Amber Luke, 23, yang berasal dari Central Coast, New South Wales, Australia berkata, dia ketagih mencacah tatu sejak berusia 16 tahun dan kini mempunyai lebih 50 tatu termasuk pada kedua-dua belah bola matanya.

Malah, dia juga telah membelah lidahnya agar ia kelihatan bercabang dua, selain melakukan pembedahan plastik pada cuping telinganya.

Gadis itu berkata, dia tidak menyesal sama sekali dengan perubahan melampau yang dilakukannya itu

Jelas Luke, dia sebelum ini berasa benci pada penampilannya yang disifatkan sebagai membosankan, selain menyifatkan kulitnya sebagai terlalu polos.

Ketagih tatu

Amber yang digelar ‘Naga Putih Bermata Biru’ memberitahu, dia kini berbangga dengan imej baharunya itu.

“Gelaran ‘Naga Putih Bermata Biru’ ini diberikan rakan-rakan saya. Mereka memanggil saya dengan gelaran itu kerana saya kelihatan seperti naga berdasarkan mata dan lidah saya,” katanya kepada Daily Mail Australia.

Menurutnya, dia sebelum ini benci dengan penampilannya yang kelihatan polos dan membosankan dan mula mencacah tatu pertama­nya tujuh tahun yang lalu.

“Sebaik sahaja berusia 16 tahun, saya mendapat inspirasi daripada orang-orang di sekeliling untuk mencacah tatu pada badan.

“Saya teringin sangat mengetahui bagaimana perasaan mempunyai tatu,” katanya.

Tambahnya, ketagihan mencacah tatu semakin lama semakin bertambah hingga mencecah usia 18 tahun, dia telah mempunyai tiga tatu.

“Tatu besar saya yang pertama juga dicacah sebaik sahaja saya berusia 18 tahun.

“Sekarang saya mempunyai lebih daripada 50 tatu dan saya sendiri tidak dapat mengira jumlah kesemuanya dengan tepat,” katanya.

Disuntik cecair biru

Bertekad untuk mendapatkan penampilan yang dihajatinya, Amber turut mengambil risiko menjadi menjadi buta dengan membuat tatu warna biru pada mata putihnya.

“Prosedur mencacah mata saya ini hanya mengambil selama 40 minit.

“Bagaimanapun, ia satu prosedur yang amat menyakitkan. Setiap mata saya disuntik dengan cecair biru sebanyak empat kali.

“Selepas semuanya selesai, saya tidak dapat melihat selama tiga minggu,” katanya.

Amber juga tidak dapat bercakap selama lebih satu minggu selepas menjalani pembedahan membelah lidahnya.

Dia juga telah menjalani pembedahan plastik agar cuping telinganya kelihatan ‘tajam’.

Pada masa akan datang, Amber bercadang mahu menajamkan gigi taringnya agar kelihatan seperti gigi puntianak.

Seorang wanita muda menghabiskan wang berjumlah RM32,000 cacah putih mata, belah lidah untuk dapat penampilan yang diingini.