Bahkan sejak Disember lalu, kebanyakan tiket konsert mega yang dicanang berlangsung sudah dijual secara atas talian dan menerima sambutan menggalakkan daripada peminat.

Antara persembahan yang pastinya menjadi perhatian utama adalah agenda besar penyanyi nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza Taruddin menerusi konsert jelajah istimewa yang diberi nama Datuk Seri Siti Nurhaliza On Tour bermula Februari hingga April depan.

Bakal menjelajah ke empat buah negara iaitu Indonesia di Istora Senayan pada 21 Februari, Singapura (Singapore Expo, 2 Mac), Malaysia (Axiata Arena, 16 Mac) dan kemudiannya terbang ke pentas penuh berprestij, Royal Albert Hall London, jelajah kali ini membuktikan kekuatan pengaruh Siti bukan sahaja di rantau Asia Tenggara, malah di Eropah.

Shirazdeen Karim yang mewakili Shiraz Projects, selaku penganjur utama bagi konsert berkenaan berkata, pihaknya sudah menanam impian selama 11 tahun untuk bekerjasama dengan Siti, namun rencana berkenaan hanya berlaku pada tahun ini.

Keyakinan penuh

“Sudah beberapa kali kami cuba mendekati Siti bagi menganjurkan konsert, namun tidak berjaya. Hanya pada bulan Mei tahun lalu, apabila Shiraz Projects mencadangkan untuk mengadakan sebuah konsert jelajah bagi tiga negara, barulah Siti menunjukkan minat.

“Berhubung idea kembali ke Royal Albert Hall, perkara itu timbul pada mesyuarat kali pertama apabila saya memikirkan sudah tiba masa untuk Siti kembali ke sana. Siapa sangka, kami cukup bertuah untuk mendapatkan slot kosong terakhir di sana pada 22 April depan,” kata Shirazdeen kepada K2.

Biarpun pernah beberapa kali gagal mendapatkan Siti sejak bertahun-tahun lalu, Shirazdeen mengakui tidak pernah putus asa kerana yakin setiap perkara pasti ada waktu yang tepat.

Atas alasan sebegitu, Shiraz Projects tidak akan mensia-siakan peluang yang terbuka apabila sanggup melabur RM10 juta bagi persiapan konsert. Pada masa sama, pihaknya akan merakam perjalanan penerbitan konsert berkenaan dari mula sehingga ke akhir untuk dijadikan sebuah filem khas bertajuk They Call Me Siti.

“Saya tidak ralat dengan jumlah pelaburan wang kerana yakin Siti pasti memberikan yang terbaik. Setakat ini, lebih 50 peratus tiket telah terjual. Itu satu permulaan yang bagus.

“Berhubung rakaman di sebalik tabir konsert pula, saya memilih melakukannya kerana saya mahu peminat melihat sisi berbeza figura bernama Siti Nurhaliza. Lagi pun Datuk Seri Siti Nurhaliza On Tour bukanlah konsert yang selalu berlaku. Jadi, saya mahu acara itu diabadikan dengan cara yang betul,” terangnya secara terperinci.

Selain konsert Siti, tiga lagi penyanyi wanita yang tidak kurang hebatnya bakal bergabung buat kali pertama di atas pentas gemilang Istana Budaya pada pertengahan April akan datang.

Bakal mengadakan konsert yang diberi nama Soul Sisters, pasti ramai peminat teruja menantikan paduan suara tiga pemilik vokal yang mantap iaitu Siti Sarah, Misha Omar dan Noryn Aziz.

Istana Budaya masih pilihan

Idea menggabungkan mereka bertiga ini diilhamkan oleh Pengarah Urusan Edd Razhe Entertainment, Edd Razhe selaku penganjur dan penerbit konsert Soul Sisters berdasarkan keunikan vokal milik tiga penyanyi itu.

“Konsert ini akan menyajikan kelainan daripada ketiga-tiga artis tersebut. Selain itu, ini merupakan kali pertama lagu bergenre soul dan R&B dipersembahkan di Istana Budaya.

“Memang ada ramai artis yang boleh menyanyikan lagu berirama soul dengan baik, namun konsert ini dianjurkan bukan berlandaskan genre muzik semata-mata. Mereka juga belum pernah diberi peluang mengadakan persembahan berskala mega. Itu meyakinkan saya bahawa mereka mampu beraksi hebat,” katanya.

Tambah Edd, terdapat sebuah single khas bakal diperdengarkan secara eksklusif buat penonton menjelang konsert yang dijadualkan berlangsung pada 5 dan 6 April itu bertajuk Bersatu Suara.

Konsert tersebut turut menampilkan Datuk Syafinaz Selamat sebagai pengarah vokal, manakala Datuk Nasser Abu Kasim selaku pengarah muzik.

Bercerita lanjut tentang penganjuran konsert di Istana Budaya, Ketua Pengarahnya Datuk Juhari Shaarani berkata, sejak dahulu lagi, pentas idaman ramai penggiat seni tanah air tersebut sentiasa menjadi titik tertinggi dalam pencapaian kerjaya seni artis tersohor Malaysia.

Istana Budaya yang menyambut ulang tahun ke-20 penubuhan pada 2019 nyata masih relevan meskipun zaman berganti dan dihimpit arus pemodenan.

“Sehingga kini, pentas Istana Budaya masih menjadi puncak tertinggi bagi karier seseorang artis. Pengaruh dan impak mengadakan persembahan di sini sama tarafnya dengan di luar negara. Apatah lagi, Istana Budaya ada dalam carta 10 panggung terbaik dunia.

“Sempena ulang tahun ke-20 Istana Budaya, pihak kami menjanjikan persembahan yang luar biasa bagi 2019 seperti teater Ola Bola, konsert Ratu Rock negara Ella Aminuddin, pementasan istimewa The Phantom Of The Opera dan teater Tun Fatimah lakonan Remy Ishak bersama Maya Karin,” tuturnya.

Pada masa sama, Juhari meletakkan sasaran agar 2019 menjadi tahun untuk Istana Budaya kembali memeriahkan industri seni, selain meluaskan pengaruh dalam kalangan penganjur agenda seni rantau Nusantara termasuk Singapura dan Indonesia.

Kalendar seni tahun 2019 pastinya mengujakan peminat industri tanah air dengan rangkaian konsert dan persembahan hebat yang ditawarkan barisan artis terkemuka.