Walaupun seseorang itu menghadapi kesukaran untuk menyempurnakan ibadah solatnya dengan mengikut setiap hukum, rukun dan tatacaranya, tetapi dia tetap wajib mendirikan solat yang telah difardukan ke atasnya dengan beberapa kelonggaran.

Hal ini berdasarkan firman Allah dalam surah an-Nisa’ ayat 103: “Sesungguhnya solat itu adalah satu ketetapan yang diwajibkan atas orang-orang yang beriman, yang tertentu waktunya.”

Pilihan

Baru-baru ini, video pelakon Fathia Latiff menunaikan solat dalam kereta tular di media sosial dan menjadi perdebatan ramai memandangkan keadaan negara yang bukan dalam keadaan darurat dan berkemungkinan lokasi yang dituju mempunyai surau.

Pencetus Ummah (PU) musim ketiga, Mohd. Amirul Amin Maula Lokman Hakim atau mesra disapa PU Amin berkata, solat dalam kenderaan dibenarkan dengan syarat ia dilaksanakan kerana darurat.

“Solat dalam kereta dibenarkan jika benar-benar dalam keadaan darurat seperti tidak dapat keluar untuk solat di tempat yang sepatutnya.

“Sekiranya berpeluang untuk singgah ke surau di stesen minyak atau di lokasi-lokasi yang membolehkan solat ia tidak dianggap darurat,” katanya ketika dihubungi Kosmo! baru-baru ini.

PU Amin berkata, seseorang yang dalam keadaan darurat mempunyai dua pilihan iaitu melakukan solat jamak takhir, contohnya jika terlepas waktu Maghrib atau boleh dilakukan dalam kereta.

“Berdasarkan Mazhab Syafie, seseorang yang menunaikan solat dalam kereta dianggap sebagai solat hormat waktu dan ia perlu ditunaikan semula setelah berkemampuan,” katanya lagi.

Dalam pada itu, PU Amin mengingatkan masyarakat agar tidak sesekali meremehkan kemudahan yang diberikan dalam menunaikan solat kerana ia ibadat wajib dan merupakan Rukun Islam.

Sementara itu, Ahli Jawatankuasa Pusat, Persatuan Ulama Malaysia, Ustazah Asmak Hussain berkata, syariat Islam memberikan beberapa kelonggaran hukum kepada orang yang dibebani dengan keuzuran atau hambatan tertentu akan tetapi perlu mengikut garis panduan yang telah ditetapkan Islam.

Syarat

Menurut Asmak, seseorang yang ingin menunaikan solat dalam keadaan darurat perlu bersih daripada hadas dengan mengambil wuduk, menghadap kiblat dan menutup aurat dengan sempurna.

“Mereka perlu bersuci terlebih dahulu sebelum menunaikan solat tetapi sekiranya ketiadaan air maka tayamum adalah jalan terbaik.

“Paling penting, mereka hendaklah menutup aurat dengan sempurna kerana ia yang akan menentukan sama ada solat tersebut sah atau sebaliknya,” katanya.

Asmak berkata, solat dalam keadaan darurat perlu ditunaikan di tempat yang bersih dan menghadap kiblat.

“Jika tiada tempat untuk solat maka tetaplah bersolat di tempat duduk sendiri atas tunggangan atau dalam kenderaan dan solatlah dengan sujudnya tunduk lebih rendah daripada rukuk.

“Namun, jika tidak dapat menunaikan solat dengan menghadap ke arah kiblat pada ketika itu mereka perlu bertaharri dan menyakini bahawa telah menghadap ke arah kiblat lantas berserah diri kepada Allah,” ujarnya.

Asmak memberitahu, Rasulullah pernah mengerjakan solat sunat sambil menunggang haiwan tunggangannya ke mana pun Baginda menghadap dan ketika hendak mengerjakan solat wajib Baginda turun dari tunggangannya dan solat menghadap kiblat iaitu Kaabah di Mekah.

“Ia jelas membolehkan solat-solat fardu dilaksanakan di atas kenderaan jika seseorang itu menghadapi suasana kesukaran. Solat sebegini tetap sah jikalau kesukarannya itu adalah benar-benar ikhlas dan ia tidak perlu diulangi.

“Namun, sebelum membuat keputusan untuk menunaikan solat dalam kereta, seseorang itu seharusnya berikhtiar mencari tempat atau lokasi yang bersesuaian untuk menunaikan solat,” jelasnya.