Sesekali aksi Nordiana Khamarulzaman, 19, menyesakkan dada para wartawan yang bergilir-gilir menanti untuk menemubualnya. Gadis genit yang berimej bukan tipikal ahli gusti itu dengan berani melompat dari atas tali gelanggang lalu terhempaslah lelaki bertubuh besar yang sedang berlatih dengannya ke lantai sehingga kedengaran bunyi yang menggerunkan.

Nordiana atau nama samarannya di gelanggang gusti, Nor ‘Phoenix’ Diana baru-baru ini menggemparkan tanah air apabila dilaporkan sebagai wanita penggusti profesional bertudung pertama di Malaysia, bahkan mungkin di dunia, hanya menanti untuk disahkan oleh Rekod Dunia Guinness.

Juara

Nordiana mengejutkan apabila menjuarai pertandingan gusti berprestij di peringkat kebangsaan, Malaysia Pro Wrestling - The Wrestleconi di Taman Tun Dr. Ismail, Kuala Lumpur awal bulan ini termasuk dengan menumbangkan para penggusti lelaki.

“Hari ini, artikel tentang saya keluar dalam agensi berita antarabangsa, AFP. Sebenarnya saya tidak sangka menjadi tular begini, sehingga sekarang saya merasakannya seperti mimpi. Bilangan pengikut Instagram saya, @nordianapw juga meningkat dengan terlalu pantas, daripada 600 sebelum ini kepada 4,000 semalaman selepas tular dan kini 37,000,” katanya kepada K2 ketika ditemui di Puchong.

Lebih membanggakan, kewujudannya turut disedari penggusti antarabangsa World Wrestling Entertainment (WWE), Ali atau nama sebenarnya, Adeel Alam dari Amerika Syarikat yang memuat naik dedikasi khasnya buat Nordiana di Instagram Ali.

Ali yang juga beragama Islam menyatakan setinggi-tinggi kebanggaannya terhadap Nordiana selain rasa ketakjubannya kerana bagai tidak percaya wujud wanita berhijab yang memecah tembok kelaziman dengan menyertai gusti.

“Saya tidak sangka, kawan saya yang maklumkannya apabila melihat Instagram Ali. Saya memang kenal dirinya sebagai penggusti WWE dan impian terbesar saya adalah untuk beraksi dalam WWE, arena gusti paling popular di dunia itu, walaupun sekali,” ujar wanita bekerja sebagai pembantu klinik di sebuah hospital swasta itu.

Hakikatnya gadis itu sendiri tidak menyangka dirinya akan menceburi sukan lasak jika disorot keperibadiannya sejak kecil. Gadis dari Keramat, Kuala Lumpur itu seorang yang sering santun berbaju kurung, begitu pemalu dan semasa kanak-kanaknya hanya menceburi seni seperti menari dan menggesek biola.

Nordiana yang menceburi sukan gusti sejak kira-kira empat tahun lalu menyifatkan, dirinya di luar gelanggang gusti dan di dalam gelanggang adalah dua individu berbeza.

“Saya menjadi orang yang lain apabila memasuki gelanggang. Nordiana Khamarulzaman adalah berbeza dengan Nor ‘Phoenix’ Diana. Saya tidak mahu mencampuradukkan kehidupan realiti dengan kehidupan sebagai penggusti, sebab itu saya enggan mendedahkan banyak tentang identiti saya, mohon kehendak saya ini dihormati,” kata anak keempat daripada lima beradik ini.

Gila gusti

Nordiana mula meminati sukan gusti sejak berusia 14 tahun apabila sering menemani bapa dan adik lelakinya menonton perlawanan gusti di televisyen selain bermain permainan video gusti. Rakan-rakan sekolahnya juga tahu betapa dia menggilai gusti.

“Sehinggalah semasa di tingkatan empat, apabila saya sedar bahawa di dalam kepala ini masih belum ada cita-cita. Saya bertanyakan kepada kawan-kawan saya, bolehkah sekiranya saya ingin menjadi penggusti?

“Kawan-kawan saya terkejut dengan soalan itu mungkin kerana tidak menyangka obsesi saya sehingga ke tahap itu. Mereka mempertikaikan mana mungkin boleh saya menjadi penggusti sebagai perempuan, apatah lagi bertudung,” katanya.

Namun minat Nordiana kepada sukan gusti tidak dapat dibendung apabila dia terus mengikuti sukan tersebut termasuk menyelidik di internet.

Misteri

“Dari situ saya mengetahui bahawa terdapat Persatuan Gusti Malaysia namun hampa kerana memang tiada penggusti wanita di Malaysia pada masa itu. Namun, saya terus mengikuti perkembangan persatuan tersebut. Tidak lama selepas itu, ada seorang penggusti wanita berketurunan Cina bernama Poppy diperkenalkan sekali gus mendorong saya menyertainya.

“Saya kemudian memberanikan diri untuk mengirimkan pesanan peribadi di media sosial jurulatih gusti, Ayez Shaukat Fonseka menyatakan permintaan untuk mempelajari gusti dan mula mengikuti latihan gusti pada hujung tahun 2015,” katanya yang mendapat sokongan ibu bapa dan ahli keluarganya.

Nordiana berkata, setelah dua bulan berlatih, tiba-tiba dia diminta oleh jurulatih untuk beraksi dalam satu perlawanan bagi menggantikan seorang penggusti wanita yang tidak dapat menyertainya.

“Sewaktu itu saya tidak tahu apa yang patut saya lakukan. Apakah patut saya beraksi dengan penampilan bertudung atau bagaimana? Kemudian saya dan jurulatih membuat keputusan untuk memakai topeng dengan nama samaran Nor ‘Phoenix’ Diana.

“Selama ini, penampilan saya misteri, orang tidak pasti siapakah individu yang berlitup keseluruhan tubuhnya di sebalik topeng ini. Sehinggalah pada satu perlawanan gusti di Kuala Lumpur pada Disember tahun lalu apabila perlawanan yang dinamakan Mask Vs Pride itu mengkehendaki sesiapa yang kalah untuk membuka topeng dan saya tewas dalam perlawanan itu.

“Sewaktu itu saya berasa takut dan resah bagaimana reaksi orang lain apabila melihat penampilan saya yang bertudung. Tetapi, saya gagahinya kerana saya juga merasakan mungkin sudah tiba masanya untuk saya mendedahkan diri saya sebagai wanita berhijab,” katanya.

Mengenai ‘Phoenix’ yang disandarkan kepada nama samarannya dalam gusti, Nordiana berkata, ia sesuai menggambarkan dirinya.

“Phoenix ialah burung yang mati dan hidup kembali, ia sama dengan perjalanan saya dalam sukan gusti apabila berdepan dengan pelbagai cabaran namun tetap bangkit. Menjadi penggusti bertopeng dan berlitup seluruh tubuh tidak sering menjadi pilihan promoter untuk bertanding di luar negara berbanding penggusti-penggusti wanita yang lain. Tetapi keadaan berubah setelah identiti saya yang berhijab diketahui, saya akan bertanding di Filipina tidak lama lagi.

“Sepanjang menyertai gusti, saya juga merana kerana kecederaan seperti kecederaan tisu belakang tubuh yang memerlukan dua atau tiga bulan untuk sembuh pada tahun 2017. Tetapi, semasa menderita kesakitan itu, setiap malam saya berdoa agar masih boleh bergusti,” ujarnya.

Menyentuh mengenai gelaran penggusti wanita berhijab pertama Malaysia atau dunia, Nordiana berkata, dia gembira dan bangga dengan pencapaiannya namun ia turut membawa bersama tanggungjawab yang besar apabila turut dijadikan contoh dan sumber inspirasi.

Penampilan

“Ramai juga wanita berhijab yang menghubungi saya menerusi Instagram menyatakan sokongan, berkongsi pernah mengimpikan impian serupa dan mahu mengikut jejak langkah saya.

“Nasihat saya kepada wanita bertudung, dalam apa jua bidang, jangan jadikan tudung sebagai halangan untuk mencapai impian anda. Saya berazam untuk terus berpenampilan begini kerana sedar ia merupakan kewajipan,” katanya.

Seorang rakan sepelatihan, Khalidi Khalid, 30, yang sering berlatih bersama Nordiana menyifatkan wanita itu berbakat besar dalam sukan gusti namun mempunyai keperibadian merendah diri.

“Penggusti biasanya penuh sifat maskuliniti dan ego, tetapi Nordiana seorang yang merendah diri dan menonjolkan ciri-ciri Muslimah moden. Dia tidak takut untuk mendepani sukan yang didominasi lelaki,” katanya.

Khalidi berkata, dia dan rakan-rakan penggusti yang lain tidak teragak-agak dalam ‘membelasah’ Nordiana dalam latihan.

“Kalau saya teragak-agak untuk hentak dia dengan cukup keras, dia pasti akan hentak saya balik,” katanya tertawa.