Jika berita pemakaian hijab mereka suatu ketika dahulu mendapat perhatian, kisah buka tudung dua artis iaitu Emma Maembong dan Fathia Latiff ternyata menjadi santapan yang lebih digemari oleh netizen yang juga secara tiba-tiba bertukar menjadi penghukum agama.

Namun, itu tidak menjadi penghalang buat dua wanita itu meneruskan niat mereka membuka semula hijab dan memilih untuk memekakkan telinga dengan kata-kata cacian yang dilemparkan terutama menerusi media sosial.

Bagi Emma atau nama sebenarnya, Fatimah Rohani Ismail Embong, keputusan membuka tudung tidak dipengaruhi oleh sesiapa. Pada masa sama, dia menegaskan perkara tersebut bukanlah sesuatu yang dibanggakan.

“Keluarga pastinya orang paling kecewa kerana berhijab adalah tuntutan agama dan diwajibkan dalam Islam. Namun, mereka menyerahkan kepada saya dalam menentukan hala tuju hidup dan buat masa sekarang, saya belum cukup kuat untuk istiqamah dalam bertudung.

“Saya sedar, ramai yang sudah menjatuhkan pelbagai hukuman kepada saya tetapi saya malas hendak bertekak panjang. Ini ujian saya, jadi hal dosa pahala biarlah antara saya dengan Allah,” katanya yang mula berhijab sejak lima tahun lepas.

Enggan hipokrit

Sebagai manusia, iman kita semenangnya tidak akan pernah tetap dan ada turun naiknya. Namun, bagi para selebriti, perubahan ketara saat berbicara soal keteguhan iman mungkin lebih diteliti oleh masyarakat kerana mereka tumpuan umum.

Perkara serupa dialami oleh Nur Fathia Latiff yang turut membuat kejutan bukan setakat membuka tudung, malah disertai dengan beberapa perubahan sikap yang dikaitkan dengan masalah gangguan jiwa.

Sewaktu bertemu media, pelakon Ariana Rose itu menegaskan, dia sudah penat berpura-pura memakai tudung dan menjadi orang lain selain mengakui ketika berhijab pada tahun 2016, keputusan tersebut dibuat bagi memuaskan hati orang lain.

“Saya mengalami penyakit depresi sepanjang bertudung kerana berperang dengan perasaan sendiri yang belum lagi mahu berhijrah.

“Selama ini saya hipokrit dan semakin hanyut dalam kehidupan. Sekarang apabila kembali ke imej asal, saya berasa bebas,” tuturnya tanpa berselindung.

Menghamburkan hinaan atau hukuman itu ternyata lebih mudah daripada memahami dan memaafkan. Bagi pelakon jelita, Rozita Che Wan atau Che Ta, dia sendiri tidak berani memberi komen berkenaan tindakan dua kenalan selebritinya itu.

Dugaan

Kata isteri kepada Zain Saidin itu, keputusan Emma dan Fathiya membuka hijab juga satu bentuk ujian daripada Allah jika bukan untuk mereka, mungkin bagi orang sekeliling.

“Manusia zaman sekarang terlalu senang menjatuhkan hukuman. Pada saya, lebih baik kita doakan Allah kembalikan hidayah buat mereka daripada sibuk mencaci atau mengkritik. Saya pasti mereka sedar menutup aurat itu wajib bagi umat Islam, jadi kita harapkan sahaja yang terbaik buat semua, bukan Emma dan Fathiya sahaja.

“Jangan terlalu sibuk membilang salah orang kerana kita semua tidak sempurna. Perbuatan mereka menjadi tumpuan kerana mereka selebriti, kita tidak tahu mungkin esok atau lusa perkara sama terjadi kepada kita atau ahli keluarga. Jadi, beringatlah sentiasa,” katanya yang sudah hampir empat tahun berhijab.

Saat ditanya apakah yang dilakukan untuk kekal istiqamah, pelakon Kiah Pekasam itu memberitahu, perkara pertama yang dilakukannya selepas berniat memakai tudung adalah mengubah lingkungan rakan-rakan rapat.

Menurut Che Ta, apabila dikelilingi oleh orang yang baik pekerti, maka secara tidak langsung dia juga akan perlahan-lahan mengubah tabiat lama sebelum bertudung.

“Biasalah manusia, kita lebih mudah terpengaruh dengan benda negatif berbanding hal positif. Jadi, kenali diri sendiri dan ubah pergaulan kita.

“Saya beruntung kerana adik-beradik saya semuanya bertudung. Hal itu menjadikan tekad saya lebih kuat dalam berhijab,” terangnya satu per satu.

Memetik sebuah kisah ringkas antara si alim dengan anaknya apabila si anak bertanya: Siapakah yang lebih buruk antara orang alim tetapi buruk kelakuan dengan orang yang buruk kelakuan, namun solat lima waktu?

Jawapannya adalah, orang yang bertanya itu lebih buruk daripada kedua-dua individu tersebut kerana sibuk menghitung dosa yang lain sehingga lupa dosa sendiri.

Ingatlah, pada hari akhirat kelak, soalan yang dihitung Tuhan adalah dosa dan silap kita sendiri. Bukan khilaf si alim atau si buruk perangai. Waallahualam.

Sejak tahun 2015, gelagat artis wanita menanggalkan tudung bukanlah perkara baharu, namun insiden melibatkan pelakon Emma Maembong dan Fathia Latiff awal tahun ini mengundang kecaman luar biasa daripada khalayak.