Terasa bagai semalam baru berlalu. Geaam yang berasal dari Lebanon pada awalnya memulakan karier sebagai pencuci pinggan.

Geaam tidak ralat hidup sebagai gelandangan dengan bermalam di salah sebuah taman di Paris suatu ketika dahulu.

Berkat kesabarannya itu, Geamm kini menerima anugerah bintang Michelin pertama dari Larousse Gastronomique untuk restoran baharunya yang dibangunkan di Arc de Triomphe.

“Saya tidak pernah menyangka Michelin berminat terhadap individu seperti saya yang selama ini belajar ilmu masakan sendiri, tidur di jalanan sewaktu berumur 19 tahun dan bermula sebagai pembasuh pinggan.

“Saya ingatkan anugerah ini hanya untuk cef di hotel-hotel besar atau yang dilatih oleh cef pakar.

“Ia memang nyata mengejutkan saya,” katanya yang dibesarkan di Liberia.

Biarpun dibesarkan dalam zon perang, Geaam menanam rasa cinta terhadap makanan sejak kecil menerusi rancangan masakan yang ditontonnya di televisyen.

Geaam mula memasak semasa dia berkhidmat untuk khidmat nasional di Lebanon.

Karier

Ketika itu, kolonel dalam rejimennya begitu kagum dengan masakan Geaam sehingga akhirnya dia dijadikan cef personal kolonel tersebut.

Berbekalkan pengalaman tersebut, Geaam membawa diri sehingga ke Perancis demi mengembangkan kariernya di bumi asing.

Ironinya, sebagai pendatang asing, Geaam terpaksa bekerja sebagai petugas binaan pada siang hari dan menghantar piza serta mencuci pinggan pada belah malam.

Namun, berlaku satu insiden yang sedikit sebanyak membuka peluang buat Geaam.

“Pada satu malam, tukang masak di tempat kerja saya itu terpotong tangannya sendiri dan dikejarkan ke hospital.

“Tanpa arahan daripada sesiapa, saya terus mengambil alih tugas tukang masak.

“Ketika itu saya menyajikan kira-kira 14 meja dan akhirnya pelanggan semua berpuas hati dengan sajian yang disediakan sehingga pemilik restoran itu turut kagum,” kongsinya.

Penulis buku Hungry for Paris, Alexander Lobrano mengagumi kebolehan yang dimiliki Geaam dan menyifatkan cef dari Lebanon itu memiliki masa depan yang cerah.

“Beliau seorang yang lemah lembut dan pintar. Tidak ramai cef gastronomi sepertinya di Paris.

“Selain mahir menghidangkan sajian Perancis, Geaam juga pandai mengolah mengikut gaya masakan peribadinya yang unik,” jelasnya.

Pengaruh Lebanon

Kebanyakan sajian yang dihidangkan Geaam mendapat pengaruh dari Lebanon.

Antara sajian kegemaran Geaam ketika ini ialah eskalop foie gras. Ia merupakan potongan lemak hati yang disirami sirap buah delima berwarna gelap yang dipanggil molases.

Sejak Geaam memperoleh bintang Michelin minggu lalu, telefon di restorannya tidak berhenti berdering.

Menariknya, restoran milik Geaam telah penuh ditempah sehingga tiga minggu dalam masa sejam. – AFP

Geaam mula menceburkan diri ke dunia kulinari Perancis sejak 1998.