji manis menjelang pilihan raya. Namun apabila berkuasa kelak janji itu belum pasti akan ditunaikan.

“Inilah realiti yang berlaku pada masa kini. Bahkan calon yang bertanding pada pilihan raya lalu di kawasan saya hanya boleh dilihat pada masa berkempen,” katanya.

Tambahnya, faktor kurang percaya kepada mana-mana parti politik mungkin akan menjadi penyebab untuk seseorang itu memberi undi rosak.

Faktor dalaman

Sementara itu, Pengarah Pusat Kajian Politik Malaysia, Universiti Utara Malaysia, Dr. Kamarul Zaman Yusof berkata, kebanyakan golongan yang bersikap tidak berpuas hati kepada kedua-dua parti politik sama ada kerajaan atau pembangkang cenderung untuk memberi undi rosak.

Jelasnya, perkara ini terjadi mungkin kerana pengundi merasakan kedua-dua parti politik ini tidak mampu untuk membawa perubahan seperti mana yang mereka kehendaki.

“Selain itu, jika faktor dalaman parti itu sendiri yang kadangkala timbul perbalahan antara ahli parti sendiri yang tidak dapat diselesaikan juga akan mempengaruhi pemberian sesuatu undi.

“Perkara lain yang saya lihat dalam pemberian undi rosak ini adalah faktor kebencian. Mungkin ada pengundi yang membenci kedua-dua pemimpin sesuatu parti dan itu akan mempengaruhi mereka,” katanya.

Tambahnya, lagi suasana politik yang berlebihan terutamanya dalam medium media sosial ia akan memberi rasa muak dan kebencian kepada pengundi.

Pemikiran generasi muda ini lebih terdedah dengan maklumat-maklumat di media sosial dan kadangkala mereka akan jemu jika terlalu banyak hal-hal politik diperkatakan di media sosial.

Dalam pada itu, Kamarul Zaman berkata, undi rosak ini adalah satu kerugian kepada sesuatu parti politik.

Oleh itu, untuk mendapat kepercayaan dan menarik undi, usaha mendekati golongan ini perlu dilakukan untuk memastikan sokongan mereka berterusan.

“Untuk menarik undi golongan muda terutamanya, sesuatu parti harus sentiasa dekat dengan mereka dan cuba menyelami akan kehendak mereka,” tegasnya.

Tidak mendaftar

Dalam berbicara tentang undi daripada generasi muda realiti yang berlaku kini ramai di antara mereka yang masih belum mendaftar sebagai pengundi.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mendedahkan seramai 3.6 juta rakyat Malaysia berusia 21 tahun ke atas masih belum mendaftar sebagai pemilih setakat September tahun lalu.

Dalam pada itu, Penganalisis Politik, Datuk Mohd. Nizar Sudin berkata, kurangnya semangat patriotik dalam diri generasi muda terutamanya orang Melayu menyebabkan ramai tidak mendaftar sebagai pengundi.

Jelasnya, kuasa politik amat penting dalam pentadbiran negara.

“Kesan negatif akan dirasai jika masih ramai tidak mendaftar dan keluar mengundi.

“Mengundi bukan sekadar berkaitan politik tetapi skop lebih utama lagi apa akan terjadi pada nasib bangsa, agama dan masa depan mereka jika tidak memilih pemimpin yang tepat,” katanya.

Tingkah laku pengundi sangat kompleks de­ngan terdapat beberapa pendekatan utama untuk memahami sikap berkenaan.

Antara salah satu pendekatan itu ialah model identifikasi parti.

“Model identifikasi parti ialah pendekatan yang menunjukkan kesetiaan pengundi terhadap parti politik dan tempoh pengundi bersama dengan sesebuah parti politik.

“Model ini turut menjelaskan beberapa aspek yang mempengaruhi tingkah laku pengundi antaranya ideologi parti, ketokohan pemimpin parti, personaliti calon serta manifesto parti semasa proses pilihan raya,” jelas Mohd. Nizar.