Memilih Kuala Lumpur, Malaysia sebagai destinasi percutian, dua sahabat karib yang tidak bercadang untuk menetap lama di Malaysia itu akhirnya memutuskan untuk terus tinggal di sini selama lapan bulan.

Terkenal sebagai vlogger menerusi akaun YouTube 
@****forbreakfast, dua gadis itu sering berkongsi video yang memaparkan keunikan negara-negara yang dilawati dan sudah pun memuat naik 79 video tentang Malaysia.

Akui dua gadis itu, mereka mula menjadi tular dan mengumpul lebih ramai pengikut menerusi akaun YouTube tersebut selepas memuat naik video-video tentang pengalaman menarik di Malaysia termasuk mencuba beberapa menu yang dijual di bazar Ramadan sepanjang Ramadan lalu.

Salah satu video 
@****forbreakfast berjudul Tourists Visit Bazar Ramadan - Kota Bharu mendapat jumlah tontonan sebanyak 168,724 dan merupakan video paling banyak ditonton di akaun tersebut.

Kru Panorama yang berkesempatan menemu bual dua sensasi internet itu tidak melepaskan peluang untuk bertanya apa sebenarnya yang menjadi pemikat dan menyebabkan dua sahabat karib itu nekad untuk mengembara di Malaysia selama lapan bulan.

Mesra disapa sebagai Micha dan Justina, kedua-dua gadis itu memberitahu mereka cukup sukakan Malaysia kerana kepelbagaian budaya, agama dan bangsa yang ada di sini.

“Ramai pelancong luar yang datang ke Malaysia, namun tidak ramai yang mahu mempromosikan Malaysia sebagai sebuah destinasi pelancongan.

“Memandangkan kami merupakan vlogger, kami rasa terpanggil untuk menunjukkan Malaysia kepada pengikut kami melalui YouTube lebih-lebih lagi selepas kami jatuh cinta dengan negara ini.

“Di mata kami, Malaysia merupakan sebuah negara yang maju, cantik serta cukup selamat untuk didiami dan penduduk dari serata dunia boleh melihatnya sendiri menerusi YouTube 
@****forbreakfast,” ujar Justina membuka bicara.

Kepelbagaian

Intipati video yang dimuat naik termasuklah mencuba pelbagai makanan unik berserta lawatan ke beberapa lokasi menarik sekitar Malaysia seperti Masjid Besi Putrajaya, tanah tinggi Cameron Highlands, snorkeling di Pulau Perhentian dan juga mencuba kelas masakan juadah bumbu di Kuching, Sarawak.

Akui mereka, pengembaraan di Malaysia juga menjadikan jumlah pengikut akaun YouTube @****forbreakfast meningkat sehingga 27,000 orang.

Pengikut akaun tersebut bukan sahaja dari Malaysia, malah dari serata dunia seperti dari benua Asia, Eropah dan Amerika Utara.

Rata-rata penonton video dua orang anak muda itu akan meninggalkan komen positif tentang Malaysia dan turut teruja untuk datang ke negara ini.

“Kami sering mendapat komen dari pengikut akaun YouTube 
@****forbreakfast yang turut teruja dan berminat untuk melawat Malaysia satu hari nanti.

“Hal ini menjadikan kami cukup gembira kerana menganggap kami berjaya menunjukkan keunikan negara ini kepada individu lain di luar sana,” tutur Micha.

Jika ditanya tentang satu perkataan yang benar-benar menggambarkan Malaysia, Micha berkata ia adalah ‘kepelbagaian’.

Sepanjang lapan bulan hidup di negara ini, Micha dan Justina sering melihat kepelbagaian dari segi asimilasi makanan dan juga budaya antara pelbagai kaum di negara ini.

“Antara kepelbagaian yang saya perasan di negara ini ialah menerusi makanan iaitu roti canai. Kami cukup menggemari roti canai dan tahu bahawa ia merupakan gabungan masakan Melayu dan India,” jelas Micha.

Teh tarik

Wanita berambut kerinting itu juga berkongsi rasa teruja apabila mendapati rakyat Malaysia cukup gemar makan roti canai dan minum teh tarik tanpa mengira masa.

“Kami cukup gilakan teh tarik dan berpendapat bahawa hari kami tidak lengkap sekiranya tidak minum minuman signatur tersebut.

“Begitu pun, kami tidak menyangka ia merupakan minuman yang diminum setiap masa di Malaysia bersama dengan roti canai. Ia sesuatu yang unik dan baharu yang kami belajar tentang Malaysia,” cerita Micha.

Bagi Justina pula, antara pengalaman menarik sepanjang berada di Malaysia ialah kesempatan untuk makan beberapa juadah menarik di bazar Ramadan Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, Kelantan semasa hari pertama Ramadan.

“Kami berkesempatan membeli juadah berbuka puasa di beberapa bazar Ramadan di stadium tersebut.

“Antara juadah yang dibeli adalah murtabak ayam, nasi dagang, cakoi, ayam percik dan juga kuih tepung pelita. Kesemua juadah itu cukup enak dan kena pada tekak kami,” tutur Justina.

Bercerita tentang sambutan Hari Raya Aidilfitri pula, Micha dan Justina pertama kalinya membeli sendiri sepasang baju kurung kain kapas untuk digayakan pada pagi Aidilfitri.

“Selepas merasai pengalaman berpuasa, sudah tentulah kami mahu menyambut Hari Raya Aidilfitri dan tidak melepaskan peluang membeli belah pakaian yang sesuai untuk digayakan.

“Semasa hari raya pertama, kami menyambutnya di rumah keluarga seorang kenalan kami di Taman Tun Dr. Ismail yang hanya dikenali sebagai Diana.

“Selain beraya di rumah Diana, antara pengalaman yang paling sukar dilupakan sepanjang hari raya ialah peluang berkunjung ke rumah terbuka Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad di Wilayah Persekutuan Putrajaya,” tutur Justina.

Cuaca panas

Sepanjang berada di Malaysia, kedua-dua sahabat itu sudah pun melawat sehingga 12 buah negeri dan di mata mereka, setiap negeri mempunyai keunikannya yang tersendiri.

“Soalan yang paling biasa ditanya ialah negeri manakah yang menjadi kegemaran kami sepanjang berada di Malaysia.

“Sejujurnya, agak sukar untuk menjawab soalan tersebut kerana jika di Pulau Pinang dan Kelantan, kami cukup sukakan pilihan makanan di situ, manakala Sarawak pula cukup kaya dengan destinasi pelancongan yang penuh kehijauan,” jelas Justina.

Berkongsi tentang pengalaman pahit sepanjang berada di Malaysia, Micha memberitahu bahawa dia tidak berdepan dengan pengalaman pahit selain daripada tidak tahan dengan cuaca panas dan lembap negara ini.

“Kami ada kalanya tidak tahan dengan cuaca panas di Malaysia dan sering bergurau dengan menyebut mahu tinggal di Cameron Highlands, Pahang kerana cuacanya yang sejuk dan nyaman,” jelas Micha sambil tertawa.

Micha dan Justina mengakui pengembaraan di negara ini tidak mungkin dilupakan.

“Ramai pengikut kami khususnya dari Britain yang sudah pun datang ke Malaysia selepas menonton siri vlog kami dan ia sesuatu yang cukup menggembirakan.

“Malaysia akan terus dekat di hati kami dan satu lagi perkataan yang boleh kami gambarkan tentang Malaysia ialah keramahan penduduknya,” jelas Micha menutup bicara.