Buah berwarna merah yang mempunyai rasa masam dan manis itu mempunyai penggemarnya yang tersendiri, maka tidak hairanlah ramai yang sanggup datang ke Cameron Highlands semata-mata untuk menikmati keenakan buah strawberi yang segar.

Menyedari hakikat tersebut, sebuah syarikat penghasilan makanan milik anak tempatan yang mengusahakan produk-produk berasaskan buah strawberi di Cameron Highlands mengambil pendekatan dengan memperkenalkan produk terbaharunya berasaskan buah tersebut iaitu serunding strawberi.

Rasa masam dan manis daripada buah strawberi digabungkan dengan rasa pedas daripada serunding daging ternyata merjadi satu gabungan yang enak dan menyelerakan.

Kunjungan kru Jurnal bersama jurugambar ke kilang AFO Food Industries yang terletak di Tanah Rata baru-baru ini disambut baik oleh Amnan Fakhri Othman, 31, yang merupakan Ketua Pegawai Eksekutif syarikat terbabit.

Mesra disapa Amnan, usahawan muda itu mula membuka bicara tentang bagaimana idea untuk menghasilkan serunding strawberi itu timbul.

“AFO Food Industries yang sudah beroperasi sejak tiga tahun lalu mengeluarkan produk popular kami, sambal Abang Strawberi iaitu sambal nasi lemak berasaskan strawberi.

“Selepas mendapat sambutan menggalakkan, saya mahu menghasilkan produk terbaharu pula iaitu sambal udang strawberi. Bagaimanapun, udang apabila dimasak bersama strawberi, rasa sambal itu tidak kena pada tekak saya,” ujarnya.

Anak kelahiran Pekan, Pahang itu kemudiannya cuba mengolah resipi sambal tersebut menjadi serunding strawberi dan tidak menyangka ia menjadi.

Saja mencuba

Cubaannya mencampurkan serunding daging dengan buah strawberi berjaya menghasilkan satu kombinasi rasa yang amat bersesuaian.

“Sebelum menghasilkan resipi serunding strawberi, saya dan rakan perniagaan mengambil masa kira-kira empat bulan untuk finalize rasa serunding strawberi sehingga ia menepati cita rasa yang diinginkan.

“Pada asalnya, saya menggunakan buah strawberi segar, namun serunding itu menjadi sedikit basah memandangkan sifat buah strawberi itu yang berair,” tambahnya.

Pemilihan buah strawberi kering bersesuaian dengan sifat serunding yang merupakan sejenis makanan kering yang dimakan dengan roti atau nasi.

Keistimewaan hidangan itu ialah pada rasa masam dan manis buah strawberi yang dipadankan dengan rasa serunding yang pedas.

“Semasa mula-mula memperkenalkan Serunding Strawberi Cik Merah pada Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Kebangsaan di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) Serdang, Selangor tahun lalu, kami sedikit gusar dengan penerimaan orang ramai terhadap kombinasi makanan ini.

“Strawberi rasanya masam, manakala serunding pula pedas dan kami pula menggabungkan kedua-dua makanan itu menjadi satu menu baharu.

“Begitu pun, saya tidak menyangka, sambutan amat menggalakkan sehingga saya terpaksa meminta staf di Cameron Highlands untuk membawa lebih banyak stok serunding untuk dijual kepada pengunjung selepas kami berjaya menjual 2,000 peket serunding dalam tempoh sehari,” ujarnya.

72 kilogram

Pengurus kilang, Muhamad Aslam Zainal Abidin, 31, pula berkongsi, kelazatan serunding strawberi terletak pada rasa masam dan pedas yang cukup harmoni apabila digabungkan bersama.

“Semasa kami mengedarkan sampel kepada pengunjung, ramai yang memberitahu kami bahawa Serunding Strawberi Cik Merah lebih pedas daripada serunding biasa yang dijual di luar.

“Hal ini kerana kami menggunakan cili yang segar dan ia menjadikan serunding strawberi ini sedikit pedas,” tuturnya.

Tidak lokek berkongsi, Muhammad Aslam memberitahu, proses membuat serunding itu tidak memakan masa yang panjang.

Buah strawberi yang sudah dikutip akan dibasuh sebelum dipotong dadu. Ia kemudian dikeringkan selama dua jam sebelum boleh dicampurkan dengan bahan-bahan lain.

Sementara menunggu strawberi kering, Muhammad Aslam bersama beberapa orang pekerja kilangnya akan menyediakan bahan-bahan asas membuat serunding seperti cili kisar, bawang merah, udang kering dan daging lembu.

“Cili kisar, bawang dan perencah serunding akan digaul sehingga mesra selama 30 minit. Selepas itu, kami akan memasukkan daging dan ramuan lain seperti udang kering dan digaul lagi selama 15 minit.

“Akhir sekali, kami akan memasukkan buah strawberi kering dan serunding yang siap perlu dibiar sejuk sebelum dibungkus,” ujarnya.

Pasaran domestik

Mengulas lanjut, Muhamad Aslam berkata, satu mesin bean paste mixer yang digunakan untuk membuat Serunding Strawberi Cik Merah boleh menghasilkan 12 kilogram serunding.

“Di kilang ini, terdapat empat buah mesin bean paste mixer dan sehari, kami akan membuat serunding ini sebanyak enam kali.

“Hasilnya, kami menghasilkan sekitar 450 kilogram serunding strawberi sehari,” ujarnya.

Serunding Strawberi Cik Merah dijual di 40 buah restoran sekitar Cameron Highlands dan bagi pasaran domestik, ia dijual secara online menerusi laman Facebook Serunding Strawberi Cik Merah.

Sepeket serunding strawberi bersaiz 140 gram dijual pada harga RM17.90.

Amnan berkata, dia menerima tempahan setiap hari dan akan meluaskan pasaran serundingnya ke seluruh Malaysia kelak.

“Buat masa ini, serunding ini belum boleh diperolehi di mana-mana kedai atau gerai di luar kawasan Cameron Highlands kerana masalah kekurangan staf untuk memasarkannya.

“Peminat serunding boleh membuat pesanan terus melalui Facebook atau menghubungi kami di talian 013-3920315,” ujarnya yang sudah menetap di Cameron Highlands sejak 20 tahun lalu.

Amnan menambah, dia bercadang untuk mengeluarkan sos cili strawberi pula kelak bagi menambahkan variasi dalam produk keluaran syarikatnya.

Syarikat AFO Food Industries menggabungkan rasa masam dan manis buah strawberi dengan rasa pedas daripada serunding daging bagi menghasilkan Serunding Strawberi Cik Merah.