Ketika kenderaan sedang bergerak pada kelajuan kira-kira 90 kilometer sejam (km/j), secara tiba-tiba sebuah kereta jenis Perodua Kelisa keluar dari sebuah simpang secara mengejut menyebabkan wanita berusia 27 tahun itu tidak sempat menekal pedal brek.

Kejadian itu telah menyebabkan berlaku pelanggaran antara kedua-dua buah kenderaan tersebut.

Bagaimanapun, pemandu Perodua Kelisa yang dipandu oleh seorang pemuda itu langsung tidak memberhentikan kenderaannya.

Ia membuatkan Dg. Rafidah bertindak mengejar kereta tersebut sehingga berhenti di tepi jalan raya.

Sepanjang kejadian berkenaan, pemuda terbabit sempat menunjukkan isyarat lucah kepada Dg. Rafidah menyebabkan dia naik berang.

“Apabila kenderaan telah berhenti, pemuda itu terus keluar dari keretanya dan meninggikan suara menuduh saya cuai.

“Walhal, ketika kejadian, pemuda itu keluar dari simpang dengan laju,” ujar Dg. Rafidah yang pernah mengalami keadaan ini sebanyak dua kali.

Ujarnya, keadaan tegang itu turut membuatkan pemandu kenderaan lain yang melintasi kawasan tersebut memperlahankan kenderaan masing-masing untuk menyaksikan kejadian itu.

“Paling saya tidak akan lupa apabila pemuda itu sempat mengugut untuk merosakkan kenderaan saya menggunakan pemukul yang terdapat dalam kenderaannya.

“Dia juga kelihatan tidak berpuas hati dan seolah-olah mahu meletakkan kesalahan tersebut di bahu saya.

“Melihat kepada kemarahan pemuda itu yang semakin melampaui batas, saya bertindak menghubungi pihak polis untuk segera datang ke lokasi kejadian,” katanya.

Trauma

Menurutnya, pihak polis telah meleraikan pergaduhan itu dan keterangan pemuda itu turut diambil bagi menjamin keselamatannya pada masa hadapan.

Bicara lanjut, Dg. Rafidah turut menceritakan bagaimana perasaan cemas dan takut menyelubungi dirinya sewaktu kejadian kerana dia berseorangan tanpa ditemani sesiapa menyebabkan dia trauma sehingga sekarang.

“Walaupun kejadian itu berlaku pada bulan September tahun lepas, memori itu masih segar terpahat dalam ingatan menyebabkan saya trauma dan memerlukan seorang peneman ketika memandu kerana takut kejadian sebegitu berulang.

“Sebagai mangsa dalam kejadian buli jalan raya seperti ini, saya berpendapat bahawa pengguna jalan raya tidak wajar bertindak di luar batasan dengan membuli orang lain atas kesalahan diri sendiri dan haruslah bersama-sama membuang ego dengan menyelesaikan masalah dengan jalan terbaik.

“Saya juga berharap agar pembuli jalanan ini mendapat iktibar dengan kes-kes yang pernah terjadi sebelum ini yang mana ada di antara mereka dipenjarakan kerana bertindak agresif,” ujarnya.

Pastinya, kes melibatkan pembuli jalanan ini merupakan antara kes yang kerap berlaku di negara ini.

Terbaharu, insiden kemalangan jalan raya di Kilometer 293.5, Lebuh Raya Utara-Selatan pada 10 Ogos lalu menyebabkan seorang pemandu meninggal dunia selepas terlibat dalam perselisihan faham dengan seorang pemandu lain.

Muka depan Kosmo! pada 13 Ogos lalu melaporkan, kejadian itu berlaku apabila mangsa berusia 29 tahun itu dikatakan bergelut dengan suspek lelaki berusia awal 40-an.

Ia dikatakan berpunca apabila kereta mangsa dipercayai melanggar belakang kereta suspek menyebabkan dia dikejar dan berlaku cabar-mencabar sehingga kenderaan mereka berhenti selepas persimpangan Southville City, Bangi, Selangor.

Akibat pergelutan, mangsa dikejarkan ke hospital dan disahkan meninggal dunia.

Sementara itu, seorang mangsa buli jalan raya, Mohd. Haziq Qayyum Pg. Putra, 24, berkata, dia tidak pernah lupa tentang kejadian yang berlaku pada awal Januari tahun ini.

Ketika itu, dia sedang memandu kereta untuk menghantar ibunya ke Pasar Selayang di Selangor.

Sebaik tiba di kawasan tersebut, sebuah kenderaan Perodua Myvi berwarna merah dipandu seorang pemuda telah melanggar bahagian depan kereta yang dipandunya.

Ujar Mohd. Haziq, pemandu tersebut tidak mengaku kesilapan sendiri, malah menuding kesalahan kepadanya kerana bersikap cuai meletakkan kenderaan di sisi jalan.

“Ketika kejadian, saya dan ibu masih berada dalam kenderaan dan sewaktu hendak keluar dari kereta, saya terkejut terdengar bunyi hentakan yang kuat.

“Saya terus menuju ke kereta tersebut dan pemuda itu hampir memecut untuk melarikan diri tetapi saya tahan kereta dia dan akhirnya dia keluar dengan memarahi saya dengan kata-kata kesat,” katanya.

Tanpa melengahkan masa, Mohd. Haziq terus mengajak pemuda tersebut ke balai polis untuk menyelesaikan masalah tersebut, namun ditolak apabila pemuda itu sebenarnya tidak mempunyai lesen memandu yang sah.

“Walaupun saya turut berasa geram dilemparkan kata-kata sebegitu, saya tetap menahan perasaan marah memandangkan ibu melihat perilaku kami dari jauh,” ujarnya yang bersyukur apabila kejadian itu tidak berakhir dengan perkara tidak diingini.

Pergaduhan dan bertikam lidah di antara pengguna jalan raya yang semakin meningkat sejak akhir-akhir ini mungkin disebabkan oleh beberapa faktor yang menjadikan mereka berubah.

Punca

Naib Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Prof. Datuk Mohammad Shatar Sabran yang diminta mengulas mengenai kejadian pembuli jalan raya seperti itu berkata, salah satu punca adalah apabila pelakunya bersifat ego yang tinggi dan hanya pentingkan diri sendiri.

Tambahnya, karakter seseorang itu akan berubah di atas jalan raya apabila berada dalam kenderaan mewah yang turut menandakan tanda kuasa mereka sekali gus menjadi mereka bertindak lebih agresif dan di luar kawalan.

“Ironinya masyarakat Malaysia, apabila masuk sahaja kenderaan karakter mereka akan berubah yang mana status dan jenis kenderaan mempengaruhi fikiran, menyebabkan mereka rasa diri berkuasa sehingga mampu mengambil kesempatan membuli pengguna jalan raya lain.

“Seperti contoh, pemandu kenderaan besar akan membuli dan menggunakan kekerasan terhadap pemandu kenderaan kecil walaupun terdapat segelintir mereka yang bersalah,” katanya ketika dihubungi K2 baru-baru ini.

Mohammad Shatar yang juga pakar sosial menambah, bagi membendung gejala buli di atas jalan raya, masyarakat perlu kembali kepada asas budaya Malaysia agar tidak berlakunya perpecahan mahupun pergaduhan melibatkan dua pihak atau sebagainya.

“Pengguna jalan raya perlu mempunyai sifat toleransi, kerjasama dan saling hormat-menghormati ketika berada di atas jalan raya. Jika berlakunya kemalangan sekali pun, usah terlalu ikutkan nafsu kemarahan kerana itu hanya akan menyebabkan sesebuah masyarakat itu hancur,” jelasnya.

Karakter seseorang dikatakan berubah ketika berada di atas jalan raya terutama apabila memandu kenderaan mewah yang menandakan tanda kuasa sekali gus menjadikan mereka bertindak lebih agresif dan 
di luar kawalan.