TUBUHNYA kecil molek, berkaca mata dan berbaju kurung warna merah jambu. Dari jauh, beliau kelihatan tangkas mengatur langkah untuk menyapa penulis yang menunggu di hadapan Pusat Fizik dan Bahan Novel, Fakulti Sains dan Teknologi, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi, Selangor.

Ternyata, tujuh tahun merantau di negeri orang untuk menuntut ilmu tidak sedikit pun merencatkan darah Melayu yang mengalir dalam tubuhnya.

Dr. Nur Adlyka Ainul Annuar, 28, menggemparkan dunia dengan penemuan lohong hitam (black hole) supermasif yang tersembunyi di lingkaran kosmik semesta awal tahun lalu.

Kini, beliau menjawat jawatan sebagai Pensyarah Kanan Program Fizik, Fakulti Sains dan Teknologi UKM untuk menyumbang kepakarannya dalam bidang astronomi.

“Sebenarnya, minat saya untuk mendalami bidang astronomi tercetus setelah menonton filem Armageddon dan Apollo 13 ketika berumur 13 tahun.

“Saya begitu kagum melihat bagaimana Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA) yang berjuang habis-habisan untuk menyelamatkan bumi daripada dihancurkan oleh asteroid.

“Ia mendorong saya untuk mendalami bidang astronomi dan meraih kejayaan seperti hari ini,” kata anak kelahiran Muar, Johor itu.

Nur Adlyka Ainul merupakan antara sekumpulan ahli astronomi dunia yang berjaya membuktikan kewujudan lohong hitam supermasif atau raksasa dalam galaksi NGC 1448 menerusi kajian penyelidikan di peringkat ijazah doktor falsafah (PhD) di Universiti Durham, Britain.

Kajian itu memberi tumpuan khusus untuk mencari lohong hitam supermasif aktif yang tersembunyi daripada pandangan manusia kerana dilindungi gas dan habuk yang tebal.

Menurut Nur Adlyka Ainul, kecenderungannya dalam bidang astronomi terserlah sejak kecil.

“Saya banyak menghabiskan waktu di rumah dengan menonton filem-filem yang berkaitan astronomi selain gemar membaca ensiklopedia berkaitan alam semesta.

“Saya juga gemar subjek Sains kerana dapat mempelajari dengan lebih mendalam alam semesta. Justeru, di tingkatan empat saya mengambil aliran Sains untuk mencapai cita-cita menjadi seorang ahli astronomi berjaya,” ujar anak kepada pasangan pesara guru Bahasa Inggeris itu.

Menurut Nur Adlyka Ainul, sokongan keluarga terhadap kecenderungan itu menguatkan lagi semangatnya untuk berjaya.

“Ibu bapa saya amat menekankan pendidikan, namun tidak sesekali memaksa saya belajar sepanjang masa. Mereka sentiasa memberi sokongan penuh untuk saya berjaya dalam hidup.

Masa

“Saya diajar supaya bijak membahagikan masa tanpa mengabaikan akademik. Bagaimanapun, saya tidak sesekali memaksa diri untuk belajar dan menyesuaikan diri mengikut keadaan,” kata anak kedua daripada empat beradik itu.

Pada waktu lapang, beliau gemar menonton filem genre aksi seperti Jumanji kerana ia tidak membosankan. Beliau juga banyak meluangkan masa bersama keluarga pada hujung minggu.

Bagi Nur Adlyka Ainul, berkat sokongan keluarga, beliau berjaya memperoleh Ijazah Sarjana Muda Kelas Pertama dalam bidang Fizik dan Astrofizik di Universiti Sheffield, Britain bagi membolehkannya menyambung pengajian di peringkat doktor falsafah.

“Pada mulanya, ibu bapa saya meragui bidang yang ingin saya ceburi, namun mereka tidak pernah menghalang dan sentiasa memberi sokongan penuh,” katanya yang mendapat tajaan Majlis Amanah Rakyat (Mara).

Mengulas lanjut cabaran yang dihadapi sepanjang menjalankan penyelidikan itu, Nur Adlyka Ainul berkata, kelebihan yang dimiliki orang sekeliling menyebabkan dia kurang yakin pada diri sendiri.

“Bagaimanapun, penyelia saya sentiasa memberi sokongan dan mendorong saya berusaha sebaik mungkin bagi membuktikan kemampuan diri.

Galaksi

“Saya sahut cabaran itu dan sentiasa berpegang pada prinsip berusaha bersungguh-sungguh untuk mencapai segala yang diingini. Akhirnya, saya berjaya membuktikan bahawa kekurangan diri bukan halangan untuk saya mencapai kejayaan,” ujarnya.

Malah, suaminya, Amirul Adli Abd. Aziz, 27, yang menyambung pengajian dalam bidang biologi di institusi yang sama turut menjadi pembakar semangat untuk meraih kejayaan.

Mengulas mengenai sumbangan penyelidikan itu, Nur Adlyka Ainul berkata, penemuan lohong hitam itu memberi gambaran sebenar kedudukannya dengan galaksi kita selain membina populasi lohong hitam secara lengkap.

“Lohong hitam yang tersembunyi dijumpai berdekatan dengan galaksi dan berada di tengah-tengah galaksi NGC 1448 dalam jarak 38 juta tahun cahaya daripada galaksi kita. Jarak ini sebenarnya amat dekat dengan kita,” katanya.

Nur Adlyka Ainul berkata, dia menggunakan NuSTAR (Nuclear Spectroscopic Telescope Array) untuk mencari lohong-lohong hitam berkenaan kerana teleskop dapat mengesan sinaran-X yang menembusi gas dan habuk yang tebal.

“Lohong-lohong ini penting untuk membantu kita memahami bagaimana ia mengembang dan memberi kesan terhadap galaksi yang diduduki,” ujar bekas penuntut di bawah penyeliaan Profesor Astronomi, Prof. David Alexander itu.

Nur Adlyka Ainul juga optimis satu lagi lohong hitam supermasif akan ditemui berdasarkan kajian lanjutan yang sedang dijalankan.

“Berdasarkan data galaksi yang akan dicerap, saya agak positif ia akan menemui satu lagi lohong hitam sama besar seperti sebelum ini. Bagaimanapun, kami sedang mendapatkan data daripada beberapa galaksi,” jelasnya.

Kejayaan itu telah melayakkannya menerima Anugerah Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan 2017 yang disampaikan oleh Yang di-Pertuan Agong ke-15, Sultan Muhammad V.

Kepakaran

Malah, sumbangan dalam bidang astronomi telah menarik perhatian UKM yang menawarkannya untuk berkhidmat sebagai Pensyarah Kanan di Pusat Fizik dan Bahan Novel, Fakulti Sains dan Teknologi Oktober pada tahun lalu.

Menurut Nur Adlyka Ainul, tawaran itu sangat berharga kerana beliau telah lama memasang niat untuk menjadi pensyarah.

“Saya mahu menyumbang kepakaran yang dimiliki dalam bidang pendidikan, sekali gus melahirkan lebih ramai pelajar dalam bidang ini seterusnya membuka prospek pekerjaan yang lebih banyak.

“Ia sedikit sebanyak memberi peluang kepada mereka yang berminat untuk menyambung pengajian dalam bidang astronomi di negara ini tanpa perlu ke luar negara,” jelasnya.

Dalam pada itu, Nur Adlyka Ainul berkata, beliau tidak mempunyai perancangan lain dalam tempoh beberapa tahun akan datang melainkan terus meneroka bidang astronomi seterusnya menyumbang terhadap kedua-dua bidang tersebut.