Susulan daripada kejadian gempa bumi yang berukuran 6.4 skala Richter pada 29 Julai lalu itu, ratusan gegaran lain turut dilaporkan berlaku malah ada antaranya mencecah sehingga kekuatan 7 skala Richter pada 5 Ogos lalu.

Lebih menyedihkan apabila bencana alam tersebut bukan sahaja meranapkan sejumlah kawasan perkampungan di sekitar lereng Gunung Rinjani di Kabupaten Lombok Utara malah turut mengorbankan kira-kira 300 penduduk di kawasan berkenaan.

Penderitaan penduduk Lombok tidak berakhir begitu sahaja. Selepas kejadian itu, mereka masih berdepan gegaran susulan sehingga merobohkan puluhan ribu rumah dan bangunan lain.

Musibah gempa bumi yang menggoncang bumi Lombok yang lebih dikenali sebagai Pulau Seribu Masjid tersebut turut merencatkan serta merugikan sektor ekonomi masyarakat setempat.

Sektor pelancongan di Lombok serta di tiga pulau kecil utama iaitu Gili Trawangan, Gili Meno dan Gili Air juga tidak terkecuali daripada berdepan pelbagai kemusnahan ekoran kejadian alam tersebut.

Gugusan tiga gili atau pulau tersebut yang menjadi antara lokasi pelancongan popular di Lombok ketika kejadian lumpuh sepenuhnya malah ribuan pelancong sama ada tempatan mahupun antarabangsa terpaksa dipindahkan ke kawasan lebih selamat.

Bagaimanapun, Bupati Lombok Utara, H. Najmul Akhyar sewaktu meninjau kawasan terjejas gempa bumi berkata, kerosakan di tiga gili terbabit disifatkan tidak terlalu kritikal jika dibandingkan lima kecamatan lain di pulau berkenaan.

“Keadaan di ketiga-tiga gili itu dianggarkan hanya mengalami kerosakan kira-kira 10 peratus kerana sebahagian daripada bangunan di kawasan itu masih elok dan boleh digunakan seperti biasa.

Membaik pulih

“Namun usaha untuk membangunkan kembali sektor pelancongan di Lombok tidaklah mudah. Kami akan bekerja keras untuk memastikan produk pelancongan gili kembali aktif,” jelasnya.

Najmul Akhyar memberitahu, ketiga-tiga gili itu mampu dibangunkan kembali dengan cepat berikutan tidak banyak bangunan yang rosak dan hanya memerlukan sedikit usaha pembaikan.

“Apa yang penting, kami sebagai pihak pemerintah perlu menyampaikan informasi kepada masyarakat Indonesia dan antarabangsa bahawa keadaan di gili sudah kembali pulih sekali gus boleh dikunjungi semula.

“Dakwaan sesetengah pihak yang mengatakan kawasan pesisir pantai di gili ditenggelami air laut juga tidak benar dan kami berasa kesal dengan tuduhan palsu itu,” luahnya.

Meskipun musibah gempa bumi yang melanda Lombok telah membingkaikan perasaan sedih dalam kalangan penduduk, namun mereka dinasihatkan untuk tidak terus sedih sebaliknya perlu bangkit semula bagi meneruskan sisa kehidupan.

Najmul Akhyar berkata, masyarakat setempat kini telah sedar dan kembali bagi mengusahakan kegiatan ekonomi mereka seperti memulakan perniagaan yang ditutup ekoran kejadian malang itu.

Sektor ekonomi

“Saya berjanji kepada rakyat bahawa produk pelancongan di tiga gili akan dipulihkan segera supaya ia dapat kembali beroperasi seperti biasa. Kawasan pelancongan itu merupakan antara lokasi terpenting dalam sektor ekonomi di Lombok Utara.

“Dalam konteks ini, Kementerian Pelancongan Indonesia perlu sentiasa melakukan pemantauan terhadap ketiga-tiga gili bagi memastikan segala usaha pemulihan dilaksanakan sebaiknya,” ujar beliau.

Usaha membangunkan kembali Gili Trawangan, Gili Meno dan Gili Air mencerminkan kepada masyarakat bahawa produk pelancongan itu telah kembali pulih dan sedia dikunjungi.

Dalam pada itu, menurut seorang pelancong yang berasal dari Itali, Matthew, produk pelancongan di Gili Trawangan mempunyai potensi besar untuk maju dan perlu dibangunkan sebaiknya.

“Saya kerap ke Lombok dan sering menganggap pulau tersebut sebagai rumah kedua. Lebih menarik, saya juga turut membantu pemerintah setempat bagi membangunkan kembali produk pelancongan di Tioq Tata Tunak,” katanya.

Kementerian Pelancongan Indonesia juga memberi keyakinan untuk berterusan memastikan produk pelancongan di Lombok dan Bali terus dipelihara meskipun kawasan berkenaan terjejas teruk ekoran gempa berukuran 7 skala Richter baru-baru ini.

Ketua Bahagian Pengurusan Krisis Pelancongan Kementerian Pelancongan Indonesia, Dessy Ruhati menjelaskan, pihaknya akan bekerjasama dengan pemerintah setempat dan jabatan pengurusan bencana bagi mengenal pasti tiada pelancong yang tercedera ketika gempa berlaku.

“Lapangan Terbang Antarabangsa Lombok dan Lapangan Terbang Antarabangsa Ngurah Rai Bali juga kembali beroperasi seperti biasa meskipun gempa bumi turut dilaporkan berlaku di situ,” ujarnya.

Musibah gempa bumi yang melanda Lombok dan beberapa kawasan lain Nusa Tenggara Barat merupakan satu kisah sedih buat rakyat Indonesia berikutan mereka kehilangan ramai insan tersayang.

Bagaimanapun, masyarakat Lombok tidak seharusnya hanyut dalam kesedihan. Sebaliknya, mereka perlu bangkit dan membangunkan kembali sektor pelancongan yang disifatkan sebagai antara nadi utama masyarakat di daerah itu.

Penduduk perlu bangkit meneruskan sisa kehidupan selepas gempa bumi beberapa kali melanda bumi Lombok dalam tempoh dua bulan