Rakyat dikatakan tidak mahu menerima sesuatu pekerjaan jika gaji yang ditawarkan terlalu rendah menyebabkan berlaku masalah kekurangan pekerja tempatan yang berminat dalam beberapa sektor tertentu di negara ini.

Keadaan ini memaksa Malaysia terpaksa bergantung kepada pekerja asing bagi memenuhi keperluan tenaga kerja di beberapa sektor seperti pembinaan, pertanian dan perkhidmatan.

Bagi mengulas lebih lanjut mengenai isu kadar gaji yang rendah ini, ikuti temu bual yang dijalankan oleh wartawan Kosmo! Ahad, ROSLI HASSAN bersama Pengarah Eksekutif Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia, Datuk Shamsuddin Bardan baru-baru ini.

KOSMO! AHAD: Adakah Datuk bersetuju dengan dakwaan kadar gaji yang rendah menjadi punca ramai rakyat Malaysia memilih kerja?

DATUK SHAMSUDDIN: Saya tidak bersetuju dengan kenyataan yang mengatakan rakyat Malaysia rata-ratanya memilih kerja disebabkan kadar gaji rendah.

Mengikut Laporan Survei Gaji dan Upah Malaysia 2017 yang dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia, di sektor pembinaan, gaji purata adalah sebanyak RM2,588 sebulan, manakala upah purata di sektor pertanian pula RM1,825 sebulan. Bagaimanapun, kedua-dua sektor pembinaan dan perladangan mempunyai peratusan pekerja asing lebih daripada 70 peratus.

Ini menunjukkan bahawa faktor gaji bukanlah sebab utama kenapa sesetengah sektor itu tidak menarik minat rakyat tempatan. Kerja di sektor pembinaan dan pertanian dilihat sebagai kerja berat, berbahaya dan tidak mempunyai taraf sosial yang tinggi di mata masyarakat.

Terdapat keperluan untuk sektor pembinaan contohnya mengguna pakai Integrated Building System untuk menarik pekerja tempatan ke sektor berkenaan.

Sikap ibu bapa yang bekerja dalam sektor pertanian tidak menggalakkan anak-anak untuk meneruskan pekerjaan tersebut. Ini mempengaruhi kemahuan anak-anak untuk tidak meneruskan tradisi keluarga sebagai petani. Sebab itulah purata umur pekerja tempatan di sektor pertanian adalah lebih daripada 55 tahun.

Bagaimanakah cara untuk menarik minat pekerja tempatan menceburi sektor-sektor yang kurang diminati ini?

Penggunaan nama jawatan lapuk terutamanya untuk kerja-kerja bawahan menjadikannya tidak mempunyai kedudukan sosial yang baik dalam kalangan masyarakat. Sebagai contoh, jawatan tukang sapu sampah atau pekerja am tidak lagi sesuai dan tidak menarik untuk pekerja tempatan menceburinya.

Sudah sampai masanya jawatan berkenaan dijenamakan semula. Sebagai contoh jawatan tukang sapu sampah boleh dijenamakan semula sebagai pembantu alam sekitar.

Bagaimanapun, penjenamaan semula jawatan sahaja tidak akan menarik warga tempatan untuk menceburi bidang berkenaan. Majikan perlu melabur untuk memperkenalkan jentera-jentera moden untuk membantu pekerja menjadi lebih produktif. Pekerja perlu diberikan latihan kemahiran untuk mengendalikan jentera moden berkenaan dan kemahiran itu hendaklah disijilkan. Dengan kemahiran lebih tinggi dan penggunaan jentera moden, pekerja akan dapat membersihkan kawasan lebih luas dan mereka hendaklah dibayar gaji lebih tinggi.

Penjenamaan semula jawatan disertai latihan kemahiran yang disijilkan dan penggunaan jentera moden akan menarik pekerja tempatan menceburi bidang berkenaan dan secara tidak langsung akan mengurangkan pergantungan negara kepada pekerja asing.

Selain itu, langkah tertentu perlu diambil untuk mengarusperdanakan jawatan-jawatan yang dijenamakan semula. Sebagai contoh semasa jawatan tukang masak masih dipanggil sedemikian, tidak ramai anak muda berminat untuk menceburinya tetapi keadaan berubah dengan mendadak apabila tukang masak dijenamakan semula sebagai cef. Sekarang ramai kalangan anak muda yang berebut-rebut menceburi kerjaya sebagai cef.

Adakah wajar gaji rakyat Malaysia dan pekerja asing perlu sama untuk melakukan pekerjaan yang serupa?

Pada dasarnya, majikan tidak boleh membayar gaji yang berbeza untuk pekerjaan yang sama hanya berdasarkan kepada kerakyatan seseorang. Seksyen 60L Akta Kerja 1955 dengan jelas memperuntukkan bahawa adalah menjadi satu kesalahan untuk majikan mendiskriminasi pekerja berdasarkan kepada kerakyatan.

Pada masa ini, ada pekerja tempatan yang dibayar gaji yang sama dengan pekerja asing kerana mereka tidak mempunyai kemahiran yang disijilkan.

Keadaan pekerja tempatan membuat kerja yang sama dengan pekerja asing hendaklah diubah dengan segera.

Amat penting pekerja tempatan diberi latihan kemahiran yang disijilkan terutamanya berdasarkan persijilan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM). Dengan adanya persijilan SKM Tahap I, II, III dan seterusnya, pekerja tempatan hendaklah melakukan kerja yang lebih tinggi nilai tambahnya berbanding pekerja asing yang tidak mempunyai sijil kemahiran.

Adakah permasalahan ini berpunca daripada masalah sikap rakyat Malaysia yang terlalu memilih kerja?

Jika dilihat pada awal tahun 2000 hingga sekitar tahun 2010, itu adalah suatu hakikat yang tidak boleh disangkal yang mana ramai pekerja tempatan terlalu memilih pekerjaan. Keadaan sekarang sudah mula berubah dan pekerja tempatan mula menerima hakikat bukan mudah untuk mendapat kerja yang diinginkan.

Sekarang rakyat tempatan sudah mula melakukan kerja-kerja yang sebelum ini mereka tidak mahu menceburinya seperti graduan berkelulusan bidang kejuruteraan mula berjinak-jinak dengan bidang pembersihan bangunan. Malangnya, kehadiran pekerja asing menjadi pesaing kepada rakyat tempatan dan ini menyukarkan mereka untuk mendapatkan pekerjaan walaupun ia dikira sebagai kerja bawahan. Sebagai contoh, anak-anak muda yang menunggu keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) mendapati adalah sukar untuk mereka mendapatkan kerja di stesen-stesen minyak dan pasar raya memandangkan premis-premis berkenaan terdapat ramai pekerja asing yang diambil bekerja.

Adakah perlu ditetapkan gaji minimum untuk pekerja tempatan di sesetengah sektor?

Tidak perlu diadakan gaji minimum untuk pekerja tempatan. Sebaliknya upah atau gaji mereka hendaklah diangkat ke peringkat lebih baik selaras dengan sijil kemahiran yang dimiliki.

Menghubung kait gaji pekerja tempatan dengan sijil kemahiran akan menggalakkan mereka untuk meningkatkan kemahiran dan ini akan meningkatkan lagi produktiviti dan daya saing negara. Secara tidak langsung ia akan mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing pada masa depan.

Pada hakikatnya, dasar gaji minimum yang sedia ada lebih menguntungkan pekerja asing jika dibandingkan dengan rakyat tempatan.

Sebelum diwujudkan dasar Gaji Minimum Nasional yang berkuat kuasa pada tahun 2013, pekerja asing di Malaysia menghantar pulang wang ke negara asal kira-kira RM18 bilion setiap tahun.

Setelah dasar gaji minimum diperkenalkan, pada masa ini pekerja asing menghantar pulang kira-kira RM34 bilion setahun dan penghantaran wang sedemikian hanyalah jumlah yang dicatatkan melalui sistem perbankan yang rasmi. Jika diambil kira penghantaran wang keluar negara melalui sistem yang tidak rasmi jumlahnya akan menjadi lebih tinggi.

Perlu dinyatakan juga mulai 1 Januari 2018, pihak berkuasa memutuskan bahawa levi yang dahulunya dibayar oleh pekerja hendaklah dibayar oleh pihak majikan.

Dasar berkenaan menyebabkan tambahan kira-kira RM3.3 bilion setahun penghantaran wang oleh pekerja asing ke negara asal.

Mengapakah sesetengah majikan lebih gemar menggunakan pekerja asing berbanding rakyat tempatan?

Pengambilan pekerja asing biasanya dilakukan sebagai langkah terakhir apabila usaha untuk mendapatkan khidmat pekerja tempatan tidak dapat dipenuhi.

Pengambilan pekerja asing adalah lebih mahal dan ini adalah hakikat yang ditanggung oleh majikan terutamanya apabila pengambilan tersebut dibuat melalui ejen-ejen yang dilantik.

Kebanyakan pekerja asing mempunyai sikap positif terhadap kerja, tidak sering mengambil cuti sakit atau ponteng kerja dan bersedia membuat kerja lebih masa apabila diminta.

Ini adalah sebahagian daripada ciri-ciri positif yang ada pada pekerja asing yang seharusnya dicontohi oleh rakyat negara ini.

Selain itu, pekerja tempatan tidak seharusnya terlalu memikirkan gaji permulaan yang ditawarkan, terutamanya mereka yang baru diambil bekerja dan tidak mempunyai pengalaman.

Apa yang lebih penting adalah pekerja baharu ini bekerja bersungguh-sungguh dan membuktikan bahawa mereka merupakan satu aset penting kepada majikan.

Gaji pekerja biasanya akan disemak dari semasa ke semasa dan apabila mereka menunjukkan prestasi dan produktiviti yang lebih baik, majikan biasanya tidak akan teragak-agak untuk memberi imbuhan yang lebih melalui semakan gaji tahunan, insentif dan bonus.