Paling dikesali ialah pemandu lori pada waktu kejadian didapati positif dadah jenis metamfetamin selain memiliki 28 saman dikeluarkan Jabatan Pengangkutan Jalan dengan berbaki dua saman masih aktif.

Jika pembaca masih ingat, sekitar Julai tahun lalu, seorang lelaki juga maut gara-gara dilanggar kereta dipandu berlawan arus oleh seorang remaja berusia 19 tahun yang juga dipercayai di bawah pengaruh dadah.

Ironinya, bukan dua, tetapi terdapat beribu lagi kes kemalangan maut di negara ini berkongsi fakta kes yang sama iaitu disebabkan oleh kecuaian serta salah laku di atas jalan raya.

Buktinya, 6,470 kematian dilaporkan akibat kemalangan jalan raya sepanjang tahun 2017 dan 3,279 kematian dari Januari hingga Jun tahun ini.

Semakin membimbangkan, kerajaan melalui Kementerian Pengangkutan pada 9 Oktober lalu mengumumkan usaha mengkaji cadangan menggantung lesen memandu kenderaan seumur hidup kepada pesalah jalan raya yang mengakibatkan kemalangan maut.

Pada hemat kementerian, keputusan tersebut merupakan tindakan terbaik bagi membendung kemalangan maut di negara ini.

Sebaliknya, bagi Pengerusi Persatuan Pengguna Jalanraya Kebangsaan, Mohd. Hisham Shafie, ia bukanlah solusi terbaik untuk membendung masalah ini.

Menurutnya, kementerian tidak akan pernah dapat memastikan bahawa tindakan tersebut mampu menghalang pemandu daripada terus memandu kenderaan dalam urusan seharian mereka, sekali gus mengurangkan kecelakaan di jalan raya.

Tiada lesen

“Analoginya mudah. Jika anda memandu kenderaan ke tempat kerja. Suatu hari anda terlibat dengan kemalangan jalan raya dan digantung lesen seumur hidup. Siapakah yang mampu mengawasi anda agar anda tidak akan lagi memandu kenderaan ke tempat kerja selepas hukuman tersebut? Tiada.

“Begitu juga sekarang. Terdapat beribu-ribu rakyat di negara ini tidak mempunyai lesen memandu. Saman tiada lesen memandu dikategorikan sebagai yang paling banyak dikeluarkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan saban tahun. Namun, adakah ia dapat menghalang pesalah daripada terus memandu? Tidak,” katanya ketika diminta mengulas mengenai cadangan tersebut baru-baru ini.

Tambahnya, peruntukan di bawah Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman gantung lesen tiga tahun bagi kesalahan pertama dan 10 tahun untuk kesalahan kedua juga terbukti masih gagal menghalang pemandu memandu, apatah lagi jika seumur hidup.

Beliau dalam pada itu, menggesa kementerian untuk menganjurkan persidangan meja bulat bersama badan dan pihak berkaitan termasuk persatuan permotoran, wakil insurans, persatuan belia, badan bukan kerajaan berkaitan keselamatan serta persatuan majikan agar solusi yang jitu dapat diutarakan.

“Banyak pihak perlu terlibat jika mahu melaksanakan tindakan menggantung lesen seumur hidup. Pandangan majikan umpamanya, yang memerlukan pekerja seperti runner serta pemandu lori perlu diambil perhatian. Begitu juga pihak insurans yang pastinya dirujuk setiap kali kemalangan berlaku,” cadangnya.

Turut bersetuju dengan Mohd. Hisham ialah Pengarah Eksekutif Safe Kids Malaysia, Universiti Putra Malaysia, Prof. Madya Dr. K. Kulanthayan.

Baginya, kelompongan yang wujud dalam sistem penguatkuasaan perlu diberi perhatian terlebih dulu sebelum mengambil tindakan menggantung lesen seumur hidup.

“Saya percaya, salah satu sebab utama pemandu di negara ini kerap mengamalkan sikap sambil lewa ketika memandu ialah kerana kebarangkalian untuk mereka dikenakan saman, denda atau hukuman adalah sangat rendah.

Penguatkuasaan

“Misalnya, dalam 10 kesalahan melanggar lampu isyarat yang dilakukan oleh seorang pemandu umpamanya, hanya dua kesalahan yang dapat dikesan oleh pihak berkuasa. Itu pun, jika kawasan kesalahan tersebut kebetulan mempunyai kamera pengawasan atau anggota bertugas,” kongsinya.

Perkara tersebut mungkin nampak remeh, namun ia membuatkan pemandu berani melanggar undang-undang, semakin lalai seterusnya mampu menjadi penyebab insiden tidak diingini di jalan raya.

“Bagi saya, langkah yang paling penting ialah memaksimumkan penguatkuasaan. Paling terbaik setakat ini ialah kementerian mungkin boleh mengusahakan agar lebih banyak kawalan secara elektronik dapat diwujudkan di pelbagai lokasi.

“Impaknya kita sendiri boleh lihat. Contohnya, apabila pelaksanaan Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) diwujudkan di beberapa kawasan dan pemandu menyedarinya, mereka secara automatik menjadi pemandu berhemah, sekali gus mengurangkan kelajuan serta kemalangan,” akhirinya.