Tanpa memikirkan sesuatu yang buruk, Lan menerima pelawaan itu, namun perkara sebaliknya pula berlaku.

Katanya, setelah berasa letih, dia mahu pulang ke rumah tetapi diminta untuk terus berborak dan menikmati minuman. Selepas itu, dia hanya menyedari telah diseludup merentasi sempadan ke China.

“Apabila tersedar, saya ingin pergi dan beredar tetapi saya bersama kanak-kanak perempuan lain yang ketika itu berada di dalam kereta telah dikepung,” ujarnya.

Gadis Vietnam adalah komoditi berharga di China. Dasar satu anak dan keutamaan mempunyai anak lelaki telah berubah atau dengan kata yang lebih mudah, lelaki di China dahagakan wanita untuk berkahwin.

Lokasi buruan

Kampung-kampung yang terdapat di sepanjang sempadan Vietnam dan China sentiasa menjadi lokasi buruan penyeludupan manusia. Kanak-kanak perempuan seawal usia 13 tahun mendakwa mereka telah ditipu.

Jika ada kanak-kanak yang diperdagangkan tidak dipaksa untuk berkahwin, mereka akhirnya menjadi pekerja seks dan ada sesetengahnya dapat melarikan diri kembali ke Vietnam dengan bantuan pihak berkuasa.

Untuk mengenal pasti wanita yang diperdagangkan tidak mudah kerana kawasan pergunungan yang terdapat di utara Vietnam susah untuk dipantau.

“Belanja yang besar diperlukan oleh lelaki Cina untuk berkahwin dengan seorang wanita Cina,” jelas Ha Thi Van Khanh, Penyelaras Projek Nasional untuk Organisasi Anti Pemerdagangan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Vietnam.

Secara tradisinya, lelaki Cina yang ingin berkahwin dengan wanita tempatan perlu mengeluarkan belanja yang banyak dan menyediakan tempat tinggal yang selesa selepas berkahwin.

“Sebab itu mereka terpaksa membawa masuk wanita dari negara jiran termasuk Vietnam untuk berkahwin,” katanya lagi.

Sementara itu, Diep Vuong yang menjadi pelopor kepada Pautan Kerajaan Pasifik berhempas-pulas memerangi penyeludupan gadis-gadis ini.

Katanya, seorang pengantin perempuan Vietnam boleh dijual sehingga RM3,000.

Pautan Kerajaan Pasifik berperanan sebagai tempat perlindungan bagi mangsa pemerdagangan di bandar Lao Cai, Vietnam.

Wanita Vietnam yang tinggal di China selama dua hingga tiga tahun dibenarkan pergi ke sekolah atau mendapatkan latihan vokasional.

“Mereka belajar untuk memasak dan menjahit. Mereka akan dikelilingi oleh wanita lain dengan pengalaman yang sama. Sekurang-kurangnya mereka dapat mencari pekerjaan dan menyara diri.

“Organisasi ini juga membantu wanita daripada terus jatuh ke tangan pedagang haram,” ujarnya.

Seorang lagi mangsa, Nguyen hanya berumur 16 tahun semasa rakan kepada teman lelaki menyeludupnya ke China.

Diancam

Dia cuba melarikan diri daripada dipaksa berkahwin. Selama tiga bulan dia dipukul, tidak makan malah diancam untuk dibunuh. Akhirnya dia mengalah dan terpaksa berkahwin juga.

Katanya, suaminya sangat baik tetapi dia tidak pernah berhenti untuk kembali ke pangkuan keluarganya di Vietnam.

“Keinginan saya untuk pulang ke rumah tidak dapat diungkap dengan kata-kata. Saya bersetuju untuk berkahwin dengannya tetapi saya tidak boleh tinggal dengan orang yang tidak dikenali lebih-lebih lagi saya tidak ada apa-apa perasaan terhadapnya,” kata Nguyen.

Apabila ibu mentua perasan yang Nguyen tidak bahagia dengan perkahwinannya, Nguyen dikembalikan kepada pedagang haram. Mereka menerima kembali wang, namun selepas itu dia dipaksa pula untuk berkahwin kali kedua dengan lelaki lain.

Lan dan Nguyen berakhir di bandar yang sama. Selepas dua tahun mereka berjaya menyelinap keluar dari rumah dan mengambil teksi ke balai polis. Sepanjang masa mereka takut keluarga suami mencari mereka. Polis China akhirnya membawa mereka kembali ke Vietnam.

Wanita ini bebas daripada perkahwinan tetapi terpaksa meninggalkan bayi di China. Lan berkata, jika berpeluang berjumpa kembali dengan anak mereka, dia ingin meminta maaf kerana meninggalkan mereka.

“Saya harap dia mempunyai kehidupan yang lebih baik di sana,” katanya.

Kedua-dua mereka dijemput menghadiri sekolah untuk berbincang mengenai pemerdagangan manusia. – Agensi